KUALA LUMPUR 30 MAC 2026 – Astro Audio melahirkan rasa penghargaan dan kebanggaan apabila lagu raya “Inilah Raya” berjaya tersenarai dalam Top 10 Lagu Raya 2026 Redbox, sekali gus meletakkannya sebaris dengan beberapa lagu raya popular lain seperti “Jodoh Lebaran” nyanyian Aisha Retno, “Mama Papa Raya” oleh Datuk Aliff Syukri serta “Bincang Raya” hasil kolaborasi Amira Othman dan Irfan Haris.
Menurut Ketua Pengurus Stesen Radio Astro Audio, Dharmendra, pengiktirafan tersebut merupakan satu pencapaian yang amat bermakna buat Astro Audio, lebih-lebih lagi kerana Inilah Raya adalah sebuah projek istimewa yang menampilkan barisan penyampai radio Astro Audio sendiri.
“Bagi pihak Astro Audio, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada pihak Redbox atas pengiktirafan yang diberikan kepada lagu Inilah Raya. Tersenarainya lagu ini sebagai antara 10 lagu raya kesukaan ramai bagi tahun 2026 adalah satu penghormatan besar bukan sahaja kepada Astro Audio sebagai organisasi, malah kepada setiap penyampai radio yang terlibat secara langsung dalam menjayakan lagu ini,” katanya.
Dharmendra turut menyatakan bahawa pencapaian ini memberikan makna yang lebih mendalam kerana lagu tersebut terhasil daripada semangat kebersamaan warga Astro Audio, di samping sokongan padu para pendengar.
“Kami berasa amat terharu dan pada masa yang sama berbangga apabila sebuah lagu yang menghimpunkan ramai penyampai Astro Audio menerima sambutan yang begitu positif daripada pendengar. Ini membuktikan bahawa lagu Inilah Raya bukan sekadar sebuah karya hiburan semata-mata, tetapi berjaya menyentuh emosi dan membangkitkan semangat Aidilfitri dalam kalangan pendengar daripada pelbagai latar belakang,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata kejayaan ini turut mencerminkan hubungan erat antara penyampai radio Astro Audio dengan para pendengar yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan.
“Astro Audio sentiasa percaya bahawa kekuatan kami terletak pada hubungan yang tulen antara penyampai dan pendengar. Apabila sebuah lagu yang dinyanyikan oleh penyampai radio sendiri diterima baik oleh orang ramai, ia menjadi satu pengesahan bahawa pendengar menghargai keikhlasan, usaha dan semangat yang kami bawakan dalam apa jua kandungan yang dihasilkan,” tambah Dharmendra.
Dalam perkembangan sama, Dharmendra menjelaskan bahawa meskipun Inilah Raya dilancarkan sedikit lewat berbanding lagu-lagu raya lain tahun ini, faktor tersebut tidak menjejaskan prestasi dan penerimaan lagu berkenaan.
“Pelancaran Inilah Raya dibuat agak lewat berikutan keperluan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh pihak berkaitan sebagai sebuah stesen penyiar radio. Namun kami melihat perkara ini secara positif kerana walaupun dilancarkan kemudian, lagu ini tetap mampu memberikan persaingan yang sihat dan berdiri seiring dengan lagu-lagu raya lain yang telah dilancarkan lebih awal,” katanya lagi.
Beliau turut berharap kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada Astro Audio untuk terus menghasilkan projek-projek kreatif yang melibatkan penyampai radio dan dekat dengan citarasa pendengar.
“Pengiktirafan ini menjadi satu dorongan besar buat kami untuk terus memperkasakan kandungan audio tempatan, khususnya yang berteraskan nilai kebersamaan dan budaya. Kami berharap sokongan berterusan daripada pendengar akan terus menyemarakkan semangat Astro Audio untuk berkarya dan berinovasi pada masa akan datang,” katanya.
Astro Audio merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para pendengar, rakan industri serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Inilah Raya, dan kekal komited untuk menyajikan kandungan audio berkualiti yang relevan, menghiburkan serta dekat di hati rakyat Malaysia.


%201.png)

