KUALA LUMPUR 1 MEI 2026 – Astro Audio terus mencipta impak dalam industri penyiaran radio apabila berjaya meraih Anugerah Emas di Marketing Interactive PR Awards 2026, membuktikan bahawa kandungan audio mampu menjadi medium berpengaruh dalam menyatukan masyarakat.
MarketingInteractive PR Awards 2026 merupakan sebuah platform pengiktirafan industri perhubungan awam yang berprestij, yang telah berlangsung di Singapura baru-baru ini dan menghimpunkan pengamal komunikasi serta profesional industri dari Asia Tenggara, Asia Selatan dan Pasifik. Anugerah ini mengiktiraf kempen komunikasi yang menunjukkan kecemerlangan dari segi pemikiran strategik,pelaksanaan berkesan dan impak bermakna kepada khalayak, sekali gus menetapkan penanda aras bagi amalan terbaik dalam landskap komunikasi serantau.
Kejayaan ini diraih menerusi kempen Kelas Perpaduan ERA, yang diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Best Use of Social Media for Crisis Communications. Kempen berkenaan diiktiraf kerana pendekatannya yang bijak dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial ketika berdepan isu sensitif, sambil menyampaikan mesej perpaduan, empati dan saling menghormati nilai yang penting dalam kalangan generasi muda hari ini.
Kelas Perpaduan ERA menampilkan pendekatan komunikasi yang segar dan relevan, dengan kandungan yang bukan sahaja mudah difahami, malah menggalakkan perbincangan terbuka serta kesedaran tentang kepentingan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum. Melalui suara penyampai radio dan interaksi digital bersama pendengar, kempen ini berjaya menjadikan topik serius lebih dekat dengan jiwa pendengar, terutamanya golongan belia.
Pencapaian di Marketing Interactive PR Awards 2026 ini turut melengkapkan kejayaan terdahulu kempen sama, yang telah menerima Anugerah Gangsa di Malaysia PR Awards 2025, anjuran PRCA Malaysia, badan pengiktirafan industri perhubungan awam terkemuka negara. Rentetan pengiktirafan ini menunjukkan keberkesanan strategi komunikasi Astro Audio yang konsisten, autentik dan berpaksikan komuniti.
Kejayaan ini juga mencerminkan usaha berterusan Astro Audio dalam menghasilkan kandungan yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut membentuk pemikiran positif dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pendengar. Ia membuktikan bahawa radio dan media digital masih relevan sebagai platform untuk membawa mesej bermakna, khususnya kepada generasi muda yang celik media dan aktif di ruang sosial.
Astro Audio merakamkan penghargaan kepada para pendengar, rakan industri dan pihak penganjur atas sokongan berterusan terhadap inisiatif yang memperjuangkan komunikasi berhemah dan perpaduan nasional.


%201.png)

