Astro tawarkan pelbagai program pendidikan menarik sepanjang PKP
Astro tawarkan pelbagai program pendidikan menarik sepanjang PKP
09
April
2020

Astro tawarkan pelbagai program pendidikan menarik sepanjang PKP

Sertai ‘Kuiz Pantas TTV’ dan belajar ‘Coding di Rumah’ bersama Astro!

Susulan pendekatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengadakan sesi pembelajaran melalui saluran pendidikan di televisyen baru-baru ini, Astro turut mengambil langkah proaktif memperkenalkan slot istimewa, ‘Kuiz Pantas TTV’, menerusi rangkaian saluran pendidikan Astro Tutor TV bagi matapelajaran peperiksaan UPSR, PT3, dan SPM untuk menggalakkan pelajar membuat rujukan di rumah dan tidak tertinggal silibus pembelajaran.

Dilatari konsep soalan cepumas, mulai 11 hingga 18 April 2020, setiap episod ‘Kuiz Pantas TTV’ yang berdurasi 15 minit ini akan dibahagikan kepada 3 segmen: pembelajaran, latihan dan kuiz. Bagi segmen kuiz, para pelajar perlu memuat naik video jawapan mereka ke laman media sosial sendiri dengan tanda pagar #KuizPantasTTV agar jawapan itu boleh dinilai oleh guru profesional. Dalam jangka masa dua jam, pelajar boleh menyemak semula jawapan kuiz yang diberikan sebelum itu menerusi saluran Astro Tutor TV.

Naib Presiden Strategi Kandungan, Perniagaan Antarabangsa dan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, berkata “Elemen interaktif yang hadir dengan gabungan penggunaan pembelajaran secara linear melalui televisyen dan juga dalam talian melalui media sosial ini selari dengan kajian KPM yang mendapati bahawa hampir 80 peratus pelajar sekolah menengah mempunyai telefon pintar diikuti sekitar 36 peratus murid sekolah rendah. Kami melihat ini sebagai peluang terbaik bagi para pelajar yang menyertai kuiz ini dengan tanda pagar #KuizPantasTTV untuk menggunakan ruangan media sosial mereka dengan lebih produktif sepanjang Perintah Kawalan Pegerakkan (PKP).”

Mengulas tentang konsep ‘pantas’ bagi slot ini, Yasmin berkata, “Kadar tumpuan para pelajar di rumah amat berbeza jika dibandingkan dengan di sekolah. Justeru, kami meletakkan durasi 15 minit untuk 3 segmen ini kerana ianya mencukupi untuk sesi pembelajaran yang cepat dan kompak. Dengan pelbagai lagi kandungan pendidikan yang sedia ada di televisyen serta aplikasi Astro GO dan on demand kami, Astro percaya ‘Kuiz Pantas TTV’ ini boleh meningkatkan lagi prestasi para pelajar dan membantu mereka ‘skor’ dalam peperiksaan kelak.”

Untuk rekod, sejak permulaan PKP, rangkaian saluran pendidikan Astro boleh diakses secara percuma di saluran Astro Tutor TV UPSR (601), PT3 (602) dan SPM (603), dan secara strim di aplikasi Astro GO dan on demand. Saluran pendidikan Astro juga boleh disaksikan melalui servis NJOI secara percuma. Ini adalah usaha Astro untuk sentiasa sedia berkhidmat sebagai peneraju kandungan yang menghiburkan lagi bermanfaat bagi rakyat Malaysia ketika PKP ini.

Sementara itu, Astro juga dengan berbesar hati melancarkan ‘Coding di Rumah’, satu inisiatif bahagian Pendidikan Digital Astro bagi mengetengahkan kepentingan mempelajari asas-asas pengekodan dalam kehidupan seharian. Mulai 9 hingga 30 April 2020, anak-anak berpeluang untuk mencipta permainan digital 2D sendiri di rumah menggunakan platform percuma, Scratch. Anak-anak juga boleh mengakses video tutorial dan melihat pelbagai contoh permainan digital ini melalui laman sesawang rasmi pengekodan Astro, dekoded.astroceria.com.my.

Yasmin berkata, “Pengekodan dapat meningkatkan daya kreativiti anak-anak dan memberi perspektif baharu dalam penyelesaian masalah. Pengekodan juga boleh dilihat sebagai pembuka langkah kepada pelbagai peluang bagi anak-anak dewasa kelak, misalnya pemilihan pekerjaan yang fleksibel kerana permintaan untuk pekerjaan yang berkaitan dengan pengekodan kekal kukuh dan bakal meluas pada masa akan datang.”