Gegar Vaganza musim terbaharu buka ruang perkongsian karya muzik serantau
Kuala Lumpur, 10 Oktober 2017 - Seiring dengan perubahan masa dan kepesatan landskap industri hiburan kontemporari, Astro selaku peneraju kandungan utama di negara ini membuka satu lembaran baru di peringkat serantau dalam usaha memartabatkan karya seni muzik nusantara menerusi penganjuran ‘Gegar Vaganza’ atau ‘GV’ untuk musim terbaharu.
Bertepatan dengan matlamat untuk terus menghidangkan kandungan hiburan bermutu tinggi ke peringkat yang lebih luas, Astro buat julung kalinya merintis inisiatif membuka pentas ‘GV’ kepada penyertaan artis-artis dari negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia.
Mengulas lanjut mengenai kelainan pengisian ‘GV’ untuk musim keempat, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, “Melalui pemerhatian kami, agak sukar untuk karya seni tempatan, baik muzik mahupun filem menembusi tembok serantau sedangkan sebenarnya kita mampu untuk sama-sama menjana satu pasaran yang lebih meluas dengan impak yang besar menerusi inisiatif penganjuran pertandingan berprestij seumpama ini.
Menerusi ‘GV’, muzik dijadikan sebagai salah satu kayu penghubung kepada tiga buah negara ini supaya dapat menjalin hubungan yang lebih kukuh di samping dapat memberi peluang kepada insan seni berkarya. Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara serumpun digunakan sebaiknya oleh Astro untuk mewujudkan sebuah platform integrasi seni bersama dengan Singapura dan Indonesia untuk diperluaskan dalam kerangka pencinta seni serantau.
Penganjuran ‘GV’ musim terbaharu ini boleh dianggap sebagai langkah awal kepada usaha untuk sama-sama memartabatkan karya seni hiburan melalui muzik. Walaupun masih lagi di peringkat permulaan, tetapi jika disusun rapi dan dijalin dengan teliti, tidak mustahil jurang pasaran muzik Malaysia ke pasaran negara jiran mampu dirapatkan sekaligus dapat mengukuhkan lagi hubungan di antara negara serantau.”
12 penyanyi disegani yang bakal menjayakan ‘GV’ musim terbaharu terdiri daripada empat peserta lelaki dari Malaysia, seorang peserta dari Indonesia dan seorang peserta dari Singapura iaitu Hazami, Tia Jinbara, Lan Kristal, Aqasha, Firman Siagia dan Ferhad. Manakala enam peserta wanita pula adalah Liza Hanim, Elyana, Syura, Raja Azura, Haida dan Aishah.
Bercerita lanjut mengenai pemilihan barisan peserta yang menjayakan musim terbaharu, Raqim turut menambah, “Sudahpun memasuki edisi yang keempat, kami percaya para penonton terutamanya pengikut setia program ‘GV’ sudahpun lali dengan pelbagai kejutan dan gegaran menyengat yang dibawa masuk bagi merancakkan lagi mutu dan perjalanan untuk setiap musim yang diterbitkan. Susulan itu, pelbagai perancangan yang teliti telahpun dirangka untuk menerbitkan sebuah lagi musim yang terbaik.
Proses memilih barisan peserta merupakan antara cabaran besar yang harus pihak produksi lalui bagi memastikan penganjuran edisi ini antara yang paling diingati. Setiap mereka yang terpilih masing-masing mempunyai portfolio seni yang mengagumkan dalam bidang nyanyian dan pernah menjadi kegilaan masyarakat suatu ketika dahulu. Bahkan, ada dalam kalangan mereka juga pernah ditabalkan sebagai pemenang anugerah vokal terbaik dalam beberapa acara berprestij industri hiburan.”
Pengarah muzik terkenal Dato’ Haji Ramli MS masih lagi dikekalkan sebagai juri tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Manakala seorang lagi juri tetap akan diperkenalkan sewaktu konsert pertama kelak. Bagi merancakkan lagi penganjuran musim ini, seorang juri jemputan akan diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu.
Selain itu, pasangan pengacara, pelakon dan pelawak popular iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse juga masih dikekalkan sebagai pengacara ‘GV’.
Konsert mingguan ‘GV’ akan dipancarkan secara eksklusif dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil selama lapan minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 29 Oktober 2017 menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta boleh dinikmati juga di aplikasi Astro GO dan perkhidmatan ‘on demand’ untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta pula dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’. Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 10.55 malam bermula 16 Oktober 2017. Seterusnya diikuti dengan siaran tiga kali seminggu iaitu pada setiap hari Rabu hingga Jumaat pada waktu yang sama.
Masih mengekalkan format asal, nasib para peserta akan diadili sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh pihak juri yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.
Juara Gegar Vaganza Musim Keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro serta hadiah sampingan lain yang akan diumumkan kemudian. Naib juara pula bakal memenangi wang tunai RM50,000 dan trofi. Manakala pemenang tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan memenangi wang tunai RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi dan hadiah sampingan setiap seorang.
Selain itu, Gegar Vaganza Musim Keempat juga sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kedatangan Pamoga Vida Beauty Empire selaku Penaja Platinum dengan kerjasama Digi dan Adabi sebagai Penaja serta Go Shop sebagai Penaja Hadiah Sampingan. Manakala Gempak juga turut menghulurkan sokongan padu yang tidak berbelah bahagi bagi menjayakan musim ini selaku Rakan Digital di samping radio Sinar fm dan Aplikasi Raku selaku Radio Rasmi dan Radio Digital Rasmi.