ASTRO PERKUKUH KOMITMEN TRANSFORMASI, PENDAFTARAN PELANGGAN BARU KIAN BERTAMBAH
25
June
2024

ASTRO PERKUKUH KOMITMEN TRANSFORMASI, PENDAFTARAN PELANGGAN BARU KIAN BERTAMBAH

Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) telah menamatkan suku pertama bagi tahun kewangan 2025 (Q1FY25) dengan memperkukuhkan kembara transformasinya. Berbekalkan komitmen yang diperbaharui, Astro berdiri teguh untuk terus menawarkan pengisian yang lebih bermakna kepada pelanggan,merperkayakan penawaran kandungan dan memastikan kepuasan para pelanggan.

Menghasilkan Nilai Buat Pelanggan

Astro tetap teguh dengan misinya untuk memberikan nilai yang tiada tandingan bagi pelanggannya. Pelancaran pek mesra rakyat, yang kini merangkumi TVB dan Liga Malaysia dalam Primary Pack, membuktikan komitmen ini. Dengan penambahbaikan ini, Astro menyasarkan penyediaan pilihan mampu milik yang boleh menarik pelanggan baharu sekali gus memperluaskan jangkauannya.

Inisiatif ini telah menunjukkan kejayaan yang luar biasa, dengan pertumbuhan pelanggan baharu meningkat sebanyak 20% suku-ke-suku. Tempoh ini juga menyaksikan penambahan baharu bagi langganan pek dengan kandungan Bahasa Cina tertinggi sejak empat tahun terdahulu, ini membuktikan daya tarikan tawaran baharu Astro.

Selain itu, perkhidmatan penstriman Astro, sooka, juga telah membuka ruang baharu dalam aspek kebolehcapaian dan kemudahan, ini termasuklah pelancaran terbaharu sooka TV Stick. Selain daripada itu, Astro juga menjalin kerjasama strategik dengan jenama-jenama terkemuka seperti Maxis, Hotlink, Umobile, CelcomDigi, Haier, LG, Hisense, Toshiba, Touch 'n Go, Zalora, dan Tealive. sooka mencatat peningkatan pengguna bulanan purata (MAU) yang ketara, iaitu sebanyak 28% yang merangkumi lebih daripada 1 juta pengguna, serta kenaikan 86% tahun-ke-tahun bagi jumlah pelanggan berbayar.

Kedudukan eksklusif sooka sebagai satu-satunya aplikasi penstriman buatan Malaysia yang menawarkan liputan sukan langsung yang menyeluruh, termasuk EURO2024, menjadikannya unik. Tawaran ini membolehkan seluruh lapisan masyarakat mampu menikmati acara bola sepak paling dinanti-nantikan tahun ini, sekaligus mengukuhkan keberadaan sooka di pasaran.

Astro Fibre juga mengalami kadar pertumbuhan kukuh, iaitu sebanyak 15% tahun ke tahun. Prestasi ini didorong oleh kepuasan pelanggan yang tinggi terhadap perkhidmatan 'WiFi Kencang' yang menjadi buah mulut para pengguna, sekali gus membuktikan bahawa pelanggan perkhidmatan terbabit turut berkongsipengalaman positif mereka sesama sendiri, justeru mendorong pertumbuhan.

Sementara itu, hasil pengiklanan mengalami trend penurunan yang signifikan,di mana beberapa pelanggan-pelanggan utama telah mengurangkan perbelanjaan bagi tujuan terbabit semasa suku kali ini. Contohnya, sepanjang musim Raya, suasana pengiklanan dalam Radio dan TV menyepi gara-gara pelanggan mengambil langkah berjaga-jaga. Meskipun dibelengu dinamik pasaran sedemikian, Addressable Advertising,yang menawarkan pengiklanan bersasar secara digital ke TV dan OTT, berada pada trajektori yang baik dengan peningkatan pendapatan sebanyak tiga kali ganda tahun-ke-tahun. Pendekatan inovatif ini membuktikan keberkesanan pengiklanan yang diperibadikan dalam menarik perhatian penonton dan memberikan hasil yang boleh diukur oleh para pengiklan.

Untuk menguatkan pemasaran dan pengiklanan kami, kami dengan bangganya mengumumkan pelantikan Prashant Kumar sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa 1Julai 2024. Prashant merupakan pengasas Entropia dan bekas Presiden IPG Mediabrands Asia.

