Stesen radio SINAR menganjurkan satu pertandingan berkaitan dengan beras dikenali sebagai EXPLO-RICE SINAR di Laman Padi MAEPS Serdang 14 September lalu. 13 peserta menyertai acara itu dan berkumpulan dengan penyampai SINAR iaitu Dina, Faliyq, Shafa, Haiqal, Ray, Putra dan Hefny.
Menurut Pengurus Saluran Radio Sinar Zureen Affendy, peserta dipilih secara rawak menerusi laman web rasmi SINAR mengikut kriteria ditetapkan. Antara kriteria dipilih termasuklah menyelesaikan slogan diberikan dan membalasnya mengikut kreativiti masing-masing.
“Ini merupakan kali pertama EXPLO-RICE SINAR dianjurkan dengan anjuran sepenuhnya Jabatan Kawalselia Padi Dan Beras Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di MAEPS Serdang. Pelbagai cabaran dan halangan perlu dilakukan peserta untuk menjuarai acara tersebut.
“Antara cabaran itu ialah mengasingkan beras daripada Jerami, mengasingkan rempah ratus di atas dulang mengkuang dan berjalan atas titian yang berlumpur. Ke semua peserta dapat melakukannya cabaran tersebut dengan baik dalam situasi cuaca agak panas.
“Peserta yang menang berjaya membawa pulang pelbagai jenis beras yang boleh diguna pakai untuk kegunaan harian. Antara beras yang mereka perolehi termasuklah beras perang, beras basmathi, bihun, tepung dan pelbagai jenis hadiah berkaitan dengan beras dan padi.
“Acara ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pendengar SINAR dan barisan penyampai yang tidak henti-henti menyokong kami. Mereka juga komited dengan setiap cabaran diberikan untuk memastikan kesemuanya dapat ditamatkan mengikut masa ditetapkan.
“Dengan kesempatan ini juga saya ingin ucapkan terima kasih kepada penganjur iaitu Jabatan Kawalanselia Padi dan Beras kerana sudi mengajak SINAR untuk memeriahkan lagi EXPLO-RICE ini.
Sementara itu, penyampai SINAR Dina Nadzir berkata EXPLO-RICE berikan satu pengalaman luar biasa kerana setiap cabaran diberikan perlu diselesaikan dengan cara kreativiti masing-masing. Antara cabaran yang dirasakan sukar tapi seronok adalah mengasingkan rempah ratus di dalam dulang mengkuang.
“Rempah ratus itu dicampur aduk dan perlu diasingkan dengan ahli kumpulan yang lain. Kami ambil masa sekitar hampir setengah jam untuk selesaikan cabaran itu dengan penuh sabar.
“Namun, ada satu musibah menimpa saya kerana mengalami sesak nafas selepas menyelesaikan cabaran diselesaikan. Saya telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan susulan oleh petugas kesihatan.
“Saya berada di hospital selama lima jam dan dibenarkan pulang selepas doktor selesai buat segala rawatan ke atas saya. Terima kasih saya ucapkan kepada semua sepanjang saya berada di hospital.
Untuk mengetahui berita terkini dan aktiviti harian boleh layari laman sosial rasmi SINAR.