Skip to main content
Media PERKESO

Wartawan Astro Audio Najib Nazri terus cipta kecemerlangan, raih Naib Juara Anugerah Media PERKESO 2026

KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER 2026 – Astro Audio News terus mengukuhkan reputasinya dalam arena kewartawanan negara apabila wartawannya, Najib Nazri, meraih tempat kedua pada Anugerah Media PERKESO i-LINDUNG-U 2026 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi.

Najib dinobatkan sebagai naib juara bagi kategori Laporan Radio dan Podcast Terbaik menerusi karya bertajuk PERKESO Itu Kawan, Bukan Lawan.

Laporan berkenaan mengupas jurang antara persepsi masyarakat dengan realiti peranan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), selain mengetengahkan kepentingan perlindungan sosial, khususnya dalam membantu golongan B40 menghadapi risiko kehilangan pendapatan akibat kemalangan atau ketidakupayaan untuk bekerja.

Anugerah yang disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan itu merupakan pengiktirafan terhadap pengamal media yang menghasilkan laporan berkualiti, berimpak tinggi dan berupaya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perlindungan sosial.

Kejayaan terbaharu ini melengkapkan pencapaian podium ketiga Najib sepanjang 2026, sekaligus mencerminkan konsistensi dan komitmennya dalam menghasilkan laporan kewartawanan yang bermutu.

Mengulas kejayaan tersebut, Najib berkata pencapaian itu bukan hasil usahanya seorang, sebaliknya turut didorong doa dan restu ibu bapanya di kampung serta bantuan pelbagai pihak yang banyak menyumbang dalam menjayakan setiap tugasan.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Astro Audio News atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan, khususnya kepada ketuanya, Moganadas, yang sentiasa memberi bimbingan, dorongan serta ruang untuk dia terus berkarya dan memperbaiki mutu pelaporan.

Menurutnya, setiap pengiktirafan yang diterima menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya kewartawanan yang bukan sahaja berkualiti, malah membawa manfaat kepada masyarakat.

Sementara itu, Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Audio, Moganadas Muniandy, melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian Najib yang disifatkannya sebagai satu lagi bukti keupayaan Astro Audio News melahirkan wartawan berkualiti dan berdaya saing.

Beliau berkata, kejayaan Najib bukan sahaja merupakan pencapaian peribadi yang membanggakan, malah turut menetapkan penanda aras baharu kepada seluruh warga bilik berita untuk terus meningkatkan mutu kewartawanan.

Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, merakamkan penghargaan kepada warga bilik berita atas kejayaan yang dicapai sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, kemenangan Najib merupakan pengiktirafan kelima Astro Audio News pada 2026, sekali gus membuktikan komitmen pasukan dalam mengekalkan standard kewartawanan yang tinggi.

Beliau berharap momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan bagi mengukuhkan kedudukan Astro Audio News sebagai antara organisasi berita radio terkemuka di Malaysia.

Untuk rekod, Astro Audio News sebelum ini turut mencatat kejayaan menerusi wartawan kanannya, Nicholas Darren John, yang meraih gelaran naib juara pada Anugerah Media PETRONAS serta muncul juara pada Anugerah Media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Najib pula sebelum ini berjaya meraih tempat ketiga masing-masing pada Anugerah Media RKB dan Anugerah Media Akademi Dalam Industri.

Rentetan kejayaan tersebut menjadikan 2026 sebagai antara tahun paling gemilang dalam sejarah Astro Audio News, dengan 5 pengiktirafan kewartawanan berjaya diraih dalam tempoh setahun.

Pencapaian ini bukan sahaja mengangkat nama wartawannya, malah turut memperkukuh kredibiliti Astro Audio News sebagai sebuah bilik berita yang komited terhadap kewartawanan berkualiti, berintegriti dan berimpak tinggi.

Astro Audio News terus melangkah maju, berpegang teguh pada prinsip yang menjadi identiti dan tunjang kecemerlangannya — Accurate. Reliable. Newsworthy.