Memperkukuhkan Tawaran Kandungan

Astro telah berkerjasama rapat dengan penerbit tempatan, sekaligus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di samping memperjuangkan bakat tempatan demi memastikan karya-karya yang dihasilkan benar-benar menepati selera penonton tanah air. Pengisian yang ditawarkan juga melangkaui hiburan semata-mata yang mana penceritaan pengisian turut mengandungi nilai-nilai budaya yang positif bagi memberikan impak yang berkekalan kepada penonton.

Salah satu karya kebanggaan Astro ialah KHUN:SA, sebuah drama yang memukau penonton dengan barisan pelakon berbakat dan jalan cerita yang menarik yang berkisarkan stigma sosial masyarakat tempatan terhadap golongan khunsa. Drama ini mendapat 6 juta tontonan di kaca TV serta 5 juta tontonan menerusi On Demand dan Astro GO. KHUN:SA juga menerima ulasan yang sangat baik daripada barisan pengkritik filem dan peminat.

Satu lagi kejayaan untuk Astro ialah Takdir Itu Milik Aku, sebuah drama adaptasi novel perihal ketabahan seorang wanita dalam mengatasi ketidaksetiaan dalam perkahwinan yang turut mengharungi penghinaan yang berterusan. Drama yang menjadi tonggak utama dalam barisan program Astro ini,telah menambat hati lebih daripada 7.7 juta penonton TV dan 7.9 juta tontonan di On Demand dan Astro GO. Kejayaannya menjadikan naskah ini, drama paling paling ditontoni sepanjang bulan Ramadan sehingga sambutan Hari Raya.

Komitmen Astro untuk memacu pertumbuhan dalam ekosistem industri kandungan dan media juga jelas terserlah dengan penghasilan filem seperti Sheriff dan The Experts yang telah menarik penonton kembali ke pawagam dengan jualan tiket mencecah RM77 juta di box office. Tayangan yang akan datang termasuk Gold, Project Kahar, Malam Terlarang, Baik Punya AhLong dan #DONDUKUN dijangka mampu meneruskan trend ini dan boleh menarik sokongan penonton untuk terus berkunjung ke layar perak. Menerusi kandungan sukan kami, para pelanggan berpeluang untuk menikmati 51 perlawanan bola sepak UEFA Euro 2024 secara langsung dalam HD, musim baharu 2024/2025 Liga Malaysia serta Paris 2024 Olympics.

Susulan memenangi anugerah "Penggunaan Kecerdasan Buatan Terbaik dalam Pelaporan Berita" di Digital Media Asia 2024, AWANI terus mempelopori penggunaan kecerdasan buatan dalam pemberitaan dengan pelancaran JIWA: Panduan Penggunaan Kecerdasan Buatan. Inisiatif ini menegaskan komitmen Astro AWANI untuk memanfaatkan keupayaan kecerdasan buatan dalam penulisan berita berkualiti tinggi dan cekap di samping mengekalkan etika kewartawanan. Dalam pada itu, Astro AWANI juga telah mengekalkan reputasinya sebagai jenama berita yang paling dipercayai di Malaysia selama tujuh tahun berturut-turut. Menurut laporan Reuters Institute Digital News 2023 dan Universiti Oxford; Astro AWANI sekalilagi menduduki tempat pertama dengan peratusan 64%, diikuti oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan skor 63%, sementara empat jenama berita lain berkongsi tempat ketiga dengan 60% iaitu Malaysiakini, Berita Harian, TV3, danTV9.

Selain daripada penghasilan dan mempromosikan kandungan, Astro juga aktif memerangi cetak rompak digital bagi melindungi mata pencarian golongan profesional yang berkecimpung dalam industri. Dari tahun 2023 hinggalah Mei 2024, sejumlah 260,000 pautan haram dari pelbagai platform termasuk laman web, media sosial, aplikasi perbualan mudah alih seperti Telegram, dan laman e-dagang telah berjaya dipadamkan demi menjaga peluang pekerjaan dan integriti industri.

Malah semasa Q1FY25, Astro berjaya menempa detik bersejarah menerusi kerjasamanya dengan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM). Buat julung kalinya, kedua-dua entiti terbabit berjaya merobohkan satu ladang server kandungan haram yang beroperasi di Malaysia. Astro terus komited dalam usahanya untuk berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain, serta entiti serantau dalam memerangi cetak rompak digital.

