Astro Kembali Muzikal Lawak Superstar Dengan Suntikan Heroik ‘Clash of Empire’
24
September
2025

Astro Kembali Muzikal Lawak Superstar Dengan Suntikan Heroik ‘Clash of Empire’

10 kumpulan mengangkat semangat empayar legenda dalam perebutan takhta komedi

Kuala Lumpur, 23 September 2025 – Arena komedi kembali mencuri perhatian apabila Astro membawakan semula Muzikal Lawak Superstar (MLS), pentas pertandingan komedi paling hangat di Malaysia yang kini tampil dengan tema terbaharu penuh epik, “Clash of Empire”. MLS musim kelima bakal membuka tirainya pada 11 Oktober 2025 selama 8 minggu dan akan disiarkan secara langsung pada setiap Sabtu, jam 9.00 malam di Astro Prima (saluran 105).

Dengan tagline “Arena Pahlawak Terbahak Kau Kaw”, MLS5 menyuntik kelainan apabila setiap kumpulan bukan sekadar tampil sebagai penghibur, tetapi menjelma sebagai wira empayar agung yang diinspirasikan daripada kuasa legenda dunia seperti Rom, Nusantara, Jepun, China, Perancis dan banyak lagi. Laksana pahlawan mempertahankan empayar, para pelawak bakal berentap saban minggu dengan jenaka tajam, kreativiti segar serta persembahan muzikal mencuit hati untuk memikat hati para penonton dan juri, berlandaskan tema serta lokasi berbeza dalam setiap cabaran mingguan.

Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, berkata, “Di Astro, kami sentiasa berusaha mempersembahkan naskah berkualiti, segar dan menghiburkan untuk para penonton. Muzikal Lawak Superstar bukan sekadar sebuah program pertandingan lawak semata-mata, tetapi merupakan sebuah pentas penting yang menyambung legasi industri komedi dan hiburan tanah air. Ia juga menjadi salah satu medium pencarian bakat lawak ‘unexpected’ dari kalangan pelakon, penyanyi, influencer dan ramai lagi dari luar dunia komedi, tetapi punya potensi lawak luar biasa.

Komedi sentiasa dekat di hati penonton Malaysia, dan melalui Muzikal Lawak Superstar, kami  ingin membuktikan bahawa komedi bukan hanya sekadar jenaka atau bahan ketawa, tetapi sebuah seni yang menuntut kemahiran, kreativiti imaginasi dan keikhlasan dalam persembahan. Lebih istimewa, MLS turut mengangkat sisi muzikal — daripada alunan melodi, penulisan lirik hinggalah ke persembahan vokal — yang digabungkan dengan elemen komedi untuk menghasilkan hiburan yang segar dan lengkap.

Kami di Astro amat teruja untuk menyaksikan kreativiti mereka terserlah, dan yang paling penting, bergelak tawa bersama seluruh rakyat Malaysia,” tambah Norzeha. 

Musim ini, 10 kumpulan ‘empayar’ bakal berentap, setiap satunya dianggotai oleh tiga ‘pahlawan’. Dari pelakon, penyanyi, pelawak sehinggalah ke pempengaruh, MLS musim ke-5 menghimpunkan barisan personaliti dan bakat pelbagai warna di bawah satu bumbung, termasuk wajah-wajah baharu seperti Maryam Kimchi, Aishah Azman, Waarn, Norreen, Zul Huzaimy dan Naqiu. Kali ini turut mempertemukan beberapa nama yang sudah dikenali dan disayangi dalam dunia komedi tempatan, antaranya Fad dan Achey Bocey, Man Raja Lawak, Ali Puteh, Chiwan, Shashic dan ramai lagi.

Menambah nilai kepada penganjuran musim terbaharu ini, MLS5 turut mengembalikan lebih ramai “otai” berbanding musim sebelumnya. Jika sebelum ini penonton lebih mengenali mereka melalui kerjaya seni masing-masing, kali ini kemunculan nama-nama besar seperti Joey Daud dan Aziz M. Osman dalam arena komedi pastinya menghadirkan sesuatu yang dirindukan, jarang disaksikan dan tidak wajar dilepaskan. Dengan aura dan pengalaman tersendiri, artis-artis legenda ini diyakini mampu memperkukuh kekuatan pertandingan serta menjadikan MLS5 lebih istimewa dan berbeza daripada musim-musim terdahulu.

MLS5 sekali lagi akan dikemudi oleh pengacara televisyen ikonik tanah air, Dato’ AC Mizal. Namun, kejutan terbesar musim ini terletak pada rombakan penuh barisan juri yang menampilkan wajah-wajah baharu iaitu pengacara versatil Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), pelawak dan pelakon popular Zizan Razak, bersama penyanyi dan pelakon wanita kesayangan ramai, Bella Astillah.

Para penonton dan peminat juga boleh menyaksikan kandungan eksklusif di sebalik tabir serta sebuah perjalanan yang pastinya tidak akan dilupakan apabila setiap empayar bangkit atau tumbang di pentas MLS5 melalui On Demand di Astro GO dan sooka. Langgan Pek Astro One, hanya RM49.99 sebulan. Strim hiburan tanpa henti untuk seisi keluarga dan tingkatkan pengalaman penstriman anda dengan Astro Fibre 500Mbps beserta Pek Hiburan pada harga RM139.99 sebulan. Layari www.astro.com.my atau WhatsApp ke 03-9543 3838 untuk melanggan atau menaik taraf hari ini.