Astro Radio Rapatkan Ukhuwah Sesama Masyarakat Dengan Penganjuran Ibadah Korban Bersama Siti Khadijah
19
June
2024

Astro Radio Rapatkan Ukhuwah Sesama Masyarakat Dengan Penganjuran Ibadah Korban Bersama Siti Khadijah

Astro Radio menganjurkan program ‘Lapah Astro Radio Bersama Siti Khadijah’ pada hari ini dengan penglibatan empat (4) stesen radio popular termasuk ERA, ZAYAN, GEGAR dan SINAR di Laman Khadijah, Nilai, Negeri Sembilan bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.

Program ini yang julung kali dilakukan dengan kerjasama Siti Khadijah, bertujuan untuk mengimarahkan ibadah korban pada tahun ini sekaligus merapatkan silaturahim di antara kedua-dua jenama.

Penglibatan ERA, ZAYAN, GEGAR dan SINAR dalam program ini termasuk membuat siaran secara langsung luar konti bermula jam 6 pagi di Laman Khadijah, serta sebagai sukarelawan dalam proses melapah daging korban.

‘Lapah Astro Radio Bersama Siti Khadijah’ disertai oleh penyampai radio pagi daripada ERA, ZAYAN, GEGAR dan SINAR termasuk Nabil, Azad, Radin (ERA); Jep, Rahim, Angah (SINAR); Issey, Fizie (GEGAR); Mawi, Anas (ZAYAN), serta personaliti-personaliti radio lain daripada Astro Radio.

Ibadah Korban ini melibatkan proses penyembelihan sebanyak lima ekor lembu, dan daging korban diagihkan kepada kakitangan daripada Astro Radio, Siti Khadijah, golongan asnaf yang memerlukan dan masyarakat setempat.  

Program ini turut disertai lebih daripada 100 sukarelawan termasuk kakitangan Astro Radio, kakitangan Siti Khadijah, serta wakil daripada Masjid Abu Al-Darda’ Nilai Impian bagi memberkati perayaan raya korban ini dan merapatkan ukhuwah sesama masyarakat setempat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen-kempen di Astro Radio, layari laman web rasmi atau ikuti platform media sosial jenama radio.