Mengesahkan Usaha Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG) Kami

Berkenaan dengan usaha Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus (ESG) kami, Astro dengan bangganya melancarkan Astro Kem Badminton (AKB) edisi 2024, yang meliputi lima lokasi di seluruh Malaysia. Dengan sokongan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), peserta terpilih kini mempunyai peluang unik untuk menjalani latihan peringkat kebangsaan. Sejak penubuhannya, AKB telah melatih sebanyak 21,300 kanak-kanak di seluruh negara.

Pendapatan Mengendur dengan Aliran Tunai Bebas RM112 juta

Astro menempuh landskap yang mencabar dalam suku pertama FY25 terutamanya dalam  perbelanjaan pengiklanan. Pendapatan mengendur kepada RM773 juta suku-ke-suku. Dalam pada itu, syarikat mencapai PATAMI ternormal sebanyak RM25 juta, ia tidak termasuk kerugian tukaran asing yang belum direalisasikan atas liabiliti sewa transponder. Syarikat turut menghasilkan aliran tunai bebas sebanyak RM112 juta dan terus proaktif dalam pengurusan modalnya.

Euan Smith, Ketua Eksekutif Kumpulan Astro berkata, "Pada FY25, fokus kami berpaksikan tiga tunjang utama iaitu: Memperbanyakkan Pelanggan Baharu dengan pengukuhan tawaran kandungan bagi menarik perhatian penonton; Menguatkan Perniagaan Berkaitan dengan memperluaskan sooka, Astro Fibre, Astro Enterprise, dan Addressable Advertising serta Mengurangkan Kos Legasi bagi memastikan produk kami mampu kekal bersaing dengan pemain global.

Pelancaran Astro Studios juga merupakan pembukaan satu bab baharu yang mengujakan bagi kami. Kami sangat bersemangat kerana ia merupakan permulaan bagi perjalanan kami untuk menjadikan Malaysia sebagai hab penciptaan kandungan yang cemerlang.

Sebelum saya tiba di Malaysia, nama negara ini jarang timbul dalam apa jua perbincangan meskipun sebagai destinasi perfileman ataupun perihal hal-ehwalpasca-produksi. Tetapi setibanya di sini, saya mendapati bahawa Malaysia dipenuhi dengan individu-individu yang berbakat dalam menghasilkan kerja yang luar biasa. Ia ibarat seperti satu rahsia yang tersimpan rapi dan saya percaya sudah tiba masanya untuk tanggapan ini diubah.

Selagi saya menetap di Malaysia, saya menganggap diri saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Saya mahu mempersembahkan potensi negara kita, kepada negara-negara seperti Korea, Poland, dan Perancis. Bagi saya, Astro Studios adalah platform untuk membina, mempersembahkan, dan menunjukkan apa yang industri tanah air kita dapat capai.

Kecekapan tenaga kreatif serta hubungan kukuh dalam ekosistem di Malaysia membolehkan kami menghasilkan rancangan popular sepanjang tahun. Portfolio karya-karya kami merangkumi siaran langsung acara signature kami, Astro Originals, drama, sukan tempatan, berita, dan program kanak-kanak.

Ketangkasan kami juga jelas terserlah apabila kami mampu menyesuaikan penghasilan karya seiring dengan perkembangan semasa, yang berjaya kami tonjolkan menerusi siaran inisiatif kemanusiaan seperti saluran sementara, Malaysia4Palestine, yang menampilkan 115 bakat dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia yang turut disokong oleh RTM.

Di samping meningkatkan jumlah kandungan, kami juga telah memperkenalkan pakej-pakej nilai tambahan yang merangkumi kandungan utama seperti sukan dan program tempatan. Kami juga telah menjadikan sooka sebagai satu komponen hiburan yang penting dengan pelancaran sooka TV Stick yang membolehkan pelanggan menikmati sooka sama ada menerusi peranti peribadi ataupun di kaca televisyen. Berbekalkan inovasi kandungan dan tekonologi yang berterusan, kami bersedia untuk mengukuhkan keudukan kami sebagai destinasi hiburan dan penstriman utama di Malaysia.