Astro dan Digital Durian Bawakan Konsert Animasi Pertama ke Layar Perak
Astro dan Digital Durian Bawakan Konsert Animasi Pertama ke Layar Perak
20
February
2018

Astro dan Digital Durian Bawakan Konsert Animasi Pertama ke Layar Perak

Daripada dendangan siri lagu kanak-kanak di YouTube, ke terbitan cerita pendek menerusi ‘Cerita-Cerita Didi & Friends’ pada tahun lalu, animasi kanak-kanak popular Didi & Friends tampil lebih gah pada tahun 2018 dengan buah tangan terbaharu berjudul ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.

Konsert yang dijayakan oleh watak Didi, Nana, Jojo dan rakan-rakannya ini merupakan konsert animasi pertama yang ditayangkan di layar perak dan akan mula membuka tirai persembahan bermula pada 10 Mac 2018 di pawagam-pawagam TGV seluruh Malaysia dan The Mall, Brunei sempena cuti persekolahan yang bakal tiba.



NOTA RINGKAS ‘KONSERT HORA HOREY DIDI & FRIENDS’

  • Pembikinan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ mendapat sentuhan pencipta asal Didi & Friends, Sinan Ismail selaku Pengarah dan juga Hairulfaizalizwan Ahmad Sofian selaku Penerbit.
  • Penonton akan dihiburkan selama 80 minit dengan persembahan 30 buah lagu di mana 17 daripadanya merupakan lagu baharu, tujuh buah lagu hit yang telah melonjakkan jenama Didi & Friends dan enam buah lagu yang telah diberi nafas baharu.
  • 17 lagu-lagu baharu yang akan dipersembahkan secara eksklusif dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ ini adalah Oh Didi, Tik Tok, Mandi, Terima Kasih Cikgu, Ibu dan Anak, Traktor Pak Atan, Kereta Api Didi, Pop Baby Dino, Pelangi, Mon Dah Datang, Lagu Kek, Menari dan Berhenti, 10 Biji Durian, Bangau Oh Bangau, Raja Yang Gembira, Eh Wau Bulan dan Dunia Harmoni.
  • Selain itu, ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ juga akan memperkenalkan tiga watak baharu yang juga merupakan sahabat kepada Didi iaitu Baby Dino yang merupakan seekor dinosaur comel berwarna merah jambu, Kak Hani, si koala yang petah berkata-kata dan juga Abang Paan, si ayam yang sentiasa bergaya dengan topi birunya. Kak Hani dan Abang Paan merupakan pengacara ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.
  • Terdapat enam segmen dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ dan lagu-lagu yang dipersembahkan dalam setiap segmen dikategorikan mengikut tema serta mesej yang diangkat oleh lagu tersebut iaitu tema kekeluargaan, kenderaan, personaliti peribadi, lagu-lagu aksi, alam semulajadi dan lagu tradisional.
  • Istimewanya ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’, ikon negara yang cukup unggul lagi disegani dalam industri hiburan tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, turut menjayakan konsert animasi ini dengan mendendangkan lagu bertajuk ‘Oh Nana’. Persembahan lagu tersebut dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ memperlihatkan biduanita negara ini dizahirkan dalam bentuk karakter animasi 3D dan dikenali dengan panggilan ‘Mak Iti’.
  • Selain dari Dato’ Sri Siti Nurhaliza, seorang lagi penyanyi lelaki popular negara, Tomok, turut membuat penampilan istimewa dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ dengan persembahan lagu bertajuk ‘Tayar Bas’. Kehadiran Tomok dalam persembahan lagu tersebut merupakan satu-satunya kemunculan karakter bukan animasi yang hadir dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.
  • Penampilan istimewa lain yang menanti penonton adalah kemunculan pasangan karakter animasi Islamik yang kian mendapat tempat dalam kalangan anak-anak kecil, Omar & Hana. Mereka akan mempersembahkan sebuah lagu berjudul ‘Anggota Badan’ bersama Didi, Nana, Jojo dan Pak Atan.
  • Setiap panggung penayangan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ yang ditayangkan di pawagam TGV mempunyai set yang mesra kanak-kanak di mana efek pencahayaan yang digunakan adalah lebih terang (bagi menarik perhatian kanak-kanak), mempunyai kemudahan menukar lampin bayi dan memberi kebebasan kepada penonton cilik untuk bergerak aktif (menari dan menyanyi) semasa menonton konsert.
  • Peminat juga boleh mengumpul 30 keping Kad Augmented Reality (AR) ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ edisi terhad dengan setiap pembelian cenderamata Didi & Friends di Metrojaya The Curve atau mendapatkannya secara percuma di Neway Karaoke. Selain itu, peminat juga turut boleh mendapatkan koleksi Kad AR tersebut menerusi pertandingan yang dianjurkan Redbox. Kad AR boleh diimbas menggunakan aplikasi Konsert Hora Horey yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.
  • Sebagai sebahagian daripada rangka promosi untuk meraikan kejayaan Didi & Friends menembusi pawagam-pawagam TGV di seluruh Malaysia, siri jelajah ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ akan dijalankan di dua lokasi iaitu di Johor (Tebrau City, 13 hingga 25 Mac) dan Kuala Lumpur (Sunway Velocity Mall, 15 hingga 25 Mac). Pelbagai aktiviti menarik telah disusun untuk mengalu-alukan kedatangan peminat termasuklah sesi ramah mesra dan bergambar bersama maskot Didi & Friends, jualan cenderamata eksklusif ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ dan banyak lagi.
  • Selain itu, peminat animasi ini kini boleh menyanyikan lagu-lagu popular Didi & Friends bersama keluarga dan rakan-rakan di pusat karaoke keluarga Neway Karaoke dan Redbox Karaoke bermula pada Februari 2018.
  • Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1 Malaysia (SSPN1M) hadir selaku Penaja Utama dan Rakan Ceria ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ dan konsert ini turut mendapat sokongan daripada TGV Cinemas, Kumpulan Media Karangkraf serta Toyworld.


