Buat julung kalinya Astro telah memperkenalkan Astro Badminton Cup 2023 (ABC) buat pelangannya untuk merasai pengalaman eksklusif dan merebut hadiah lumayan bernilai RM30,000. Kejohanan terbuka yang diadakan selama 3 hari baru-baru ini di gelanggang Setia Badminton academy ini berjaya menarik penyertaan hampir 200 peserta dari semua lapisan peringkat umur.
Selain itu, kejohanan ini menjadi batu loncatan buat pemain muda tempatan yang berbakat untuk merasai pengalaman bermain dalam saingan kompetitif seperti ini. Sementara itu, peserta juga mendapat peluang untuk bermain dan beramah mesra bersama pemain kebangsaan dan olimpian negara yang hadir merancakkan lagi kejohanan ini iaitu Goh V Shem, Chan Peng Soon, Low Juan Shen dan Nur Mohd Azriyn Ayub.
Pemain beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem berkata, dengan adanya program sebegini lebih ramai bakat baru sukan badminton dapat diketengahkan serta dapat mempromosi gaya hidup sihat dan aktif dikalangan masyarakat.
“Saya menyokong inisiatif Astro mengadakan kejohanan di peringkat komuniti seperti ini dimana para pemain elit negara juga dapat peluang bersama-sama untuk aktif menyalurkan tenaga dan berkongsi pengalaman mereka dalam program yang sudah pasti dapat memberi inspirasi kepada mereka”, katanya.
Bagi pemenang untuk kategori beregu campuran yang juga telah dinobatkan sebagai pemain paling bernilai (MVP), Chung Kin Seng berkata, dia teruja apabila mendapat peluang pertama kali bermain dalam kejohanan professional seperti ini dalam kategori regu dan menjadi platfrom buat pemain-pemain badminton sosial seperti dirinya mempamerkan potensi diri masing-masing.
“Ini adalah pendedahan terbaik buat pemain-pemain muda yang dilihat sebahagiannya begitu menyerlah dan mungkin membuka ruang kepada mereka untuk bermain dengan pasukan-pasukan elit pada satu hari nanti. Saya berharap lebih banyak kategori yang akan dibuka terutama untuk kategori perseorangan pada masa hadapan”, katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, melihat sambutan yang memberangsangkan, Astro akan memperbagaikan lebih banyak lagi tawaran kepada pelanggannya melalui program-program sukan. “Kita yakin ramai pelangan Astro merupakan peminat sukan dan ini hanyalah permulaan untuk kita menganjurkan lebih banyak sukan yang lain yang bukan hanya sukan badminton pada masa akan datang”, katanya.