Astro mengangkat tema ‘Sempurna Seadanya’ bagi melatari kempen Ramadan dan Raya 2019
Astro mengangkat tema ‘Sempurna Seadanya’ bagi melatari kempen Ramadan dan Raya 2019
02
May
2019

Astro mengangkat tema ‘Sempurna Seadanya’ bagi melatari kempen Ramadan dan Raya 2019

“Raikan pelanggan dengan sajian pelbagai kandungan menarik dan tajaan ‘Pakej Umrah & Ziarah’ eksklusif bernilai sehingga RM100,000”

Kedatangan Ramadan 1440 Hijrah dinantikan oleh seluruh umat Islam di serata dunia. Di Astro, kehadiran bulan mulia ini disemarakkan dengan pelbagai pengisian menarik dan penuh bermanfaat menerusi seleksi program hebat di setiap platform naungannya– di televisyen, radio, ruangan digital mahupun menerusi penganjuran aktiviti lapangan (‘on ground’).

Selama lebih dari dua dekad Astro sentiasa berada dekat dengan hati rakyat Malaysia, terutamanya di musim-musim perayaan. Tidak ketinggalan, program-program menarik turut disusun kemas sebagai sajian istimewa di bulan Ramadan ini. Kesinambungan tersebut diteruskan lagi dengan ‘Sempurna Seadanya’,tema yang dipilih untuk melatari kempen Ramadan dan Raya Astro pada tahun ini. Berlandaskan lima teras utama, ‘Keredhaan’, ‘Kasih Sayang’, ‘Kebahagiaan’, ‘Kesyukuran’ dan‘Jalinan Persaudaraan’, tema ‘Sempurna Seadanya’ dilihat mampu menterjemahkan mesej positif merentasi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira umur, etnik dan agama. Kelebihan dan kekurangan masing-masing wajar diraikan bersama, malahan ia dianggap sebagai faktor pelengkap untuk menjadi lebih baik.

Di Astro, pelanggan sentiasa menjadi keutamaan, justeru, pemilihan tema ini bertujuan untuk meraikan pelanggan yang selama ini setia menyokong perkembangan syarikat. Bersempena dengan kedatangan bulan yang penuh barakah ini, Astro menghargai pelanggan dengan mengaktifkan beberapa pendekatan termasuklah menerusi sajian kandungan terkini yang padat dengan nilai-nilai murni di setiap platform milik Astro, menawarkan diskaun dan promosi hebat diplatform e-dagang, Go Shop, menerbitkan muzik video dan album istimewa nyanyian barisan selebriti di bawah naungan syarikat pengurusan bakat Astro, Rocketfuel Entertainment dan menganjurkan pelbagai aktiviti lapangan bersama komuniti setempat.

Istimewa juga di Ramadan tahun ini, Astro menerusi program kesetiaan pelanggan, ‘Astro Rewards’ dan Astro Circle akan menaja lima (5) pasangan bertuah untuk menunaikan hasrat umrah. Mulai 1 Mei –31 Julai 2019, dengan hanya menjawab satu soalan mudah, pelanggan Astro berpeluang untuk memenangi ‘Pakej Umrah & Ziarah’ eksklusif bernilai sehingga RM100,000. *Tertakluk kepada terma dan syarat

Pengurus Saluran Astro Ria, Astro Citra & Tayangan Hebat, Emarina Kamal berkata, “Astro sentiasa berusaha dalam menyediakan program-program terbaik dan segar sepanjang tahun bagi menepati citarasa setiap individu. Ramadan tahun ini tidak terkecuali, yang mana kami telah menyusun seleksi program yang sarat dengan mesej-mesej positif yang boleh dijadikan refleksi diri agar kita menjadi insan yang lebih unggul.

