Astro Audio News Raih Pengiktirafan Podium Pada Anugerah Media Akademi Dalam Industri 2026
KUALA LUMPUR 28 OKTOBER 2026- Astro Audio News terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang kewartawanan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori Televisyen, Radio & Portal Video pada Anugerah Media Akademi Dalam Industri 2026 menerusi karya bertajuk “Dilema AI dan Manusia: Jalan Pintas atau Pemangkin Kemahiran” hasil tulisan wartawan, Najib Nazri.
Pencapaian itu menjadi lebih bermakna apabila ia merupakan penyertaan sulung Astro Audio News dalam anugerah berkenaan, sekali gus membuktikan komitmen organisasi dalam menghasilkan laporan berkualiti yang memberi nilai tambah kepada masyarakat.
Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Radio News, Moganadas Muniandy, berkata pengiktirafan tersebut merupakan kejayaan seluruh pasukan yang sentiasa berusaha menyampaikan laporan yang relevan, berinformasi dan memberi impak kepada khalayak.
“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan penyertaan pertama Astro Audio News dalam Anugerah Media Akademi Dalam Industri. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa kewartawanan audio dan digital mempunyai peranan penting dalam mengetengahkan isu-isu semasa yang dekat dengan masyarakat.

“Kejayaan karya Najib Nazri ini mencerminkan komitmen Astro Audio News dalam menghasilkan kandungan yang bukan sahaja informatif, tetapi turut mencetuskan perbincangan mengenai perkembangan teknologi, kemahiran masa depan dan kesiapsiagaan tenaga kerja negara.
“Kami berharap pencapaian ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga Astro Audio News untuk terus menghasilkan karya yang berkualiti, berintegriti dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Kira-kira 60 penyertaan diterima bagi anugerah tersebut yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI).
Majlis penyampaian Anugerah Media 2026: Akademi Dalam Industri – Dapat Kerja, Gaji dan Kemahiran berlangsung di The Everly Putrajaya baru-baru ini, dengan menghimpunkan pengamal media, wakil industri serta pelbagai pihak berkepentingan.
Penganjuran anugerah berkenaan bertujuan mengiktiraf peranan media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pembangunan bakat, kemahiran dan produktiviti negara, selain menghargai usaha pengamal media yang mengetengahkan inisiatif berkaitan pembangunan modal insan dan kebolehpasaran pekerjaan.
Kejayaan ini menjadi pemangkin kepada Astro Audio News untuk terus memperkukuh kecemerlangan kewartawanan serta menyampaikan laporan yang berkualiti, sahih dan relevan kepada rakyat Malaysia.