Segala persoalan dan tanda tanya berhubung pelantikan pasangan pengacara yang bakal mengemudikan pentas utama program realiti Rockanova kini terjawab apabila pihak Astro Prima mengesahkan gandingan mantap penyanyi, pelakon dan hos popular, Alif Satar dan pelawak terkenal Sherry Alhadad sebagai Pengacara Konsert untuk musim yang julung kali diterbitkan pada petang tadi.
Sementara itu, hos hlive yang juga merupakan pelakon yang semakin meningkat naik, Adriana Adnan pula akan menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara Diari.
Mengulas mengenai pemilihan Alif dan Sherry sebagai pengacara konsert, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad tanpa ragu-ragu memberitahu kedua-dua selebriti popular itu memiliki karisma tersendiri dan reputasi yang tidak perlu dipertikaikan dalam mengendalikan program-program hiburan terutamanya yang bersiaran secara langsung dalam skala yang besar.
Atas alasan itu, kata Raqim, Astro memang tidak teragak-agak mengambil mereka berdua untuk mengendalikan konsert mingguan Rockanova kerana percaya dengan kemampuan mereka untuk menghidupkan program ini dengan keletah mereka yang bersahaja.
"Sebelum ini Alif sudahpun membuktikan keupayaan beliau mengawal pentas besar sewaktu bergandingan dengan Zizan Razak ketika mengacarakan program Akademi Fantasia. Manakala Sherry pula memiliki kredibiliti yang tidak boleh disangkal selain pernah dilantik sebagai hos acara berprestij seperti Festival Filem Malaysia dan Anugerah Planet Muzik sebelum ini.
Justeru, keputusan untuk menggandingkan mereka berdua untuk menjayakan penerbitan pertandingan nyanyian yang mengangkat muzik aliran rock ini dilihat cukup tepat.
Kami juga amat mengalu-alukan kehadiran Adriana dalam keluarga Rockanova untuk memeriahkan musim ini selaku pengacara diari.”
Sepuluh orang peserta yang berjaya diserap masuk untuk menyertai musim pertama ini adalah terdiri daripada lima orang peserta lelaki iaitu PIJOE; [Hafizul Andie Zulkarnain, 27, Sabah], ERMAN; [Ermansah Endal, 32, Sabah], JR; [Gajir Junior, 27, Sabah], OZIL; [Mohd Fadzil Ayong, 30, Sabah] dan EME; [Eme Termizie, 31, Sarawak].
Manakala lima orang lagi ialah peserta perempuan iaitu MEL; [Malisa Janudin, 33, Johor], DAYAH; [Nurhidayah Yahya, 25, Kuala Lumpur], ZARITH; [Zarith Sofia Mohd Yasin, 24, Johor], DIAN; [Sri Diana Amir Bashah, 36, Pulau Pinang] dan YAN [Noor Aziyan Saiddudin, 32, Perak].
Mengulas mengenai pemilihan barisan peserta, Raqim turut berkata, pihak produksi telahpun menjalankan sesi penyaringan yang cukup telus dan teliti bagi mengenal pasti bakat yang benar-benar mampu memberi cabaran sengit.
“Walaupun pertama kali diterbitkan, kami telah menerima banyak penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang cukup berbakat dan ini merupakan cabaran kepada pihak produksi Astro sendiri untuk menyenarai pendek barisan peserta yang benar-benar berpotensi dan menonjol untuk diserap masuk bagi menyertai musim ini.
Tunjang utama pemilihan mereka adalah kemampuan untuk melontarkan vokal dengan baik yang menjadi senjata utama bagi setiap peserta dalam program ini. Selain itu, setiap daripada mereka juga memiliki keunikan identiti, karakter dan aura ‘rockers’ yang turut menjadi teras utama pemilihan pihak produksi. Pemilihan ini membuktikan mereka adalah yang terbaik dan kami percaya mereka juga sudah tidak sabar lagi untuk memperlihatkan bakat sedia ada yang dimiliki.”
Rangkaian program Rockanova bakal bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Prima (105). Rutin para peserta dapat ditonton melalui liputan diari harian ’Rock On’ pada setiap hari Isnin dan Selasa, jam 9.00 malam bermula pada 27 Mac 2017. Selain itu, para para penonton juga boleh mengikuti apa yang berlaku di sebalik tabir konsert mingguan menerusi program ’Rocktrek Rockanova’ pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam bermula pada 29 Mac 2017. Menarik lagi, para peminat juga boleh menonton persembahan akustik para peserta menerusi kapsul ’Rock Jamm’ pada setiap hari Khamis dan Jumaat, jam 8.55 malam bermula 30 Mac 2017.
Manakala ’Konsert Rockanova’ pula akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen CIDB, Jalan Cheras pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 29 Mac 2017 secara serentak di saluran Astro Prima dan Maya HD (135).
Rockanova ialah sebuah program pencarian bakat yang berkonsepkan pertandingan nyanyian untuk mencari generasi pelapis muzik aliran rock. Bagi membuktikan kesungguhan inisiatif ini, Rockanova turut menampilkan ikon muzik rock terkenal, Dato’ Awie dan komposer popular tanah air, Edry Abdul Halim sebagai Juri Tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Manakala seorang lagi juri akan diundang khas sebagai juri jemputan pada setiap minggu.
Selain itu, Rockanova juga turut membawa masuk dua tenaga pengajar untuk menyumbangkan khidmat bimbingan dan tunjuk ajar kepada barisan peserta musim ini iaitu Dato’ Hattan sebagai Sifu Rock merangkap Guru Persembahan dan Sarah Ismail sebagai Guru Vokal.
Program Rockanova turut memperkenalkan sistem pemarkahan yang berdasarkan 70% oleh pihak juri dan 30% berdasarkan undian SMS. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan. Talian untuk menghantarkan undian akan mula dibuka pada 29 Mac 2017, jam 9.30 malam. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa.
Juara Rockanova bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM 80,000.00 beserta trofi. Naib juara pula akan memenangi wang tunai RM 40,000.00 beserta trofi. Pemenang tempat ketiga bakal membawa pulang wang tunai RM 20,000.00 beserta trofi. Manakala pemenang tempat keempat pula akan memenangi wang tunai RM 10,000.00 beserta trofi.
Selain itu, Rockanova juga sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Alicafe selaku Penaja. Radio Sinar fm serta Aplikasi Raku juga turut menghulurkan sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Radio Rasmi dan Radio Digital Rasmi. Selain itu, Rockanova juga turut disokong oleh Astro Gempak selaku Portal Hiburan Rasmi serta Astro Circle selaku Rakan Rockanova.