Saksikan kelahiran bintang muzik Malaysia seterusnya dalam edisi terbaharu ‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’, program pertandingan nyanyian yang bakal bersiaran pada 21 Julai 2024, bermula jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104). Penganjuran program pertandingan nyanyian ini merupakan kolaborasi pertama Astro dengan TikTok, salah satu platform media sosial terkenal di dunia, dalam menerokai bakat muzik baharu di Malaysia.
Seringkali dilakukan secara maya menerusi TikTok LIVE iaitu perkhidmatan penstriman secara langsung di platform TikTok, program utama edisi terbaharu ini akan bersiaran di saluran Astro Ria buat julung kalinya.
Kolaborasi ini memberi peluang kepada penyanyi baharu serta pencipta kandungan muzik di media sosial untuk lebih berkembang dalam bidang nyanyian, mempamerkan bakat serta berkongsi karya muzik mereka dengan khalayak ramai, sekaligus memberi mereka platform untuk memulakan kerjaya nyanyian mereka di Malaysia, dan juga bakal membuka ruang buat anak-anak tempatan untuk melangkah ke peringkat antarabangsa.
Menurut Pengarah Kandungan, Astro, Agnes Rozario, “Sebagai sebuah syarikat media terkemuka, Astro sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak, dan kami amat teruja untuk berkolaborasi bersama TikTok kerana kami yakin inisiatif ini akan menjadi platform terbesar dalam usaha pencarian bakat dalam kalangan anak-anak tempatan dan sekaligus menjadi penyumbang utama dalam usaha memeriahkan industri hiburan tanah air. Seiring dengan misi kami untuk mengangkat bakat-bakat tempatan melangkah ke peringkat antarabangsa, barisan pemenang ‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ juga bakal mewakili Malaysia ke peringkat Global”.
Manakala, Pengurus Serantau TikTok LIVE, Melissa Yuen, pula berkata, “Kerjasama antara kami dan Astro telah membolehkan kami untuk memaparkan bakat tempatan yang sangat membanggakan. 'Gimme The Mic Malaysia’ adalah satu platform yang signifikan bagi penggiat seni nyanyian dan muzik yang sedang meningkat naik untuk mempamerkan bakat dan minat mereka. Oleh itu, kami akan terus komited untuk menyokong komuniti pemuzik dan kami teruja untuk menyaksikan persembahan mereka secara langsung di kaca TV, dan seterusnya dapat bersama-sama menyokong perkembangan mereka untuk menjadi bintang yang diimpikan”.
Daripada uji bakatnya yang dilakukan pada Mei lalu, seramai 30 peserta dipilih untuk bertanding dalam ‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’, yang buat pertama kalinya, akan disiarkan di Astro Ria. Kesemua 30 peserta ini perlu mempamerkan kehebatan vokal masing-masing dan bersaing untuk meraih kedudukan teratas. Juara serta enam peserta teratas yang dipilih di pentas akhir bakal mewakili negara bertanding di peringkat antarabangsa.
‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ dibarisi panel juri yang pernah menggegarkan industri muzik tanah air serta antarabangsa. Bangku juri bakal dihiasi oleh Yuna, penyanyi dan penulis lagu terkenal di dunia, bersama dengan Bunga Citra Lestari, penyanyi dan pelakon popular Indonesia. Mereka akan ditemani oleh Ajai, penyanyi dan komposer yang berbakat serta Hael Husaini, ikon muzik industri hiburan Malaysia. Program ini turut memperkenalkan gandingan Sherry Alhadad dan Sean Lee sebagai hos, serta Ceddy Ang dan Daniel Cheang sebagai hos Live+.
‘TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia’ akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur selama lapan minggu bermula 21 Julai 2024, pada setiap hari Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), On Demand, Astro GO dan sooka.