Astro Audio News Raih Tempat Ketiga di Anugerah Liputan Media Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB)
KUALA LUMPUR 1 JULAI 2026 – Astro Audio News meneruskan momentum kecemerlangan apabila meraih tempat ketiga dalam Anugerah Liputan Media Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 bagi kategori radio.
Pengiktirafan itu diraih menerusi wartawan Astro Audio News, Muhammad Najib Md Nazri, yang membawa pulang sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM5,000 hasil laporannya bertajuk “Reformasi dan Digitalisasi: Malaysia Sedang Berubah”.
Laporan berkenaan mengetengahkan usaha reformasi yang dilaksanakan di bawah Kerajaan MADANI dalam mentransformasikan cara negara berfungsi melalui pendigitalan perkhidmatan, pengurangan kerenah birokrasi serta kawalan ketirisan perbelanjaan. Ia turut menekankan bahawa transformasi tersebut bukan sekadar penambahbaikan sistem, malah mengubah secara asas cara sesebuah negara beroperasi.
Anugerah itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam Majlis Apresiasi Reformasi Kerenah Birokrasi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 Jun 2026.
Kejayaan ini sekali gus mengukuhkan reputasi Najib dan Astro Audio News sebagai pemenang konsisten dalam industri media. Sebelum ini, beliau turut mencatat kejayaan di Anugerah Media MPI-PETRONAS 2025 dan Anugerah Media PERKESO.

Mengulas pencapaian tersebut, Ketua Operasi Bilik Berita dan Trafik Astro Audio News, Moganadas Muniandy, berkata kejayaan itu adalah hasil usaha gigih, komitmen berterusan dan semangat kerja berpasukan yang tinggi.
“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi seluruh pasukan Astro Audio News dalam menghasilkan laporan yang berkualiti serta memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut membuktikan Astro Audio News, yang berpegang kepada slogan ‘Accurate, Reliable and Newsworthy’, sentiasa melahirkan wartawan berbakat yang mampu bersaing dalam industri media.
Sementara itu, Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, turut meluahkan rasa bangga atas kejayaan berkenaan dan berharap ia menjadi inspirasi kepada seluruh warga bilik berita Astro Audio News untuk terus menghasilkan laporan berkualiti tinggi serta meraih lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.