Astro Prima Angkat Seni Muzik Jalanan Menerusi ‘My Buskers’
Astro Prima Angkat Seni Muzik Jalanan Menerusi ‘My Buskers’
15
December
2019

Astro Prima Angkat Seni Muzik Jalanan Menerusi ‘My Buskers’

Program ‘My Buskers’ ialah sebuah program hiburan terbitan Astro Prima menampilkan barisan penyanyi popular tanah air yang membuat kemunculan istimewa untuk mengiringi persembahan kumpulan penghibur jalanan atau lebih dikenali dengan gelaran ‘buskers’ di pelbagai lokasi ‘hotspot’ sekitar ibu negara bagi tujuan mengutip dana bantuan amal. Hasil kutipan tersebut akan disalurkan kepada golongan artis tempatan yang memerlukan. Selain menyanyi, barisan selebriti jemputan juga turut berkongsi cerita dan pengalaman menarik sebagai anak seni secara santai untuk menghiburkan para pengunjung.

Program ‘My Buskers’ akan berdurasi selama 60 minit sepanjang 11 buah episod dan bakal bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Khamis, jam 9.00 malam mulai 12 Disember 2019 di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121). Untuk pilihan yang fleksibel, ‘My Buskers’ juga turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’.Untuk makluman, penerbitan program ‘My Buskers’ juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Astro dalam menyokong inisiatif tanggungjawab korporat yang digerakkan oleh FINAS dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menerusi Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dalam usaha menjaga kebajikan para penggiat seni tanah air.

Baru-baru ini, Astro turut menyahut saranan tersebut dengan menyalurkan sumbangan amal dalam bentuk wang tunai kepada golongan artis veteran menerusi penerbitan program hiburan utama termasuklah ‘Gegar Vaganza 2019’, ‘All Stars Buka Panggung’ serta banyak lagi.

Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima berkata:

“Budaya muzik jalanan atau ‘busking’ bukanlah suatu yang asing dan semakin diterima baik dalam kalangan masyarakat kita. Selain mempunyai jumlah pengikut yang besar terutamanya di laman media sosial, kehadiran golongan penghibur jalanan ini juga semakin dikenali dalam arus perdana. Mereka yang cukup sinonim dengan panggilan ‘buskers’ ini juga turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, malah mempunyai komuniti di seluruh dunia. Sebagai pembekal kandungan utama di negara ini, kami melihat muzik jalanan sebagai satu cabang seni yang sering mendapat perhatian ramai. Justeru, kami menyambut baik perkembangan ini dengan menyediakan platform kepada golongan ‘buskers’ ini untuk memperlihatkan bakat yang mereka miliki menerusi penerbitan ‘My Buskers’. Uniknya, program ini bakal menampilkan kolaborasi dinamik di antara barisan penyanyi profesional dan ‘buskers’ yang berganding bahu bagi memenuhi misi yang sama iaitu untuk menghiburkan dan membantu meringankan beban mereka yang memerlukan pada masa yang sama. Inisiatif murni ini dilihat mampu memberi mesej dan impak positif kepada semua pihak terutamanya para penonton. Di kesempatan ini, ingin kami tegaskan bahawa jumlah sumbangan bukanlah untuk dijadikan ukuran utama tetapi nilai ingatan kepada mereka yang memerlukan lebih diberikan perhatian sewajarnya. Sementara itu, pemilihan kesemua barisan penyanyi termasuklah kumpulan ‘buskers’ yang terlibat dalam menjayakan penerbitan musim ini pula adalah berdasarkan kepada bakat dan populariti masing-masing yang menepati konsep dan penonton sasaran program ini. Kami percaya kesemua mereka mampu mengangkat program ini dengan sentuhan dan gaya keunikkan mereka yang tersendiri sekaligus memikat hati para penonton untuk terus melekat di kaca televisyen.”

Trivia `My Buskers`

1.Penerbitan program ‘My Buskers’ musim pertama dimeriahkan dengan kehadiran 21 penyanyi popular tanah air yang terdiri daripada Black, Neeta, Jaclyn Victor, Exists, Bunkface, Siti Sarah Raisuddin, Mark Adam, Hujan, Tomok, Dato’ Awie, Azharina, Adira Suhaimi, Ameng, Drama Band, Usop, Ruffedge, One Nation Emcees, Dato’ Hattan, Azlan Typewriter, Amelina dan Lan Solo.

2.Manakala tiga kumpulan penghibur jalanan atau ‘buskers’ yang telah bekerjasama untuk menjayakan musim ini ialah Genji Buskers, SaraSara Akustika dan Gersik Band. Selain berbakat besar, mereka turut mempunyai jumlah pengikut yang ramai di media sosial.

3.Dua penyanyi akan digandingkan untuk membuat persembahan bersama mengiringi kumpulan ‘buskers’ dalam setiap episod.

4.Sebahagian daripada jumlah sumbangan bantuan amal yang disalurkan kepada barisan artis di bawah naungan SENIMAN adalah hasil kutipan jualan barangan eksklusif ‘My Buskers’. Manakala sebahagian lagi adalah sumbangan ikhlas daripada pihak Astro.

5.Black & Neeta menyerahkan sumbangan mereka kepada pelakon, pengarah dan pelawak veteran; AR Badul, Jaclyn Victor & Exists (Wan Maimunah), Siti Sarah Raisuddin & Mark Adam (Puteri Balqis), Amelina & Lan Solo (Pian Cecupak), Drama Band & Usop (Alina Hassan), Dato’ Awie & Azharina (Hamid Gurkha), Ameng & Adira Suhaimi (Ku Faridah), Ruffedge & One Nation Emcees (Kartina Aziz), Dato’ Hattan & Azlan Typewriter (Azman Idris), Hujan & Tomok (Joey BPR), Bunkface (Shima).

6.Rakaman program ‘My Buskers’ telah diadakan di empat buah lokasi utama terpilih sekitar Lembah Klang yang sering menjadi tumpuan pengunjung iaitu Sogo (Jalan Tuanku Abdul Rahman), Lot 10 (Jalan Bukit Bintang), Tapak (Jalan Ampang) dan The Port (Bandar Utama).