Astro Audio Lancar Lagu Raya “Inilah Raya” Menampilkan Penyampai ERA, ERA SABAH, ERA SARAWAK, SINAR, THR GEGAR & ZAYAN
06
March
2026

Astro Audio Lancar Lagu Raya “Inilah Raya” Menampilkan Penyampai ERA, ERA SABAH, ERA SARAWAK, SINAR, THR GEGAR & ZAYAN

KUALA LUMPUR 5 MAC – Astro Audio buat julung kalinya melancarkan sebuah lagu raya khas berjudul “Inilah Raya”, menampilkan hampir 20 penyampai radio daripada rangkaian stesen Melayu di bawah Astro Audio iaitu ERA, ERA Sabah, ERA Sarawak, SINAR, THR GEGAR dan ZAYAN.

Lagu yang digubah oleh komposer dan penulis lirik berbakat, Amy Bong, ini mengetengahkan konsep moden tradisional, menampilkan susunan muzik ceria, mesra telinga dan sesuai untuk menyemarakkan suasana menyambut Aidilfitri. Buat pertama kalinya juga, pelancaran lagu raya ini dijayakan melalui kerjasama rasmi bersama TikTok Shop, sebagai usaha mendekati pengguna dan peminat kandungan digital di seluruh Malaysia.

“Inilah Raya” dilancarkan secara serentak pada 5 Mac, bermula 9 pagi, di kesemua rangkaian stesen radio Melayu Astro Audio.

Video muzik rasmi pula bakal dilancarkan pada 13 Mac, merakamkan kemeriahan, keakraban dan semangat penyampai radio yang bersama-sama menjayakan rakaman ini.

Ketua Pengurus Stesen Radio Astro Audio, Dharmendra, berkata:

“Ini adalah sebuah projek yang sangat dekat di hati kami kerana ia menghimpunkan penyampai dari seluruh Malaysia dalam satu karya yang mencerminkan kemeriahan Aidilfitri. Ini juga merupakan kali pertama Astro Audio menghasilkan lagu raya melibatkan penyampai ERA, SINAR, THR GEGAR, ZAYAN serta ERA Sabah dan ERA Sarawak dalam skala sebesar ini.”

“Kami berharap lagu ‘Inilah Raya’ menjadi irama yang menemani pendengar sepanjang perjalanan pulang ke kampung, saat berkumpul bersama keluarga, dan ketika menyambut 1 Syawal yang penuh makna. Lagu raya sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya Malaysia, melangkaui kaum, agama dan negeri ia membawa rasa nostalgia dan kegembiraan yang sukar diganti.”

“Projek ini juga merupakan hadiah khas kepada pendengar setia Astro Audio. Tanpa sokongan mereka, penyampai-penyampai kami tidak akan menjadi suara yang dekat di hati masyarakat. Melalui lagu ini, kami ingin berkongsi kegembiraan dan semangat bersyukur menyambut Hari Raya. Kami juga gembira dapat bekerjasama dengan rakan kami di TikTok Shop bagi memastikan lagu ini dapat dinikmati oleh lebih ramai pengguna di pelbagai platform.”

“Kami berharap ‘Inilah Raya’ bukan sahaja menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini, tetapi terus menjadi lagu yang dikenang dan disukai untuk tahun-tahun mendatang.”