Gabungan genre komedi, penuh kasih & menyayat hati, ‘Ofis Politik’, ‘RahsiamuSelamat Denganku’ & ‘Curang Tanpa Niat’ akan ditayangkan di Astro Ria Disember ini
Mengukuhkan posisinya sebagai hab drama terbaik Malaysia, Astro bakal menghiasi saluran Astro Ria (104) dengan drama-drama menarik buat para penontonnya pada Disember ini. Para penonton bakal dihiburkan dengan drama ‘Ofis Politik’ bermula 4 Disember 2024,diikuti oleh ‘Rahsiamu Selamat Denganku’ pada 9 Disember 2024, dan drama yang merentap jiwa, ‘Curang Tanpa Niat’ pada 23 Disember 2024.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, “Kami sangat teruja untuk mengumumkan pelancaran tiga drama baharu yang pastinya akan menawan hati semua. Setiap drama hadir dengan jalan cerita dan genre yang unik, direka khas untuk memenuhi citarasa penonton dari pelbagai lapisan umur. Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa usaha gigih rakan-rakan produksi serta barisan pelakon berbakat yang menghidupkan setiap watak dengan cemerlang. Kudos kepada mereka semua! Kami berharap ‘Ofis Politik’, ‘Rahsiamu Selamat Denganku’ dan ‘Curang Tanpa Niat’ akan menjadi pilihan utama penonton sebagai penutup yang sempurna untuk tahun ini, serta membawa pengajaran dan nilai murni yang akan menyemarakkan semangat untuk memulakan tahun baharu.”
Para penonton dan penggemar slot-slot drama di Astro Ria akan disajikan dengan pelbagai kisah dan genre menerusi drama terbaharu Astro pada Disember ini, bermula dengan ‘Ofis Politik’ yang mengisahkan tentang sekumpulan penjawat awam dengan prestasi kerja yang kurang memberangsangkan diletakkan di dalam Jabatan Perantaraan (jabatan palsu), diketuai oleh Encik Abdullah Abdullah (Rashidi Ishak) yang perlu melakukan sesuatu untuk membuktikan bahawa jabatan yang diwujudkan mempunyai fungsi untuk terus kekal beroperasi. Drama di slot Dramavaganza ini bergenre komedi romantik, dan merupakan sebuah karya terbitan KL Motion Pictures Sdn Bhd arahan pengarah Wan Hasliza dan Wan Alauddin. Drama 16 episod ini turut dibintangi oleh Erysha Emyra dan Syafi Tee sebagai tunjang utama.
Menyaksikan gandingan terbaharu Siti Khadijah Halim dan Alvin Chong sebagai peneraju, drama ‘Rahsiamu Selamat Denganku’ pula akan menyambung slot pukul 11 malam dengan mengisahkan tentang Profesor Hana dan Profesor Rafel, masing-masing mempunyai rahsia dan obsesi tersendiri dan menyembunyikannya untuk menjaga reputasi. Dalam menyelesaikan masalah mengenai sebuah aplikasi yang dipanggil ‘Live or Die’ (LOD) di kalangan pelajar mereka, tanpa sedar mereka terjatuh cinta. Drama bergenre jenayah romantik ini merupakan hasil kerjasama MsOrange Solutions Sdn Bhd dan Blimey daripada Korea, di bawah pengarahan Jade (Blimey) dan Faliq Sharif sebanyak 16 episod.
Mengekalkan genre yang lebih berat dan sulit di slot MegaDramanya, Astro mempersembahkan drama ‘Curang Tanpa Niat’ yang memaparkan pergelutan seorang isteri bernama Elina dalam mengharungi ketidaksetiaan dan kecurangan suaminya, Eshaal di tempat kerja. Drama ini mengetengahkan tentang pergolakan percintaan, konflik kekeluargaan dan kecurangan yang terjadi di tempat kerja hasil daripada tidak menjaga batas antara satu sama lain. Drama sebanyak 32 episod ini diterbitkan oleh iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd (iFAME) dan merupakan hasil pengarahan Eyra Rahman. Drama ini dibintangi oleh Shukri Yahaya, Mira Filzah dan Sharifah Sakinah sebagai watak utama.
‘Ofis Politik’, ‘Rahsiamu Selamat Denganku’ dan ‘Curang Tanpa Niat’ turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/UltiBox serta aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang fleksibel. Daftar sekarang untuk tawaran masa terhad Astro Baharu, JUALAN JIMAT BESAR dengan harga serendah RM41.99/sebulan serta pemasangan percuma*. Nikmati hiburan terbaik, dalam satu tempat! Layari astro.com.my bagi info lanjut untuk melanggan.
*Tertakluk pada terma dan syarat.