Terus kukuhkan empayar menerusi tambahan dua slot drama di saluran Astro Warna dan Astro Oasis
Kuala Lumpur, 15 Mac 2017 – Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengukuhkan lagi legasi dalam industri seni, Astro bakal menjadikan empat saluran utamanya iaitu Astro Ria (saluran 104), Astro Prima (saluran 105), Astro Warna (saluran 132) dan Astro Oasis (saluran 106) sebagai hub utama bagi rangkaian drama-drama Melayu terbaik menerusi slot drama.
Bagi memenuhi citarasa penonton yang pelbagai, setiap saluran mengangkat genre drama yang berbeza dan memiliki keunikkannya yang tersendiri. Slot drama sedia ada termasuklah ‘Mega Drama’ yang mempertontonkan drama bersiri bergenre romantik ringan di saluran Astro Ria dan Ria HD (123) yang mana ianya bersiaran pada setiap hari Isnin – Khamis dari jam 10.00 malam hingga 11.00 malam. Slot seterusnya yang turut menjadi pilihan penonton adalah ‘Tiara’ di saluran Astro Prima yang bersiaran pada setiap hari Isnin – Jumaat, 6.00 petang hingga 7.00 malam. Seterusnya, edisi terbaharu kepada rantaian drama-drama hebat Astro ini adalah slot ‘Skrin Komedia’ di saluran Astro Warna dan Mustika HD (134) yang bakal bersiaran mulai 15 Mac 2017 pada setiap hari Rabu - Jumaat jam 9.00 malam hingga 9.30 malam. Astro Oasis turut tidak ketinggalan dengan memperkenalkan slot dramanya yang tersendiri, ‘Raihana’ yang akan mula bersiaran pada 3 April 2017, Isnin - Rabu dari jam 9.00 malam hingga 9.30 malam. Kedua-dua slot ‘Tiara’ dan ‘Raihana’ boleh turut ditonton di saluran Maya HD (135).
Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, “Peningkatan dalam jumlah tontonan dan permintaan terhadap drama Melayu di Malaysia semakin hari semakin meningkat. Perkara ini dapat dibuktikan menerusi sambutan luar biasa yang diterima daripada penonton apabila sesebuah drama ditayangkan dan ini bukanlah sesuatu yang baru dalam industri seni tanah air.
Jika kita imbau kembali pada sekitar zaman 80-an dan 90-an, drama-drama Melayu pernah mencipta fenomenanya tersendiri di mana pada masa tersebut drama bergenre romantik menjadi kegilaan para penonton. Sehingga kini drama-drama tersebut masih lagi diulang tayang dari masa ke masa, diingati dan lebih membanggakan apabila ia turut ditonton oleh generasi muda masa kini.
Melihat pada perkembangan drama Melayu hari ini pula, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa obsesi terhadap drama Melayu kembali selepas kemunculan banyak drama bersiri yang dizahirkan dari adaptasi cerita novel popular. Hal ini menunjukkan pengaruh drama Melayu masih lagi kuat di kalangan penonton, relevan dan mempunyai nilai pasarannya yang tersendiri.”
Mengulas mengenai tambahan dua slot drama di Astro Warna dan Astro Oasis, Raqim berkata, “Kejayaan demi kejayaan yang dilakarkan menerusi rantaian drama di Astro Ria dan Astro Prima mengukuhkan lagi hasrat kami untuk terus mengangkat drama Melayu ke tahap yang lebih tinggi. Justeru itu, dengan adanya penambahan dua slot drama di Astro Warna dan Astro Oasis, lebih banyak naskhah drama Melayu boleh ditayangkan kepada penonton seterusnya membuka lebih ruang dan peluang buat penggiat seni untuk terus berkarya. Pada masa yang sama, kami akan tetap mengekalkan elemen asal dalam sesebuah drama yang ditayangkan di saluran yang berkenaan. Sebagai contoh, kami akan mengangkat konsep komedi dalam drama-drama yang ditampilkan di saluran Astro Warna dan menampilkan jalan penceritaan yang berteraskan Islamik untuk drama-drama yang ditayangkan di saluran Astro Oasis.
Selain itu, bukan sahaja usaha ini akan memberi lebih tawaran pilihan drama kepada segenap lapisan penonton malah kini dengan adanya slot drama di keempat-empat saluran utama Astro, secara tidak langsung memberi akses tontonan drama Melayu kepada semua pelanggan Astro bagi mana-mana pakej termasuk mereka yang melanggan pek NJOI.”
Menyahut baik hasrat Astro ini, saluran Astro Ria mengambil inisiatif pertama dengan menganjurkan ‘Karnival Throwbaek Drama’ yang bakal membawa drama-drama popular di saluran Astro lebih dekat dengan penonton. Karnival yang bertempat di ruang legar NU Sentral ini akan berlangsung pada 23 - 26 Mac 2017. Pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang berlangsungnya karnival ini seperti sesi ramah mesra bersama barisan belakon, tayangan istimewa drama, persembahan pentas dan macam-macam lagi. Menarik lagi, pencarian bakat baharu akan turut diadakan bertujuan untuk mencari pelapis bagi menghiasi rantaian drama Astro di masa-masa yang akan datang.
Raqim Ahmad turut menyambung, “Penganjuran Karnival Throwbaek Drama ini didedikasikan khas buat para penonton yang tidak jemu memberi sokongan terhadap setiap drama di saluran Astro. Menerusi karnival ini juga, kami berharap untuk mendapat maklum balas terus daripada penonton mengenai drama-drama di Astro supaya kami sentiasa dapat menyajikan naskhah yang berkualiti seiring dengan kehendak penonton di luar sana. Kami berharap menerusi usaha-usaha yang dilakukan ini, karya drama-drama Melayu akan terus dipelihara dan dihargai serta terus mendapat sokongan dari semua”.
Antara rantaian drama yang bakal diketengahkan serta terlibat secara langsung di karnival ini kelak termasuklah ‘Dia Semanis Honey’, ‘Suri Hati Mr. Pilot’, ‘Isteri Tuan Ihsan’, ‘Sayang Papa Saya Tak’, ‘Memori Cinta Suraya’, ‘Uda & Dara’, ‘Imam Mudaku Romantik’ dan banyak lagi.
*sila rujuk lampiran untuk maklumat lanjut
Melabuhkan tirai kempen ini kelak, buat julung-julung kalinya sebuah acara santai ‘Malam Throwbaek Drama’ akan diadakan di Premiera Hotel, Kuala Lumpur pada 1 April 2017. Acara ini adalah sebagai tanda penghargaan buat barisan pelakon drama-drama siaran Astro atas komitmen yang mereka curahkan dalam menjayakan sesebuah drama. Ramai nama-nama besar yang pernah tampil dalam drama-drama terhebat terbitan Astro sebelum ini dijangka hadir memeriahkan majlis.