Astro Audio Agih 3,000 Bubur Lambuk Dalam Program KAMI CARE DRIVE THRU BUBUR LAMBUK 2025
25
March
2025

Astro Audio Agih 3,000 Bubur Lambuk Dalam Program KAMI CARE DRIVE THRU BUBUR LAMBUK 2025

SHAH ALAM 24 MAC 2025 – Astro Audio mengagihkan kira-kira 3,000 bubur lambuk secara pandu lalu dalam program Kami Care Drive Thru Bubur Lambuk bertempat di Masjid Al Ikhlas Seksyen 13 Shah Alam. Acara bermula pada jam 4 petang hingga 6 petang itu turut dihadiri para penyampai dari 13 stesen serta barisan sukarelawan terdiri daripada petugas-petugas Astro Audio.

Ketua Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran berkata majlis pengagihan bubur lambuk ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penyampai Astro Audio dengan pendengar yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada kami. Ia juga antara salah satu pengisian program Ramadan bagi tahun ini untuk mengimarahkan lagi bulan yang mulia disisi umat Islam.

“Agihan bubur lambuk secara pandu lalu itu antara salah satu program yang ditunggu-tunggu semua pihak termasuk barisan penyampai Astro Radio dan juga petugas kami. Menerusi acara ini, kami dapat meluangkan masa sesama kami serta dapat mengenali dengan lebih dekat terutama pendengar-pendengar kami. 

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama kepada petugas CSR kami iaitu Kami Care serta pihak pengurusan Masjid Al Ikhlas Seksyen 13 Shah Alam kerana memberi ruang sekali lagi kepada kami untuk mengagihkan bubur lambuk di perkarangan kawasan masjid ini. Tidak ketinggalan juga, jutaan terima kasih diberikan kepada KUEH yang turut serta dalam acara ini serta menyediakan lokasi kami untuk berbuka puasa,” ujar Priya.

Tambah Priya, acara turun padang seumpama ini akan diteruskan di masa akan datang kerana ia antara salah satu pengisian terbaik untuk menghargai kepada semua pendengar dan penyokong setia Astro Audio agar memastikan 13 stesen audio kami kekal relevan dan diminati rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bahasa, agama dan juga kaum.

Untuk berita, acara dan program terkini 13 stesen Astro Audio boleh layari laman sosial rasmi stesen masing-masing. Untuk mendengar streaming dengan lebih baik, boleh didengari menerusi aplikasi Syok!