Astro AWANI Kekal Sebagai Program Media Pelancongan Terbaik untuk Tahun Ketiga
Saluran berita Astro AWANI sekali lagi mencipta kejayaan apabila merangkul Anugerah Program Media Pelancongan Terbaik (Best Tourism Media Program) pada Anugerah Industri Pelancongan 2026 (TIA26), sekali gus mengekalkan kemenangan bagi tahun ketiga berturut-turut.
Pengiktirafan itu mengukuhkan peranan Astro AWANI dalam mengetengahkan destinasi, produk serta perkembangan industri pelancongan Malaysia kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.
TIA26 telah dianjurkan oleh Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) dan Santai Travel dengan kerjasama Tourism Selangor, sebagai platform mengiktiraf kecemerlangan, inovasi dan sumbangan pemain industri pelancongan negara. Majlis yang berlangsung di Sunway Resort Hotel pada 9 Ogos telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, yang hadir mewakili kementerian itu.