Ramadan 1439 Hijrah bakal menjelang tiba dan bulan keampunan ini dinantikan seluruh umat Islam yang menyambutnya. Stesen televisyen Astro saban tahun meraikan kedatangan bulan mulia ini dengan pelbagai pengisian menarik dan penjiwaan bulan Ramadan ini dizahirkan menerusi seleksi program hebat di kesemua platformnya termasuklah di ruangan digital, televisyen, radio dan menerusi penganjuran aktiviti lapangan (‘on ground’).
Istimewanya Ramadan dan Raya kali ini, Astro buat julung kalinya mengangkat tema ‘Meriah Bersama’ bagi meraikan setiap rakyat Malaysia yang sentiasa setia menyokong dan menjadi tulang belakang dalam kejayaan yang diraih sejak lebih dari dua dekad lalu. Menerusi tema ‘Meriah Bersama’ ini, Astro meraikan konsep kebersamaan dan menerapkan elemen keriangan menerusi kandungan hiburan yang bakal disajikan sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan yang akan datang ini.
Dalam usaha menghargai pelanggannya, Astro buat julung kalinya membuka sebuah saluran khas ‘Ramadan HD’ (saluran 122) yang boleh dinikmati secara percuma kepada semua pelanggan Astro yang mempunyai perkhidmatan berdefinisi tinggi (HD) mulai 12 Mei 2018. Ia kemudiannya akan dipanjangkan ke musim perayaan menerusi saluran ‘Raya HD’ dari 14 Jun 2018 sehingga 15 Julai 2018. Saluran khas ini bakal menyajikan seleksi program Ramadan dan Raya terbaik yang disusun berselang-seli tanpa henti merangkumi pelbagai genre berbeza.
Kemeriahan Ramadan dan Raya akan turut dirasai oleh pelanggan perkhidmatan satelit televisyen percuma pertama di Malaysia, NJOI, yang mana mulai 15 Mei 2018, NJOI akan memperkenalkan sebuah saluran khusus untuk pelanggannya. Saluran NJOI (saluran 100) ini akan bersiaran selama 24-jam dalam Bahasa Melayu dan bakal menyorot kembali kehebatan program-program terdahulu yang pernah menambat hati penonton. Menarik lagi, saluran ini memiliki akses langsung dengan kandungan-kandungan premium yang pernah disiarkan di saluran-saluran bahasa Melayu Astro.
Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh berkata, “Astro sentiasa berhasrat memberikan program-program terbaik untuk ditonton, didengari dan dilayari pelanggan setia kami dan bulan Ramadan tidak terkecuali. Sedar akan tanggungjawab besar dalam mendidik penonton kami dengan program-program yang mampu menyemarakkan nilai-nilai murni dalam diri mereka, kami bertindak sebagai sebuah wahana penyampaian kandungan Islam yang unggul buat penonton dengan membariskan kandungan yang sarat dengan mesej-mesej positif. Program-program yang disediakan ini merangkumi pelbagai genre bersesuaian dan kami memberi tumpuan ke atas kesemua platform yang kami miliki, dari sisi 360-darjah, bagi memastikan setiap individu di luar sana mempunyai pilihan alternatif dalam mendapatkan akses kepada program-program yang disajikan ini.”
Mengulas mengenai pemilihan tema ‘Meriah Bersama’ yang melatari kempen Ramadan dan Raya Astro 2018 serta pengenalan saluran ‘Ramadan HD’, Dato’ Khairul menyambung, “Kami merasakan bahawa tema ‘Meriah Bersama’ yang dipilih ini bertepatan dengan usaha kami untuk menghargai pelanggan yang selama ini setia bersama kami. Tema ini memberi maksud yang sangat luas dan ia menggambarkan kegembiraan yang dikongsi bersama setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang masing-masing.
Kami juga ingin meraikan konsep kebersamaan, keharmonian dan kepelbagaian di antara setiap rakyat Malaysia menerusi kandungan yang kami zahirkan di musim perayaan ini. Justeru itu, pada tahun ini, untuk pertama kalinya kami memperkenalkan saluran ‘Ramadan HD’ yang menyajikan kompilasi program yang padat dengan aspek kerohanian dan moral untuk membantu kita lebih menghayati bulan yang penuh barakah ini.”
