Program ‘The Masked Singer Malaysia’ ialah sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan misteri yang menampilkan para peserta yang terdiri daripada nama-nama hebat yang hadir dari pelbagai cabang seni. Kesemua 12 peserta misteri ini akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan barisan juri yang juga figura dihormati dalam industri.
‘The Masked Singer Malaysia’ menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, ‘The King of Mask Singer’ yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat, di mana ia berjaya mencetuskan satu fenomena yang cukup gah dan diminati ramai.
Untuk musim pertama ini, seramai sembilan (9) orang figura yang hadir dari latar belakang berpengaruh dalam industri telah diberi penghormatan untuk menduduki kerusi Juri Tetap dan mereka adalah Datuk Aznil Haji Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Nabila Huda, Ramona Zam Zam, dan Angah Raja Lawak. Manakala, menggalas tugas hos adalah pengacara tersohor, versatil dan disegani ramai, Datuk AC Mizal.
Masih mengekalkan format asal program realiti ‘The King of Mask Singer’, kesemua peserta The Masked Singer Malaysia akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki bagi menyembunyikan identiti masing-masing. Hanya suara dan kreativiti persembahan sahaja yang akan dipertaruhkan untuk menentukan kedudukan peserta dari minggu ke minggu sehinggalah dinobatkan sebagai juara musim pertama.
Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Mungkinkah mereka ini artis dan selebriti kegemaran anda? Saksikan program yang bakal mencetuskan fenomena ini di Astro Warna (CH127) dan Warna HD (CH107) mulai 18 September 2020, setiap Jumaat, jam 9 malam! Program ini juga boleh distrim secara eksklusif melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Format Pertandingan `The Masked Singer Malaysia`
- Untuk 8 minggu berturut-turut, 12 selebriti akan membuat persembahan di mana mereka akan menyanyi sambil mengenakan kostum yang akan merahsiakan identiti mereka, bukan sahaja susuk fizikal, malah suara bercakap juga akan diubah!
- Tahukah anda, identiti sebenar barisan peserta dirahsiakan dan tidak diketahui oleh semua yang terlibat dalam program ini iaitu hos, barisan panel malah dari ratusan krew produksi dan staff, hanya 8 orang sahaja yang diberi amanah untuk menyimpan rahsia identiti sebenar para peserta.
- Sebelum setiap persembahan bermula, paparan video klu akan ditayangkan untuk memberi petunjuk bagi membantu barisan panel juri dan juga penonton untuk meneka dengan tepat.
- Ketika persembahan peserta berlangsung, barisan juri akan memberi tumpuan ke pentas dan meneliti setiap aspek seperti gaya suara, karakter di pentas, gaya bahasa badan dan setiap pergerakan peserta untuk meneka siapakah identiti selebriti disebalik topeng.
- Selesainya setiap persembahan, pihak juri akan cuba untuk meneka siapakah selebriti di sebalik topeng tersebut.
- Barisan panelis juga akan memberikan markah bagi setiap persembahan, dan peserta yang menerima markah terendah akan disingkirkan pada minggu tersebut.
- Selepas pengumuman penyingkiran dibuat di akhir rancangan, detik yang paling ditunggu-tunggu dan mendebarkan adalah saat peserta tersingkir menanggalkan topeng dan mendedahkan identiti misteri mereka buat pertama kali di hadapan hos, barisan juri, dan juga penonton.
- Peserta yang identitinya tidak didedahkan sehingga berakhirnya episod kelapan merupakan juara program realiti The Masked Singer Malaysia musim pertama!
Petikan Kenyataan Rasmi Astro
Naib Presiden Saluran Perniagaan Melayu Astro, Azlin Reza Azmi berkata, “Di Astro Warna, kami menyambut baik perkembangan landskap industri hiburan yang sedia menerima gabungan muzik dan komedi sebagai salah satu cabang seni yang bergerak secara beriringan; sekaligus mentakrifkan semula genre lawak. Tanggungjawab kami selaku peneraju kandungan utama di Malaysia mendorong kami untuk sentiasa menyajikan hanya yang terbaik untuk santapan audiens kami.
Keputusan untuk mengadaptasi program berformat pertandingan nyanyian misteri, ‘The Masked Singer Malaysia’ ini dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor utama terutamanya dari aspek kehendak penonton yang sentiasa menginginkan kandungan-kandungan segar, penuh variasi dan memiliki keunikannya yang tersendiri. Program ini yang diperkenalkan di Korea Selatan pada tahun 2015 ternyata berjaya mencetuskan satu gelombang hebat di peringkat global sehingga ia kemudiannya diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika. Kami akui, fenomena ‘gelombang Hallyu’ Korea Selatan cukup besar sehinggakan ia berjaya menembusi industri hiburan di persada antarabangsa. Walaupun hadir dengan perbezaan bahasa dan budaya, ia tidak membantutkan usaha kami membawa program ini ke Malaysia untuk disajikan kepada penonton Astro.