Sebanyak 75 program menarik menanti penonton Ramadan ini. Untuk tahun ini, kami menawarkan banyak program-program baharu dengan jumlah keseluruhan durasi tayangan selama 267 jam, yang mana 54% lebih tinggi dari tahun lalu. Merangkumi program-program keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri, sketsa, animasi,komedi dan rancangan khas seperti variasi, travelog serta bual bicara, mesej dari tema pilihan tahun ini, ‘Sempurna Seadanya’ disuntik dalam setiap kandungan agar dapat dijadikan santapan rohani penonton.

Selain dari sajian kandungan, kempen Ramadan dan Raya tahun ini lebih sempurna apabila kami turut menyusun pelbagai promosi hebat dan hadiah istimewa khas untuk pelanggan setia Astro. Buat julung kalinya juga, kami akan meraikan 5 pasangan bertuah untuk menunaikan umrah dan mereka hanya perlu melayari www.contests.astro.com.my untuk keterangan lanjut. Jadi, jangan ketinggalan untuk sama-sama memeriahkan bulan penuh keberkatan ini bersama kami di Astro.”

Platform Televisyen

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, saluran utama berbahasa Melayu memainkan peranan masing-masing dalam menghiasi kalendar Ramadan Astro. Menerusi Pek Famili, penonton Astro Ria akan dihidangkan dengan drama bersiri ‘Curi-Curi Cinta’, yang menampilkan nama-nama popular seperti Zahirah Macwilson dan Aiman Hakim Redzadan ‘Imaan’, lakonan Remy Ishak,Nora Danish dan Fendy Bakry. ‘Imaan’ merupakan drama istimewa di bulan Ramadan ini yang mana ia disiarkan pada slot khas setiap hari Rabu – Jumaat, jam 9.00 malam. Selain dari itu, turut menghiasi saluran Astro Ria adalah program masakan ‘Resipi Mak Esah’ yang menyaksikan gandingan Sherry Al Hadad dan Mira Filzah serta ‘Michael Ang’s Halal Kitchen’ yang mana buat julung kalinya, pengarah sensasi Michael Ang mengambil inspirasi mempersembahkan makanan yang sebelum ini dikenali sebagai tidak halal, namun disediakan menggunakan bahan-bahan masakan halal dan boleh dimakan oleh semua yang beragama Islam.

Pek Mustikaturut menyenaraikan program-program segar dan terbaik sepanjang Ramadan iniseperti program meletop 2019, ‘Sepahtu Reunion Al-Puasa 2019’, ‘Stagecom 3 Dara Pingitan’ gabungan Sherry AlHadad, Scha Al Yahya dan Sharifah Sakinah, dan juga sketsa islamik ‘Ustaz Evo (S2)’ bersama PU Azman (Astro Warna). Menarik lagi, di Astro Citra akan disiarkan dramabersiri ‘U’start Enjin’ yangmenampilkan Fattah Amin dan Mira Filzah serta ‘4 Penjuru’, lakonan Sabri Yunus, Fauziah Ahmad Daud dan Dato’ FizzFairuz.

Manakala saluran Naura yang turut berada dibawah Pek Mustika akan menampilkan program travelog, ‘Finding Origins: Aliza Kim’. AlizaKim, anak kacukan Thailand-Amerika merupakan seorang bekas model antarabangsa dan mualaf. Naura akan turut menyiarkan program bual bicara, ‘Cermin Hati Bersama Prof Dr. Muhaya Mohamad’ dan ‘Sembang Sisters’ kendalian instafamous, Bella Zahir.

