KUALA LUMPUR, 10 April 2022 –Astro Kasih ESG, Yayasan Ikhlas dan McDonalds Malaysia bekerjasama untuk meraikan Ramadan kali ini bersama komuniti PPR Desa Tun Razak dengan seramai 250 penghuni di sini. Tujuan kolaborasi bersama Yayasan Ikhlas dan McDonalds Malaysia adalah untuk membantu para penduduk meraikan Ramadan dengan lebih bermakna sejajar dengan slogan Kempen Ramadan Astro iaitu ‘Semangat Lebaran Kita’.
Astro Kasih ESG telah menyediakan bahan-bahan keperluan asas seperti beras, gula, bihun, biskut, minuman berkhasiat dan kurma untuk setiap keluarga di komuniti tersebut. Manakala pihak Yayasan Ikhlas memberikan wang sumbangan RM100 kepada setiap isi rumah. McDonalds Malaysia turut memberikan sumbangan RM10,000 kepada Yayasan Ikhlas untuk membantu Yayasan Ikhlas melakukan aktiviti pada bulan Ramadan kali ini.
Turut memeriahkan suasana acara tersebut adalah artis-artis yang mewakili Kempen Ramadan Astro iaitu Nadhir Nasar, Yaya Zahir, Erissa Puteri, Idris Brown, Putera Madam, Padel Madam, Timah dan Syazwan Shuhaimi serta pelakon Lisa Surihani. Program ini turut menyaksikan pengagihan bubur lambuk, pemberian sumbangan dan sesi beramah mesra bersama komuniti PPR Desa Tun Razak.
Bantuan yang diberi diharapkan boleh mengurangkan serba sedikit beban yang dihadapi komuniti PPR Desa Tun Razak dalam menyambut bulan Ramadan dengan lebih sempurna.