Astro dan TikTok berkolaborasi dalam penganjuran edisi terbaharu ‘TikTok LIVE Gimme The Mic’ di Malaysia
02
May
2024

Astro dan TikTok berkolaborasi dalam penganjuran edisi terbaharu ‘TikTok LIVE Gimme The Mic’ di Malaysia

Uji bakat pencarian pencipta kandungan muzik & bakat baharu bermula 7 Mei di TikTok LIVE

Astro berkolaborasi bersama TikTok dalam mencari bakat nyanyian baharu atau pencipta kandungan muzikal untuk menyertai uji bakat edisi terbaharu ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’, program pertandingan nyanyian di platform media sosial TikTok. Uji bakat buat edisi terbaharu ini akan dihoskan sepenuhnya di TikTok LIVE, perkhidmatan penstriman secara langsung dengan menggunakan tanda pagar #GimmeTheMicMY menerusi platform TikTok bermula 7 Mei sehingga 24 Mei 2024 dan dibuka kepada seluruh warga Malaysia.

Buat edisi baharu ini, pencipta kandungan atau penyanyi yang terpilih daripada uji bakat TikTok LIVE ini akan bertanding dalam program utamanya yang akan disiarkan di Astro Ria (Saluran 104) buat pertama kalinya pada bulan Julai 2024 kelak selama lapan minggu.

Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, “Kami sangat berbesar hati untuk membawa program ini ke Malaysia menerusi Astro. Dengan lebih 1 bilion pengguna bulanan aktif, TikTok merupakan salah satu platform media sosial terbesar didunia, dan memiliki pengguna di kalangan warga muda yang besar dan kuat. Ia sejajar dengan misi kami untuk membawa remaja sebagai sasaran penonton utama ke saluran Astro Ria menerusi edisi terbaharu ini. Media sosial juga merupakan platform yang sangat aktif dan efektif dalam pencarian bakat muda khususnya dalam bidang nyanyian. Justeru, kami yakin ramai akan teruja untuk menyertai uji bakat ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ dan mempelawa semua pencipta-pencipta kandungan untuk mengambil bahagian serta memanfaatkan peluang yang ada menerusi kolaborasi ini di Malaysia”.

TikTok LIVE merupakan satu platform yang memberi peluang kepada pengguna untuk mencipta ekpresi yang kreatif dan tulen. Menerusi program ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’, kami teruja untuk mencari pencipta kandungan yang paling kreatif dan berbakat di platform kami. Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Astro untuk mempersembahkan bakat-bakat muzik terbaik di Malaysia, menjadikan ia satu inspirasi kepada komuniti kami serta mencipta pengalaman hiburan yang unik untuk pengguna kami. Kami berharap kolaborasi ini dapat membuka peluang kepada bakat-bakat muzik yang sedang menaik di seluruh negara untuk lebih berkembang di pelbagai platform. Kami juga komited untuk mencipta cara yang lebih seronok dan menghiburkan dalam meningkatkan komuniti pencipta-pencipta kandungan yang berbakat serta sedang berkembang. Kami turut menyokong apabila mereka berkongsi minat dan kreativiti mereka dengan seluruh dunia”, kata Pengurus Serantau TikTok LIVE, Melissa Yuen.

Mengekalkan format sama yang dipecahkan kepada beberapa fasa, ujibakat ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ akan berlangsung bermula 7 Mei 2024 hingga 24 May 2024 dengan membuka penyertaan kepada seluruh warga Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Pengguna TikTok yang berbakat dan berminat boleh menyertai uji bakat ini dengan menghantar video nyanyian mereka berdurasi 10 minit ke aplikasi ini menggunakan tanda pagar #GimmeTheMicMY.

Selepas tarikh uji bakat ditutup pada 24 Mei 2024, peserta yang disenarai pendek oleh pihak Astro dan TikTok akan bertanding dalam segmen Multi-Guest yang akan dikendalikan sepenuhnya menerusi perkhidmatan penstriman TikTok LIVE. Para peserta boleh menunjukkan bakat nyanyian dan bakat muzik mereka dengan kehadiran salah seorang guru vokal terkenal untuk dipilih sebagai peserta yang layak ke peringkat seterusnya. Peserta yang berjaya melepasi saringan Multi-Guest akan dipilih untuk menjadi barisan peserta ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ yang bakal bersiaran padaJulai ini di Astro Ria (saluran 104).

Pelancaran ‘Gimme The Mic’ pada tahun 2023 lalu bertujuan untuk mencari pengguna media sosial, khususnya TikTok yang berbakat dalam bidang nyanyian dan muzik serta menyokong perjalanan muzik mereka dengan menyediakan ruang untuk mempersembahkan karya nyanyian masing-masing sehingga ke peringkat antarabangsa. Menerusi edisi kali ini, juara serta enam peserta teratas yang dipilih di pentas akhir ‘ TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ bakal mewakili negara bertanding di peringkat antarabangsa. ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’ turut dimeriahkan dengan CelcomDigi dan Wawa Cosmetics selaku Penaja Utama.

Untuk maklumat lanjut mengenai uji bakat dan program ‘TikTok LIVE Gimme The Mic Malaysia’, sila layari www.gempak.com

PENAJA UTAMA 'TIKTOK LIVE GIMME THE MIC'

Mengenai CelcomDigi

CelcomDigi adalah pengendali rangkaian mudah alih terbesar di Malaysia dengan lebih 20.6 juta pengguna di rangkaiannya. Ditubuhkan pada 1 Disember 2022 daripada penggabungan Celcom dan Digi, syarikat ini menyasarkan untuk memenuhi keperluan digital pelanggannya yang semakin meningkat dengan memanfaatkan gabungan baharu rangkaian yang terluas, titik sentuh pengedaran, rangkaian produk dan perkhidmatan digital yang inovatif, dan keunggulan pengalaman pelanggan yang dikuasakan oleh CDzen yang bersemangat. Syarikat ini mempunyai cita-cita yang jitu untuk memajukan negara, memberi inspirasi kepada masyarakat Malaysia, dan menjadi peneraju dalam amalan inklusif serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Untuk maklumat lanjut mengenai CelcomDigi, layari www.celcomdigi.com.