Astro SMK Kembali Untuk Musim Ketiga Dengan Pengisian Kandungan Yang Lebih Menarik & Segar, Diceriakan Lagi Dengan Kehadiran Watak-Watak Baharu!
24
August
2021

Astro SMK Kembali Untuk Musim Ketiga Dengan Pengisian Kandungan Yang Lebih Menarik & Segar, Diceriakan Lagi Dengan Kehadiran Watak-Watak Baharu!

Siri popular kegemaran ramai yang turut mengungguli kategori ‘Best Quarantine-Themed Drama/Feature/Programme` di Anugerah ContentAsia 2020 yang berlangsung tahun lalu, ‘SMK’ kini Kembali di Astro Ceria (saluran 611)! Menerusi musim ketiganya ini, geng SMK akan membawa penonton menelusuri pengembaraan yang menyeronokkan menerusi pengalaman pembelajaran dari rumah atau PdPR dan cabaran-cabaran yang perlu mereka lalui, dalam satu jalan penceritaan yang ‘dekat dengan hati’ dan sarat dengan elemen komedi. Melihatkan kepada situasi pandemik pada hari ini yang menyebabkan sekolah-sekolah masih belum boleh dibuka kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar SMK perlu mengadaptasi dengan norma baharu untuk sentiasa #kekaldirumah dan menyesuaikan diri untuk berada jauh dari rakan-rakan sekelas.

Untuk musim ini, kehadiran beberapa nama-nama baharu memeriahkan lagi perjalanan siri ini. SMK menampilkan pendatang baharu, Fara Nadiah dan Kiwi Chong, yang masing-masing membawakan watak Zaitun Zubaidah atau Zizi dan Suzi Wong. Zizi merupakan anak kampung kelahiran Kedah dan sepupu kepada Alya (lakonan Erissa Puteri). Walaupun Zizi dilihat sebagai seorang yang cuai dan kerap berangan, dia merupakan seorang yang bijak IT dan memiliki kebolehan seni mempertahankan diri yang hebat, selain dari baik hati. Manakala Suzi pula merupakan jiran baharu di kawasan perumahan mereka yang mana bapanya merupakan seorang penerbit dan pengarah yang kian meningkat naik. Suzi menggemari aktiviti sukan dan menyukai perhatian yang diberikan oleh orang sekelilingnya, serta menghargai segala peluang yang ada untuk berada di hadapan lensa kamera.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong, berkata, “Sebagai peneraju utama kandungan hiburan kanak-kanak di Malaysia, Astro Ceria sentiasa berusaha untuk menyajikan kandungan terbaik bagi santapan seisi keluarga. Kejayaan yang dicetuskan dari dua musim pertama SMK dan SMK Study Squad menjadikan kami begitu teruja untuk menerbitkan naskhah musim ketiga ini pula. Ini merupakan tanda penghargaan kami kepada peminat yang selama ini menyokong setia siri ini dan menjadikan SMK rancangan akademik paling banyak ditonton di negara ini. Musim ketiga ini menjanjikan pengembaraan yang lebih menarik dan menghiburkan kerana kami menampilkan ramai nama-nama baharu hadir menceriakan karya ini. Di antaranya pelakon dan penyanyi kesayangan ramai, Nabila Razali, Emelda Rosmila, Zain Hamid dan pemain komedi, Nizam Jentik-Jentik.

Kami perlu peka dan mengambil berat akan situasi yang perlu dihadapi anak-anak dan ibubapa khususnya dalam mengharungi cabaran melaksanakan PdPR di kediaman masing-masing. Justeru, kami di bahagian produksi SMK mengangkat topik ini dan kehidupan norma baharu kita dalam naskhah musim ini, dan kami zahirkannya dalam suasana yang cukup santai dan sarat dengan elemen komedi. Harapan kami agar kita semua kekal kuat menempuhi fasa ini dan #KitaTeguhBersama. Semoga anda seisi keluarga terhibur dengan SMK musim ketiga ini. Selamat menonton.”

Selain dari kehadiran pelakon-pelakon baharu, SMK musim ketiga turut menampilkan Wafiy, Erissa Puteri, Mia Sara, Fikry, Rykarl, Aniq dan ramai lagi. Siri yang bakal bersiaran sebanyak enam (6) episod ini diarahkan oleh Shamyl Othman dan Redcomm selaku penerbit.

SMK musim ketiga ini akan menemui peminat pada setiap hari Rabu, mulai 25 Ogos 2021, jam 9 malam di Astro Ceria HD (saluran 611). Untuk pilihan alternatif, siri komedi ini juga boleh ditonton di platform On Demand dan Astro GO pada bila-bila masa, di mana jua anda berada.

Dalam pada itu, penonton yang berada di fasa persekolahan boleh melayari laman sesawang ‘Upped’, kendalian Astro di www.upped.com.my yang mana ia menyediakan bahan-bahan rujukan untuk subjek-subjek utama pembelajaran. Upped merupakan portal yang menawarkan akses komplimentari kepada ratusan video pendidikan dan program-program berkaitan dengan silibus sekolah seperti TV Pendidikan, Misi Studi SPM, Pelan A+ SPM dan program menarik STEM seperti Dekoded dan Stemsasi, bertujuan untuk membantu pelajar mengulangkaji pelajaran secara lebih efektif, percuma. Untuk maklumat lanjut atau strim program-program pendidikan Astro, layari https://astro.com.my/HowTo.

Sinopsis ‘SMK Musim Ketiga’
PKP kini kembali dan semua kelas dilangsungkan secara atas talian dan geng SMK perlu mengatasi cabaran yang dibawanya. Namun, mereka belajar bahawa kecemerlangan akademik bukan segala-galanya.

Barisan Pelakon

  • Wafiy Ilhan - Mal
  • Erissa Puteri - Alya
  • Mia Sara Nasuha - Nana
  • Fikry Kiki - Arif
  • Rykarl Iskandar - Boi
  • Aniq Iffat - Endi
  • Fara Nadiah - Zizi
  • Kiwi Chong - Suzi
  • Nasz Sally - Puan Bariah
  • Nizam Jentik Jentik - Cikgu Baharom
  • Nabila Razali - Cikgu Izara
  • Zain Hamid - Abah Alya
  • Emelda Rosemila - Ibu Alya