Untuk tahun 2018 ini, sebanyak 38 program menarik dan terbaharu disediakan khas buat santapan rohani penonton. Merangkumi program-program keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri, majalah, sketsa, animasi dan rancangan khas seperti variasi, travelog serta bual bicara, saluran Islamik; Astro Oasis sekali lagi bertindak sebagai saluran utama yang menghiasi seleksi Ramadan Astro.
‘Inspirasi Luar Biasa’ dijadikan latar dan panduan kandungan yang dizahirkan di saluran Astro Oasis. Tema khas ini dipilih bagi memberi penghormatan kepada insan-insan istimewa yang memiliki keperibadian hebat dan menjadi sumber inspirasi ramai di atas kejayaan demi kejayaan yang telah diraih sebelum ini. Di antara program-program menarik yang disusun khas untuk penonton termasuklah ‘Legasi Luar Biasa’ yang turut memartabatkan golongan kurang upaya yang telah memperkasakan komuniti menerusi pelbagai inisiatif positif, ‘Al Kauthar: Sentuhan Qalbu’ yang dikemudikan oleh Ustaz Don Daniyal di mana beliau akan mengupas isu-isu terkini yang berlaku dalam masyarakat hari ini, ‘Trek Muslim’ yang bakal memaparkan kisah-kisah kejayaan ulama dan ikon Islam, serta sebuah program masakan yang berlandaskan sunnah Nabi, ‘Mahabbah Meals’ yang dihoskan oleh Mat Dan bersama selebriti media sosial, Chef Adam Mahamed Ismail atau lebih dikenali dengan nama Adamdidam.
Saluran utama berbahasa Melayu lain turut memainkan peranan masing-masing dalam menyinari bulan mulia ini dan hadir dengan program-program menarik seperti ‘Meremang: Suriram’ (Astro Prima), ‘Diari Ramadan Neelofa’ dan ‘Resipi Memikat Isteri 2’ (Astro Ria) serta ‘Sepahtu Reunion Al Puasa’, ‘Ustaz Evo’ dan ‘Dapur Hancur Lebur’ (Astro Warna). Menariknya lagi di bulan Ramadan ini, animasi Islamik kanak-kanak yang menyampaikan mesej Islamik secara santai menerusi lagu-lagu menarik khas buat si cilik, ‘Omar & Hana’ bakal kembali dengan musim kedua – lebih segar, lebih keceriaan. ‘Omar & Hana’ juga baru-baru ini telah mengumumkan kolaborasi bersama Naelofar Hijab, Siti Khadijah dan Durra dalam mempromosikan produk-produk istimewa edisi ‘Omar & Hana’ sempena Ramadan dan Raya ini.
Kehadiran Ramadan sememangnya dinanti pendengar setia saluran radio milik Astro. Saluran radio berbahasa Melayu yang berada di bawah naungan Astro akan turut mengimarahkan bulan mulia ini dengan pelbagai aktiviti dan program menarik. ERA akan memperkenalkan program ‘60 Saat Resipi Ramadan & Raya 2018’ bersama tiga penyampai utama mereka; Radin, Hani dan Daniel. Stesen radio yang berkonsepkan "Gaya Hidup Muslim Kontemporari", Zayan pula akan memberi tumpuan kepada tiga program utama, ‘Cerita Chef’, ‘Zayan Mualaf Diary’ dan ‘Tarawikh Review’. Manakala, Sinar akan menggiatkan aktiviti lapangan dengan program ‘Bubur Lambuk Istimewa’ bersama Angah di masjid-masjid terpilih di seluruh Malaysia. Turut sama mengaktifkan sebuah lagi aktiviti lapangan ialah Gegar menerusi program ‘Anak Angkat Suzana’.
Semangat Ramadan akan turut disemarakkan di platform digital seperti di ‘Gempak’, ‘Rojak Daily Kaw!’, ‘Thinker Studios’, ‘Drebar’ dan ‘InTrend’. ‘Gempak’ bakal memperkenalkan edisi istimewa ‘Road Thrift Meriah’ bersama Syafa Nisa dan Pink Azwan. Selain itu, turut disiarkan kelak adalah ‘Sah to Share’ yang dikemudikan oleh PU Taha. Beliau akan merungkai sebarang persoalan yang melibatkan agama terutamanya di platform media sosial. Turut diperkenalkan adalah ‘Gema Azan’ yang akan berkumandang pada waktu Subuh dan Maghrib setiap hari di platform ‘Gempak’ dan ia akan disampaikan oleh Tahfiz Muda Mikail dan juga Karim Jabbari.
