3Pagi ERA Kembali Bersiaran Bersama Nabil, Azad dan Radin Selepas Sebulan Direhatkan
09
April
2025

3Pagi ERA Kembali Bersiaran Bersama Nabil, Azad dan Radin Selepas Sebulan Direhatkan

KUALA LUMPUR 7 APRIL 2025 – Stesen Radio Nombor 1 ERA berbesar hati kerana penyampai daripada segmen 3Pagi ERA kembali bersiaran selepas kira-kira sebulan mereka direhatkan. 3Pagi ERA terus kekal bersama dengan trionya iaitu Nabil, Azad dan Radin yang memiliki pengikut tersendiri menerusi segmen pagi kegemaran pendengar dan penyokong setia ERA.

Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin berkata sepanjang ketiga-tiga penyampai 3Pagi ERA direhatkan, Sharifah Shahira (Kak Rare), Haziq dan Namie menggantikan tempat mereka. Gandingan ketiga-tiga ini telah banyak membantu untuk terus menghangatkan lagi segmen 3Pagi ERA dengan kreativiti mereka sendiri agar pengisian tersebut terus berinformasi dan menghiburkan pendengar.

“⁠Kami akui mendapat pelbagai maklum balas daripada pendengar ERA yang terlalu merindui dengan telatah dan coletah Nabil, Pak Azad dan Radin. Selepas kami mengumumkan mereka kembali bersiaran seperti biasa iaitu pada 7 April 2025, rata-rata pendengar teruja dan tidak sabar untuk mendengar kembali gandingan mereka itu. Sepanjang mereka direhatkan, ERA kekal fokus untuk memberikan kandungan dan pengisian terbaik sepanjang bulan Ramadan lalu. 

“Pelbagai aktiviti juga telah kami lakukan meskipun ketiadaan ketiga-tiga penyampai utama bersebut. Antara program yang telah kami lakukan termasuklah Ais Batu ERA yang dihantar secara percuma di depan pintu rumah pendengar dan juga bersihkan rumah pendengar ERA sempena meraikan Hari Raya,” katanya.

Tambah Azah, penyampai 3Pagi ERA Nabil, Azad dan Radin akui turut teruja untuk kembali bersiaran di studio selepas mereka direhatkan. Ini adalah peluang terbaik buat mereka untuk merapatkan semula hubungan mereka dengan pendengar yang tidak henti-henti menyokong kerjaya mereka.

“Kembalinya tonggak utama 3Pagi ERA, kami akan teruskan dengan pelbagai aktiviti dan program yang memberi impak positif kepada semua pihak. Golongan yang memerlukan bantuan juga akan kami kenal pasti untuk aktiviti kami yang seterusnya. Apa-apa pun, saya mewakili pengurusan ERA ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pendengar setia ERA yang sentiasa memberi semangat agar kami terus bangkit serta kekal relevan dalam industri penyiaran radio. Tanda sokongan anda semua amat kami hargai dan kami tidak akan sia-siakan kesetiaan anda!

Untuk berita dan aktiviti terkini, sila layari platform laman sosial rasmi ERA.