Astro Semarakkan Syawal Dengan Hiburan 'Meriah Lain Macam' Istimewa Raya 2025
12
March
2025

Astro Semarakkan Syawal Dengan Hiburan 'Meriah Lain Macam' Istimewa Raya 2025

Menyambut keistimewaan Syawal dengan caranya tersendiri, Astro, peneraju industri hiburan di Malaysia, membawa kemeriahan tahun ini dengan sajian istimewa, menawarkan lebih daripada 160 kandungan Raya yang telah dirancang khas untuk seisi keluarga. Dari kandungan televisyen, sehingga ke platform digital dan radio, setiap satu dicipta dengan teliti untuk memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan pelbagai warna. Semua kandungan istimewa ini boleh dinikmati tanpa henti secara on-the-go, bermula malam raya di Astro.

Setiap tahun, sambutan Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa iklan yang mengusik emosi atau yang mencuit hati dalam membangkitkan semangat Syawal. Astro meneruskan tradisi iklan Raya berkualiti tinggi dengan ‘Lain Macamnya Raya’, kisah Jumaah, ibu tunggal yang berpegang pada tradisi tetapi diuji dengan kehadiran menantu berbeza adat. Dalam dilema antara warisan dan perubahan, Jumaah menemukan erti sebenar kebahagiaan keluarga. Iklan 8 minit ini, hasil kerjasama Astro dan Naga DBB, diarahkan oleh Hyrul Anuar (Think Tank) dan menampilkan barisan selebriti terkenal seperti Ellie Suriaty, Mierul Aiman, Qasrina Karim, dan ramai lagi.

Menurut Naib Presiden, Melayu, Antarabangsa, Kanak-kanak & On Demand, Astro, Azlin Reza Azmi,“Selari dengan tema tahun ini, Astro membawakan pelbagai kandungan khas yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyatukan semua. Raya kali ini lebih istimewa dengan penceritaan yang dekat di hati, memenuhi citarasa pelbagai generasi. Dari drama dan telefilem istimewa menyentuh emosi, hiburan penuh warna-warni, hingga komedi dan muzikal yang menceriakan – semuanya untuk memastikan setiap detik bersama keluarga dan insan tersayang lebih bermakna dan meriah daripada biasa. Ini juga diterjemahkan menerusi iklan raya kami “Lain Macamnya Raya”, yang mengetengahkan kemanisan dalam kelainan apabila kita terbuka untuk menerimanya. Kami berharap santapan yang kami sajikan sepanjang Syawal ini bukan sahaja menyemarakkan Aidilfitri anda tetapi juga menjadi penghubung dalam menyatukan keluarga dan sahabat handai. Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.”

Selain program hiburan buat seisi keluarga, Astro, dengan kerjasama Rocketfuel, turut menampilkan dua buah lagu istimewa Raya yang berjudul ‘Meriah Lain Macam’ nyanyian Hael Husaini dan Nadeera Zaini, serta ‘Nyam Nyam Ketupat’ yang menggabungkan Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy sebagai santapan Raya.

Untuk maklumat lanjut mengenai program Raya Astro 2025, sila rujuk siaran akhbar Raya Astro 2025.