PETIKAN KENYATAAN RASMI


Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Gen Next ASTRO berkata:
“Tahun lalu, kami telah meletakkan tanda aras yang tinggi untuk jenama Didi & Friends dengan terbitan sebuah gabungan cerita-cerita pendek lakonan Didi dan rakan-rakan menerusi ‘Cerita-cerita Didi & Friends’. Respon dan ulasan hebat yang diterima daripada penonton membuatkan kami bersemangat untuk menghasilkan produk yang lebih hebat pada tahun ini. Maka, untuk tahun 2018, kami bawakan pengalaman tontonan konsert pertama buat anak-anak kecil menerusi ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.

Projek ini merupakan langkah yang penting dalam pembangunan jenama Didi & Friends. Pembikinan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ menyaksikan penglibatan penyanyi tersohor tanah air, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Tomok, pengenalan 17 lagu baharu Didi & Friends dan juga penampilan khas karakter animasi Islamik, ‘Omar & Hana’ yang kian meraih perhatian kanak-kanak dan peminat animasi tempatan di luar sana. Kesemua elemen yang disuntik dalam menjayakan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ ini telah dirancang dengan teliti untuk menjadikan Didi & Friends kekal segar, relevan dan mempunyai daya saing tinggi dalam usaha menembusi pasaran animasi peringkat global suatu hari kelak.

Kredit harus diberikan kepada rakan animasi kami iaitu Digital Durian yang telah bertungkus lumus menghasilkan sebuah lagi karya animasi yang cukup hebat. Kami di Astro amat berbangga dapat terus berkolaborasi bersama Digital Durian dalam mengangkat martabat animasi tempatan. Semoga ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ ini akan turut mengikuti jejak langkah kejayaan produk-produk Didi & Friends terdahulu.” .

Sinan Ismail, Pengarah Digital Durian berkata:
“Penerbitan ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ ini adalah satu usaha untuk memberi pengalaman yang baharu kepada peminat-peminat Didi & Friends. Kali ini, kanak-kanak dapat menyaksikan lagu-lagu hit dan lagu-lagu baharu Didi & Friends di panggung wayang. Apa yang lebih menarik, kanak-kanak dan ibu bapa digalakkan untuk tidak duduk diam di tempat masing-masing. Kita mahukan mereka berdiri dan bergembira dengan menyanyi dan menari bersama-sama keluarga serta kawan-kawan. Jangan risau, kanak-kanak tidak akan dihalau keluar dari panggung jikalau mereka bising.

Untuk ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ ini juga, buat pertama kalinya Didi & Friends berkolaborasi dengan artis hebat negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Tomok. Sungguh kami tidak sangka bahawa satu hari nanti, kami dapat bekerjasama dengan penyanyi nombor satu di Malaysia ini dan juga Tomok. Walaupun kami bermula hanya daripada YouTube pada 2014, kami berjaya buktikan bahawa animasi kanak-kanak mampu menjalin usahasama dengan selebriti hebat dan juga muncul di layar perak. Alhamdulillah.

Harapan kami adalah supaya peminat yang menonton ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ ini akan dapat mencipta memori indah bersama anak-anak dan keluarga untuk dikenang sampai bila-bila. Pengalaman di mana anak dan ibu bapa bersama-sama menyanyi dan menari merupakan momen yang cukup berharga. Pada kami di Digital Durian, tiada yang lebih bermakna selain melihat anak-anak gembira dengan produk Didi & Friends.”



BUTIRAN TAYANGAN

Persembahan Didi, Nana, Jojo dan rakan-rakannya dalam ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ boleh ditonton di pawagam-pawagam TGV seluruh Malaysia mulai 10 Mac 2018 dengan harga tiket serendah RM9 bagi kanak-kanak dan RM14 bagi dewasa.



IKUTI BERITA TERKINI ‘KONSERT HORA HOREY DIDI & FRIENDS’

youtube.com/didiandfriends
didiandfriends.com
@didiandfriends
twitter.com/didiandfriends
facebook.com/DidiAndFriends
#KonsertHoraHorey