KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad dan Astro Audio dengan penuh semangat nasionalisme dan komitmen terhadap perpaduan negara, mengumumkan sumbangan penajaan berjumlah RM5.2 juta kepada Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025). Sumbangan ini menjadikan Astro Audio sebagai Rakan Strategik Platinum, menyokong usaha kerajaan dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Malaysia.
Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan dalam satu acara rasmi, di mana Ketua Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, menyerahkan cek cura kepada YB Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sebagai simbol sokongan padu Astro Audio terhadap aspirasi Malaysia Madani.
“Kami di Astro Audio amat berbesar hati dan berbangga dapat menyumbang kepada HKHM 2025. Sumbangan ini bukan sekadar angka ia adalah lambang semangat kami untuk bersama-sama membina sebuah negara yang bersatu, progresif dan penuh harapan. Sebagai peneraju kandungan audio di Malaysia, kami percaya bahawa suara rakyat adalah nadi kepada perpaduan. Melalui platform kami, kami akan terus menyampaikan kisah-kisah inspirasi, suara generasi muda, dan semangat kebangsaan yang merentasi sempadan budaya dan bahasa,” ujar Priya
“HKHM bukan sekadar sambutan ia adalah detik penting untuk kita semua menyatakan rasa cinta dan bangga terhadap tanah air. Astro Audio akan memastikan semangat ini disampaikan ke seluruh pelusuk negara, dari bandar hingga ke desa, melalui kandungan audio yang menyentuh hati dan menyatukan jiwa.”
Sebagai Rakan Strategik Platinum, Astro Audio akan melaksanakan dua inisiatif utama sempena HKHM 2025:
Siaran Luar KITA FM Bersama Radio RTM pada 31 Ogos 2025 bertempat di Dataran Putrajaya, membawa liputan langsung dan kandungan patriotik kepada jutaan pendengar sempena Hari Kebangsaan.
Jelajah KITA FM yang akan bersiaran luar menaiki Bas Hop On Hop Off, menjelajah hampir ke seluruh negara, menyampaikan semangat HKHM 2025 secara dekat kepada rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.
Dengan sokongan ini, Astro Audio bertekad untuk menjadikan HKHM 2025 sebagai satu sambutan yang bukan sahaja meriah, tetapi juga bermakna dan menyatukan seluruh rakyat Malaysia. Inisiatif Astro Audio ini juga adalah sebahagian dari kempen HKHM 'Inilah KITA, Sehati Bersama' anjuran Astro Malaysia Holding Berhad yang telah bermula pada 15 Ogos sehingga 16 September 2025. Membawakan naratif perpaduan dalam kepelbagaian, 'Inilah KITA, Sehati Bersama’ juga diserikan dengan saluran khas KITA Channel (saluran 100), dokumentari khas Kisah Perpaduan Inilah KITA, acara Hello Inilah KITA, KITA Run, dan juga lagu tema Merdeka, Bangkit Malaysia oleh penyanyi Hael Husaini, khusus dalam meraikan lagi semangat patriotisme di Malaysia.
Muat turun aplikasi 11 stesen radio Astro Audio di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery. Sama ada anda peminat muzik terkini, berita, gosip hiburan, motivasi atau lagu-lagu klasik, semuanya kini hanya di hujung jari anda.