‘Drebar’ pula akan memberikan tips menarik dan berfaedah berkaitan kenderaan sebelum memulakan perjalanan jauh ke destinasi masing-masing di musim perayaan yang akan datang ini. ‘Rojak Daily Kaw!’ pula akan membawa audiens menerokai bazar Ramadan yang menarik di Malaysia. Manakala ‘In Trend’ dengan edisi menerusi laman portal dan majalah bagi edisi bulan Ramadan pula akan memaparkan fesyen-fesyen terkini penuh inspirasi yang dizahirkan barisan pereka fesyen tersohor tanahair. Untuk pilihan alternatif, pelanggan boleh turut melayari pusat sehenti maya, www.meriahbersama.com.my untuk menonton dan mendapatkan info-info terkini mengenai program dan aktiviti Astro sepanjang bulan Ramadan dan Raya ini.
‘RAKU’ yang merupakan perkhidmatan penstriman muzik dan radio, turut menawarkan pelbagai kandungan digital sempena Ramadan ini seperti muzik Islamik, ceramah, tips menjalani ibadah puasa, pilihan tempat menarik untuk berbuka puasa dan macam-macam lagi.
Lebih istimewa lagi, Astro akan terus memeriahkan lagi Ramadan yang akan datang ini dengan menjayakan beberapa aktiviti lapangan. Bertujuan untuk beramah mesra dengan pelanggan, Astro akan berada di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada setiap hari Sabtu, mulai jam 3.00 petang, dari 18 Mei hingga 20 Jun 2018. Selain dari kaunter-kaunter jualan Go Shop dan Astro Circle, peminat akan berpeluang menemui barisan selebriti terkenal tanahair seperti Siti Nordiana, Nazim Othman, Zara Zya, Wany Hasrita, Tajul, Haqiem Rusli dan ramai lagi. Selain itu, Astro turut terlibat menjayakan ‘Karnival Karangkraf Meriah Bersama Astro’ yang akan diadakan di Perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam pada 1 hingga 3 Jun 2018. Pelbagai aktiviti menarik, acara ilmiah dan Islamik serta hadiah misteri menanti pengunjung yang hadir.
Go Shop, turut tidak ketinggalan mengangkat tema ‘Meriah Bersama’ dalam kempen anjurannya sempena bulan Ramadan dan Raya ini. Go Shop baru-baru ini telah melancarkan kempen ‘Bisikan Ramadan - Jualan Mega, Jimat Berganda’ yang menawarkan penjimatan yang lebih besar dan promosi menarik termasuklah penghantaran percuma di seluruh negara*. Gabungan produk eksklusif juga akan dilancarkan untuk kategori fesyen dan gaya hidup Islam dari jenama fesyen dan kecantikan yang terkenal termasuk Fashion Valet dan Pretty Suci yang menawarkan pembeli dengan pelbagai pilihan pakaian dan produk kecantikan Halal.
Selain dari kempen mega ‘Bisikan Ramadan’, Go Shop juga bakal memperkenalkan program-program eksklusif berformat baru seperti ‘Go Bazaar’, ‘Koleksi Aidilfitri’ dan ‘Go Ustaz’ serta kandungan digital berdurasi pendek yang merangkumi pelbagai resipi masakan, idea mendekorasi rumah dan tips fesyen bersama selebriti popular negara. Sama ada anda ingin membeli pakaian baru, produk solek dan penjagaan kulit atau perkakasan rumah dan perabot, kini adalah masa yang paling tepat untuk anda berbelanja di Go Shop. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program dan produk menarik di Go Shop, ikuti rancangan siaran langsung yang digandakan sempena bulan Ramadan di Saluran 118 HD dan 120 setiap hari di Astro atau layari www.goshop.com.my serta ikuti kami di laman Facebook.
* Tertakluk kepada Terma & Syarat
Dengan adanya himpunan program dan aktiviti sempena Ramadan serta ditambah pula dengan kepelbagaian pilihan platform yang ditawarkan, segala-galanya menjadi lebih mudah dan cepat. Pastinya sambutan Ramadan bersama Astro pada tahun ini akan lebih bermakna dengan penawaran kandungan Astro yang amat komprehensif. Jangan lupa, temujanji anda bersama program-program hebat di Astro di sepanjang bulan Ramadan 1439 Hijrah ini. Teruskan #MeriahBersama dan hanya yang terbaik di Astro.