ADAPTASI SIRI TELENOVELA ITALI POPULAR DI ASTRO PRIMA MENERUSI DRAMA DENDAM AURORA
24
July
2017

ADAPTASI SIRI TELENOVELA ITALI POPULAR DI ASTRO PRIMA MENERUSI DRAMA DENDAM AURORA

Kuala Lumpur, 19 Julai 2017 - Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Astro selaku destinasi utama rantaian drama melayu terhebat masa kini sekaligus terus melakar sejarah yang membanggakan, Astro Prima dengan kerjasama syarikat produksi Global Station Sdn Bhd membawakan sebuah lagi karya adaptasi bersiri yang berkisarkan konflik perebutan kuasa yang didorong dendam dan hasad dengki, pergolakan keluarga serta pengorbanan menerusi drama bersiri ‘Dendam Aurora’.

Drama bersiri ini telah diadaptasi ke format kisah Melayu daripada drama asal ‘Tuscan Passion’ atau lebih dikenali dengan judul ‘Tre Rose Di Eva’ yang mana ia merupakan siri popular tiga musim terbitan Mediaset Distribution yang mendapat sambutan hangat di Itali sekitar tahun 2012 lakonan Anna Safroncik, Luca Ward dan Roberto Farnesi.

Drama bersiri 100 episod yang diarahkan oleh sutradara Feroz Kader dan Riza Baharudin ini bakal menemui para penonton menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 25 Julai 2017 secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135) serta turut boleh diakses menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’ untuk pilihan yang fleksibel.

Mengulas lanjut mengenai drama adaptasi terbaharu taruhan Astro Prima, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, ”Kebelakangan ini drama-drama adaptasi daripada novel popular dan rantaian drama bersiri dari luar negara sering mendapat perhatian lantas mencetuskan fenomena tersendiri di kalangan peminat drama Melayu di Malaysia.

Walaupun nampak mudah, hakikatnya membikin karya adaptasi sebenarnya agak sukar dan memerlukan ilmu kerana proses adaptasi karya asal untuk menghasilkan karya baharu menuntut interpretasi kreatif bagi mengekalkan semangat dan inti pati asal dengan nilai naratif yang menarik. Justeru, kami menyambut baik cabaran seumpama ini kerana ia mampu memberi persaingan positif untuk menggalakkan pembangunan industri penerbitan drama negara ini.

Melihat kepada potensi ini, Astro mempertaruhkan pula naskah rantaian siri popular Itali ‘Tuscan Passion’ yang diangkat dalam bentuk drama bersiri iaitu ’Dendam Aurora’ istimewa untuk para peminat drama dan siri telenovela.”

Dalam pada itu, Raqim turut mengakui bahawa format sebegini sudah diterima baik oleh masyarakat tempatan berdasarkan kejayaan drama-drama sebelum ini yang turut disuntik dengan formula yang sama seperti drama ‘Lara Aishah’ yang diadaptasi daripada siri telenovela Mexico popular ‘La Loba’ edaran TV Azteca (Mexico) dan ‘Papa Ricky’ daripada siri ‘Papi Ricky’ edaran Canal 13 (Chile).

Beliau turut menjelaskan bahawa pemilihan siri telenovela ‘Tuscan Passion’ untuk diadaptasi adalah berasaskan jalan ceritanya yang tersendiri dan juga merupakan antara karya popular yang berjaya mencuri hati penonton di negara asalnya.

Kisah konflik penuh dendam ini bakal menyaksikan lakonan mantap gandingan Nabila Huda dan Ungku Ismail Aziz selaku teraju utama yang masing-masing memegang watak sebagai Aurora Abdullah dan Harris Hamzah. Turut membintangi drama ini termasuklah Dian P Ramlee (Octavia Milner), Dato’ Eizlan Yusof (Engku Azhar), Anzalna Nasir (Putri Adrina Engku Azhar), Tony Eusoff (Dato’ Hamzah), Fezrul Khan (Hakim Hamzah), Shah Iskandar (Haikal Hamzah), Aedy Ashraff (Hadi Hamzah), Octavia Manrose (Hanna Hamzah), Emilie Haniff (Marzia Abdullah), Mia Nasir (Nissa Abdullah), Zila Bakarin (Lydia), Adam Lee (Rizal), Nikki Palikat (Laura), Dato' Sri Raja Rezza Shah (Firdaus), Marissa Yasmin (Hawa), Alex Yank (Adnan), Chew Kin Wah (Michael), Sharifah Shahora (Angela), Zuraini Kassim (Tuan Bakar), Hafiz Halim (Affendi) dan Yuzz Murai (Razman). 

