KELANTAN: Astro dengan kerjasama Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian Kelantan mengagihkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada 100 keluarga mangsa yang terkesan akibat banjir baru-baru ini. Majlis penyerahan di masjid sama berlangsung pada pagi 14 Mei 2025 merupakan hasil usaha bersama antara Ahli Jawatankuasa Masjid, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) dan Astro.
Pengagihan sejumlah RM50,000 ini merupakan satu kesinambungan daripada program Assalamualaikum Series Astro yang telah diadakan di lokasi yang sama. Semasa program Assalamualaikum Series diadakan pada Februari 2025 yang lalu, satu replika cek diserahkan temasuk sebanyak 100 pek bantuan mengandungi barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, kurma dan lain-lain diberikan kepada golongan memerlukan.
Sumbangan dana ini merupakan hasil dari sumbangan orang ramai kepada Tabung Bantuan Banjir Astro – satu inisiatif bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara. Melalui tabung ini, rakyat Malaysia boleh menyumbang yang akan dimanfaatkan kepada mangsa-mangsa banjir. Tabung ini juga diperluas manfaat kepada:
- Sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Dana Ihsan MADANI bagi menyokong usaha bantuan dan pemulihan pasca banjir.
- Sumbangan kepada SK Sungai Paku untuk keperluan asas selepas sekolah tersebut terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.
- Era Sarawak dan Yayasan Ikhlas bekerjasama membantu komuniti di Kampung Bulau, Bekenu.
- Sumbangan kepada Mercy Malaysia dan Yayasan Ikhlas untuk menyokong usaha mereka di Johor.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, YBhg. Dr Hasnan bin Ramli berkata, “Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Astro atas kepercayaan kepada pihak majis dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir. Sudah tentu bantuan-bantuan sebegini meringankan beban dan memberi kelegaan kepada mereka yang terkesan dengan bencana banjir baru-baru ini. Alhamdulillah, susulan program ‘Assalamualaikum Kelantan’ yang diadakan sempena Ramadan lalu. Melalui program ini, seramai 200 keluarga telah menerima manfaat yang mana 100 golongan asnaf menerima bantuan keperluan asas manakala 100 lagi mangsa banjir menerima bantuan kewangan, Semoga program seperti ini dapat diteruskan yang pada akhirnya memanfaatkan pelbagai lapisan masyarakat.”