Menariknya lagi, kami turut menyuntik elemen lokal atau tempatan di pelbagai sudut dan ia boleh dilihat ketara apabila kostum-kostum yang dihasilkan dan diperagakan peserta adalah diinspirasikan dari budaya negara kita sendiri. Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan saudari Akma Suriati Awang yang sudi menyarungkan jersi pereka kostum bagi musim pertama The Masked Singer Malaysia ini. Beliau mempunyai banyak pengalaman dalam industri fesyen, teater dan filem, dan kami amat teruja untuk melihat reaksi audiens terhadap ciptaan-ciptaan kreatif beliau.”
Trivia Menarik `The Masked Singer Malaysia`
- Kesemua peserta The Masked Singer Malaysia terdiri daripada barisan selebriti popular dari pelbagai industri seperti penyanyi, pelakon, pengacara, tokoh sukan dan ramai lagi.
- Identiti peserta The Masked Singer Malaysia akan dirahsiakan sehingga mereka disingkirkan. Untuk mengekalkan elemen kejutan, hanya lapan (8) orang sahaja dari bahagian produksi yang diberi amanah mengenali siapa di sebalik topeng/kostum.
- Terdapat 12 kostum menarik dan unik yang akan dipakai oleh barisan peserta, iaitu: Musang King, Nasi Lemak, Orang Utan, Rajah Brooke, Wau, ABC, Enggang, Ayam Jantan, Reno, Rimau, Rafflesia dan Bunga Raya.
- Kesemua kostum direka oleh Akma Suriati Awang. Beliau memiliki lebih 49 tahun pengalaman dalam rekaan dan perundingan fesyen. Selain berkarya sebagai penatarias industri filem, beliau juga bertanggungjawab untuk rekaan kostum bagi pelbagai produksi teater mega seperti ‘Hikayat Merong Mahawangsa’, ‘Siti Di Alam Fantasi’, ‘Mahsuri’, ‘Puteri Gunung Ledang’, dan ‘Chow Kit Road’.
- Konsert mingguan yang berlangsung di Royal Theatre, Shah Alam akan diadakan pada skala yang lebih kecil, melibatkan kehadiran jumlah penonton yang jauh lebih sedikit berbanding program-program lain seperti Maharaja Lawak Mega dan Muzikal Lawak Superstar. Ini merupakan usaha pihak Astro dalam mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa termasuklah sentiasa memastikan penjarakan fizikal bagi menjaga keselamatan dan kesihatan para penonton dan semua yang terlibat.
- Bagi mengekalkan elemen ‘rahsia’ program, kesemua telefon pintar penonton akan disimpan rapi oleh pihak produksi dan hanya akan diberikan semula sehabisnya program. Malah, penonton juga perlu menandatangani Perjanjian Kerahsiaan (NDA) sebelum masuk ke sesi rakaman.
- Pengarah Muzik bagi program The Masked Singer Malaysia adalah pemuzik, penerbit, penggubah dan penulis lirik, Shahnizam Abdul Halim atau lebih dikenali sebagai Shah Slam. Beliau juga telah menghasilkan salah satu lagu tema program ini. Ikon popular genre rap, Altimet, juga mengambil bahagian menghasilkan lagu tema kedua.
- Program The Masked Singer Malaysia dimeriahkan lagi dengan siri Live+ yang bakal bersiaran setiap Jumaat, jam 8.30 malam, mulai 18 September 2020. Live+ yang akan dihoskan oleh Izzue Islam dan Elly Ariffin ini akan menyingkap semula kesemua persembahan setiap peserta di samping berhubung bersama audiens dengan pengisian menarik sepanjang program berlangsung.
Rakan Digital, Vlog, dan Radio Rasmi
- Gempak bertindak selaku rakan digital rasmi bagi program The Masked Singer Malaysia. Info program, profil kostum, dan perkembangan terkini program boleh didapati di www.gempak.com/maskedsinger.
- Zon Lawak, melalui siri ‘Pintu Belakang’ di saluran YouTube rasminya, akan bertindak sebagai ‘pas’ eksklusif yang memaparkan momen-momen istimewa di sebalik tabir penghasilan dan rakaman program, dalam format vlog yang dihoskan oleh Farid dan Aizat.
- SINAR pula hadir sebagai Radio Rasmi.
#TheMaskedSingerMalaysia #SiapaDiSebalikTopeng