Raqim turut menambah, ”Kesemua barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan watak yang cukup berkesan. Selain olahan plot penceritaan penuh konflik yang mendebarkan, sinematografi drama ’Dendam Aurora’ juga menjanjikan sesuatu paparan yang menarik buat penonton apabila menjadikan Cameron Highlands sebagai lokasi utama penggambaran.

Tambah menarik lagi, penyanyi tersohor Jacklyn Victor dan Siti Nordiana juga bakal berpadu suara buat julung kalinya untuk single terbaharu berjudul Nisan Cinta yang turut diangkat menjadi lagu runut bunyi untuk drama bersiri ini.

Kami berharap gabungan kesemua elemen-elemen ini mampu meletakkan ’Dendam Aurora’ sebagai sebuah drama yang paling ditunggu oleh penggemar dan peminat drama-drama Melayu sekaligus mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri.”

Rantaian drama Dendam Aurora mengisahkan tentang seorang wanita bernama Aurora Abdullah (lakonan Nabila Huda) yang dipenjarakan selama 8 tahun di atas kesalahan membunuh. Aurora kemudiannya dibebaskan lebih awal dari waktu ditetapkan kerana berkelakuan baik. Walaupun ditegah oleh neneknya  Octavia Milner (lakonan Dian P. Ramlee), Aurora mengambil keputusan untuk pulang ke Tana Rata, Cameron Highlands, Pahang setelah dibebaskan demi membersihkan namanya dan nama keluarganya yang telah tercalar setelah dia dituduh membunuh Dato’ Hamzah (lakonan Tony Eusoff).

Kemunculan semula Aurora di Tanah Rata membuatkan keadaan menjadi tegang yang mana semua orang terkejut dengan kehadirannya terutama Harris (lakonan Ungku Ismail Aziz), yang merupakan bekas kekasih Aurora dan juga anak kepada Dato’ Hamzah. Pada waktu itu, Harris yang juga pemilik ladang Teh besar di Tanah Rata sudah ditunangkan dengan Putri Adrina (lakonan Anzalna Nasir), bakal pewaris kepada Engku Azhar (lakonan Dato’ Eizlan Yusof), pemilik ladang sayuran terbesar di Malaysia.

Aurora terkejut apabila mengetahui yang perniagaan keluarganya kini menanggung hutang yang banyak dan dipinggirkan oleh orang kampung. Perusahaan teh mereka yang dijalankan Octavia semakin muflis. Dengan bantuan dan sokongan Ustaz Hakim (lakonan Fezrul Khan), Aurora nekad untuk membangunkan perusahaan keluarganya.

Kehadiran Aurora di Tanah Rata juga pada masa yang sama membuatkan pengusaha-pengusaha yang bersubahat dengan Engku Azhar bimbang jika rahsia kematian Dato’ Hamzah bocor. Mereka nekad untuk memastikan kehidupan Aurora terus sukar dan rahsia mereka tidak diketahui sesiapa.

Didorong rasa benci, Haikal Hamzah (lakonan Shah Iskandar) pula ingin membalas dendam kepada Aurora di atas pembunuhan ayahnya. Hasil siasatannya, beliau mendapat tahu bahawa Aurora tidak bersalah. Rasa kesal dan malu ini membawa kepada perasaan cinta pada diri dan semangat perjuangan Aurora. Manakala Harris yang sudah ditunangkan dengan Putri Adrina pula pada masa yang sama semakin cemburu dengan adiknya yang semakin rapat dengan Aurora.

Engku Azhar pula gembira dengan perkembangan hubungan Haikal dan Aurora kerana beliau sudah lama tidak menyukai Harris. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa merestui dan akur dengan keputusan anak kesayangannya Putri Adrina yang tetap berkeras untuk berkahwin dengan Harris. Perkahwinan Harris dan Putri Adrina merumitkan lagi konflik di antara tiga keluarga besar di Tanah Rata tersebut.

Apakah kesudahan kisah Aurora? Sama-sama kita saksikan. Selamat menonton!