Astro Anjurkan Sesi Tayangan Drama Dengan Sokongan Trek Pendengaran Audio Pertama Di Malaysia Untuk Golongan Kurang Upaya Penglihatan
27
September
2024

Astro Anjurkan Sesi Tayangan Drama Dengan Sokongan Trek Pendengaran Audio Pertama Di Malaysia Untuk Golongan Kurang Upaya Penglihatan

KUALA LUMPUR, 27 September 2024 – Astro, syarikat peneraju utama dalam pembikinan kandungan dan juga hiburan nombor 1 di Malaysia amat berbesar hati membawakan kepada semua kandungan-kandungan terkini kepada para penonton. Terbaru, Astro memperkenal drama tempatan dengan membawakan sokongan trek penerangan audio, bagi menyantuni golongan kurang upaya penglihatan.

Drama ‘Dari Mata Turun Ke Hati’ adalah yang pertama menyediakan khidmat sokongan trek penerangan audio. Fungsi utama khidmat ini adalah untuk memastikan drama Astro lebih mudah untuk diakses oleh golongan kurang upaya penglihatan dalam mendalami setiap penceritaan yang disampaikan. Kejayaan drama ini turut mendapat sambutan dari Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan disokong Kementerian Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat.

Astro terpanggil untuk mengadakan satu program tanggung jawab sosial korporat, dengan mengadakan sesi tontonan istimewa episod 1 drama ‘Dari Mata Turun Ke Hati’ kepada warga MAB. Sesi tayangan ini diserikan dengan kehadiran dan sokongan YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri. Turut sama hadir mengisi tontotan istimewa ini ialah barisan pelakon drama, iaitu Arabella, Azri Safix, Afiq Amidon, Darien dan Qistina Khaled. Pada acara tersebut, para hadirin juga dapat melihat dan merasai pengalaman menonton drama yang disertai dengan trek penerangan audio.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, "Saya amat berbesar hati dapat bersama dalam program ini yang mencerminkan komitmenAstro dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dalam memperkasa komuniti kurang upaya penglihatan di negara kita. Pelancaran trek penerangan audio digital khas untuk drama Melayu tempatan merupakan satu langkah yang sangat signifikan dalam memastikan akses yang lebih inklusif kepada kandungan hiburan .Ini bukan sahaja membantu memperbaiki kualiti hidup golongan kurang upaya penglihatan, malah memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap cabaran yang mereka hadapi. Saya berharap usaha ini akan menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk bersama-sama menyumbang ke arah masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin."

Menurut Ketua ESG Astro, Puan Foo Su Lynn, “Di Astro, kekuatan terbesar kami ialah mempunyai capaian yang luas melalui penciptaan karya-karya yang menjadi topik perbualan orang ramai, selain menyumbang kesedaran positif berkenaan tanggungjawab sosial (ESG). Lebih dari 2,000 jam kandungan berkaitan ESG sudah dilaksana pada tahun lepas dan kami beriltizam akan melabur dengan lebih banyak pada tahun ini. Penyediaan khidmat trek penerangan audio ini juga selaras dengan hasrat ESG dalam menyantuni golongan kurang upaya penglihatan.”

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, YBhg. Dato’ George Thomas berkata,“Dengan tawaran perkhidmatan seperti ini, Astro bukan sahaja memenuhi keperluan penonton kurang upaya penglihatan, tetapi juga menggalakkan keterangkuman dan kepelbagaian yang lebih besar dalam industri hiburan. Inisiatif ini menyerlahkan kepentingan capaian yang sama kepada media dan menekankan bagaimana teknologi boleh menembus sempadan, menjadikan dunia penceritaan melalui visual boleh diakses oleh semua individu, tanpa mengira kebolehan penglihatan mereka.”

Pada hari yang sama, para tetamu dibawa melawat bagi merasai sendiri fasiliti yang terdapat di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB). Mereka diberi penerangan berkenaan keboleh gunaan fasiliti di MAB dan diberi peluang mencuba peralatan yang disediakan.

Bermula 26 September 2024, drama dengan trek penerangan audio akan dilancarkan di sooka untuk tontonan dan bakal menjadi platform hiburan baru kepada lebih dari 600,000 pengguna kurang upaya penglihatan.

Antara inisiatif lain yang akan dilaksana Astro bagi menyantuni golongan kurang upaya penglihatan termasuklah, ‘Kisah Di Sebalik Bola -Suara Kemenangan’, ‘MyFutureJob Visually Impaired Person’ Career Day 2024’ oleh MAB, dan juga sambutan Hari Orang Buta oleh MeleTOP. 

Daftar sekarang untuk tawaran masa terhad baharu Astro, JUALAN JIMAT BESAR dengan harga serendah RM41.99/sebulan serta pemasangan percuma. Nikmati hiburan terbaik, dalam satu tempat! Layari astro.com.my bagi info lanjut untuk melanggan.

*Tertakluk pada terma dan syarat.