Saluran gaya hidup Muslim, Astro Oasis turut menghiasi bulan mulia ini dengan program-program hebat. Saluran yang turut boleh dinikmati pelanggan perkhidmatan satelit televisyen percuma, NJOI ini akan menyiarkan program variasi seperti ‘Tanya Cik Man’ yang dihoskan oleh PU Azman dan Rozita Che Wan, program travelog ‘Jejak Adam (S2)’ bersama PU Taha, ‘Door to Door Ebit Liew (S2)’ dan ‘Skuad Dekorasi Amal’ yang melawat dan membantu mengubahsuai pusat-pusat tahfiz terpilih di sekitar negeri Selangor. Selain dari Astro Oasis, saluran Astro Prima yang turut boleh ditonton pelanggan NJOI menyusun program-program khas seperti rancangan masakan, ‘Rasa Nostalgia Ramadan’. Dihoskan oleh chef selebriti, Chef Wan, program ini akan mengimbau kembali kenangan dan masakan kegemaran oleh selebriti tempatan sewaktu bulan Ramadan.

Segmen animasi dan kanak-kanak turut tidak ketinggalan dalam menyemarakkan lagi bulan muliaini. Animasi Islamik kanak-kanak popular, ‘Omar & Hana’ kembali dengan 30 episod baharu dalam ‘Kisah Omar & Hana’ dan bersiaran di Astro Ceria. ‘Omar & Hana’ turut mengumumkan kolaborasi bersama ‘Siti Khadijah’, ‘Karangkraf’, ‘Toy World’, ‘InTeam Records’, ‘Pearl Sports’ dan ‘Tasneem’ untuk mempromosikan produk-produk istimewa sempena Ramadan dan Rayaini. Selain itu, ‘Upin & Ipin’juga bakal menghiburkan hati kanak-kanak dengan 30 episod istimewa bertemakan Ramadan. Juga, jangan lupa untuk saksikan gandingan Elfira Loy, Mia Sara dan Nik Adam Mika dalam drama komedi ‘Salam Squad’. Semuanya di saluran Astro Ceria.

Menarik lagi, khas untuk pelanggan Pek Sukan, Astro yang bertindak sebagai penyiar rasmi akan menyiarkan perlawanan secara langsung Liga Premier, Piala Juara-Juara UEFA dan Liga Europa UEFA. Untuk maklumat lanjut mengenai Pek Sukan Astro, sila layari www.stadiumastro.com/promo/get-astro-sports-package atau ke saluran 200 untuk pelanggan Astro.

Platform Radio

Selain platform televisyen, radio di bawah naungan Astro turut sama memeriahkan kempen Ramadan 2019. Jenama-jenama radio: ERA,SINAR, GEGAR dan ZAYAN bakal menyajikan rancangan-rancangan awal pagi bersama KFC Malaysia. Rancangan-rancangan awal pagi ini akan ke udara dari 6 hingga 31 Mei 2019, pada jam 4.00 pagi hingga 6.00 pagi dengan hasrat menemani peminat-peminat yang bangun untuk bersahur. Butiran kesemua rancangan awal pagi ini adalah seperti berikut: ‘Soq Pagi ERA’ akan dihoskan oleh Radin; ‘ZAYAN Sahoor’ pula akan dihoskan oleh Raqib; ‘Teman Sahur SINAR’ akan dihoskan oleh PINK yang juga merupakan pengacara Motif Viral dan Hlive; manakala, ‘SaingSahur GEGAR’ akan dihoskan oleh Ewan. Sepanjang durasi rancangan-rancangan awal pagi ini, peminat-peminat ERA, SINAR, GEGAR dan ZAYAN berpeluang memenangi Set Sarapan Pagi KFC dan baucer KFC bernilai RM100 melalui peraduan-peraduan diudara dan di atas talian.

Platform Digital

Semangat Ramadan turut disemarakkan di platform digital seperti ‘Gempak’, ‘Rojak Daily’, ‘Behind the Wheel’ serta ‘Drebar’. Istimewa tahun ini, ‘Gempak’ menyajikan siri mini penuh pengajaran, ‘Celup’ yang diarahkan Michael Ang. Menyelitkan nilai murni di sebalik cerita cinta dan kekeluargaan, webisode ini diterajui Emma Maembong dan Sean Lee. Tidak ketinggalan ialah siri masakan ‘Iftar Ala King’ dengan pelbagai resepi dan tip di dapur bersama artis BBNU, Naim Daniel. Atas sambutan memberangsangkan musim lalu, ‘Sah To Share 2.0’ kembali untuk merungkai sebarang persoalan melibatkan agama terutamanya di media sosial bersama PU Azman dan Prof Dr. Muhaya Mohamad. Turut dibawakan semula ialah ‘Gema Azan’ yang akan berkumandang setiap hari pada waktu Subuh dan Maghrib di platform ‘Gempak’.

Sementara itu, ‘Rojak Daily’ menerusi segmen video ‘Snaps dan Hitlist’ akan membawa pembaca ke beberapa lokasi bazar Ramadan yang menarik di sekitar Lembah Klang, selain memberi cadangan juadah pilihan berbuka puasa. Manakala ‘Behind the Wheel’ dan ‘Drebar’ menawarkan siri editorial ‘TipPemanduan Ramadan’, seperti ‘Pilihan Kenderaan Terbaik Untuk Peniaga Bazar’,juga ‘Tip Elak Mengantuk Ketika Memandu’.

Go Shop

Perkhidmatan membeli belah atas talian, Go Shop akan menyajikan sebuah program eksklusif `Memori Ramadan Chef Wan`, setiap Isnindan Selasa pada jam 2.00 petang di saluran RIA (CH104), RIA HD (CH123) dan siaran ulangan di Go Shop menerusi saluran (CH118 dan CH120) pada jam 10.00 malam. Program ini akan menampilkan Chef Wan dan pengacara Go Shop meneroka resipi-resipi Ramadan terbaik di Malaysia, serta berkongsi tip-tip memasak dengan alat memasak dan perkakas yang menarik. Tambahan, `Celebs with Joy` adalah program istimewa Go Shop yang dihoskan oleh selebriti-selebriti terkenal seperti Datuk Aznil Nawawi, Fouziah Gous dan Rozita Che Wan untuk berkongsi petua kecantikan, fesyen, perkakasan rumah, peralatan dapur serta produk gaya hidup Muslim daripada Go Shop.

GoShop akan menawarkan baucer Duit Raya bersempena kempen `Duit Raya Rebate` pada bulan Mei di mana pelanggan boleh menebus baucar segera Duit Raya bernilai RM15 melalui laman web dan aplikasi mudah alihGo Shop apabila mereka membeli produk menerusi rancangan secara langsung GoShop. Selain itu, kempen `Ramadan Bazaar` (24 April - 31 Mei), menawarkan kod promo dengan rebat sehingga RM250 untuk pembelian seterusnya. Untuk maklumat lanjut mengenai program dan produk Go Shop yang menarik, layari www.goshop.com.my atau muat turun aplikasi Go Shop.

Rocketfuel Entertainment

Akhir sekali, syarikat pengurusan bakat Astro, Rocketfuel Entertainment turut meraikan kehadiran Ramadan dan Raya 2019 dengan menghasilkan sebuah album kompilasi khas, ‘Sempurna Seadanya’ yang menampilkan nama-nama hebat di bawah naungannya seperti Zizan Razak, Hael Husaini, Ara Johari, Sufi Rashid, Syamel, Ernie Zakri dan Masya Masyitah. Muzik video juga dijangka menemui peminat dalam jangka masa terdekat ini.

Menerusi himpunan program, tawaran menarik, promosi dan akvititi yang disajikan sepanjang Ramadan 1440, sambutan bulan mulia ini akan menjadi lebih bermakna, terutamanya bersama insan tersayang. Sebagai nilai tambah, anda boleh layari pusat sehenti maya www.astroraya.com.my untuk mendapatkan info-info terkini mengenai kempen Ramadan Astro 2019. Jangan lupa,temujanji anda bersama kami mulai 30April hingga 4 Jun ini. #SempurnaSeadanya.