ASTRO UMUM KOLABORASI MEGA DI ANTARA MALAYSIA - INDONESIA DALAM PROJEK NUSANTARA
ASTRO UMUM KOLABORASI MEGA DI ANTARA MALAYSIA - INDONESIA DALAM PROJEK NUSANTARA
09
August
2017

ASTRO UMUM KOLABORASI MEGA DI ANTARA MALAYSIA - INDONESIA DALAM PROJEK NUSANTARA

ASTRO UMUM KOLABORASI MEGA DI ANTARA MALAYSIA - INDONESIA DALAM PROJEK  NUSANTARA; ‘DO[S]A’ Mini Siri Premium Eksklusif Bakal Guna Khidmat Pengarah  Terbaik 2011 Indonesia   JAKARTA, 11 Ogos 2017 – Peneraju kumpulan kandungan dan  konsumer di Malaysia, Astro Malaysia bakal menampilkan sebuah mini siri Nusantara  premium eksklusif bertajuk DO[S]A di platform digital, ‘on demand’ seiring dengan tayangan di televisyen menerusi salah satu  saluran Melayu Astro; Astro Citra. Mini siri yang dijangka akan menemui  penonton pada hujung tahun ini telah memulakan sesi penggambarannya pada bulan  Julai baru-baru ini di Jakarta, Indonesia serta Kuala Lumpur, Malaysia. Salah  satu kelainan mini siri ini adalah ia menawarkan penonton untuk menyaksikan  kesemua 8 episod (berdurasi satu jam bagi setiap episod) di platfom ‘on demand’ secara waktu serentak (binge watching).  DO[S]A merupakan karya asal Ketua  Unit Drama Premium & Filem Astro, Saniboey Mohd Ismail dan Salman Aristo,  yang turut bertindak sebagai penulis skrip untuk naskhah ini. Salman, satu nama  yang cukup disegani di Indonesia merupakan penulis skrip untuk karya-karya pecah  panggung seperti ‘Ayat-Ayat  Cinta’, ‘Laskar Pelangi’, ‘Garuda di Dadaku’ dan ‘Sang Penari’. Pencapaian terkini Salman  adalah di Festival Filem Indonesia 2016 yang mana beliau telah dinobatkan anugerah  Penulis Lakon Layar Terbaik untuk filem ‘Athirah’.  Turut sama terlibat sebagai penulis skrip untuk karya ini adalah saudara M Rino  Sarjono. Istimewanya lagi, mini siriini turut  mendapat sentuhan daripada pengarah terbaik Indonesia 2011 iaitu Ifa Isfansyah.  Ifa Isfansyah yang merupakan seorang sutradara yang begitu begitu berbakat  besar dan amat dihormati di republik ini, mula menempa nama menerusi pengarahan  filem-filem hebat seperti ‘Sang Penari’, ‘Garuda Di Dadaku’ dan‘Pendekar Tongkat Emas’.  Selain itu, mini  siri ini akan menggunakan khidmat Pengarah Fotografi terkenal, Yandi Sugandi  yang sebelum ini telah melahirkan stail visual yang cukup memukau untuk karya-karya  seperti ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’, ‘Laskar  Pelangi’, ‘Sang Penari’, ‘Darah Garuda’ dan banyak lagi. Pada masa yang  sama, DO[S]A turut menampilkan Cecep Arif Rahman sebagai Pengarah Koreografi  adegan aksi untuk melatih dan mempersiapkan para pelakon dengan disiplin silat  dan koreografi seni mempertahankan diri. Cecep sebelum ini dikenali menerusi  filem Indonesia ‘The Raid: Berandal’. Menerusi  pengalaman dan kekuatan yang dimiliki oleh setiap pemain utama di belakang  tabir DO[S]A ini, mereka menjanjikan akan memberi kelainan pada mini siri  bergenre aksi ini.    DO[S]A juga dibarisi pelakon-pelakon hebat gabungan  tiga buah negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura bagi menggerakkan setiap  watak dalam jalan cerita. Nama-nama yang terlibat adalah seperti Dato’ M.Nasir,  Remy Ishak dan Daniella Sya dari Malaysia, Ashraf Sinclair, Roy Marten, Maudy  Koesnaedi, Hannah Al Rashid, Reuben Elishama dan Tegar Satrya dari Indonesia,  serta Shenty Feliziana dan Hisyam Hamid dari Singapura.  Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh  berkata,“Ini  merupakan kerjasama sulung Astro yang melibatkan Malaysia – Indonesia dalam  melahirkan mini siri Nusantara premium eksklusif istimewa untuk tontonan ramai.  Sebelum ini, Astro telah memulakan beberapa projek bagi menembusi pasaran serantau  seperti ‘3 A.M. Bangkok Ghost Stories’ dengan pihak penerbitan dari negara  Thailand, naskhah seram bertajuk ‘Door’ dengan penerbitan Filipina, dan akan  datang ‘Heist’ dan ‘Polis Evo2’ dengan kerjasama republik ini sendiri,  Indonesia. Kami yakin, potensi ruang perniagaan yang boleh diterokai di rantau  Asia ini adalah sangat luas, justeru kami menyasarkan akan ada lebih banyak  lagi kandungan dan projek seumpamanya bakal dihasilkan di masa-masa yang akan  datang”. Mengulas pula mengenai pemilihan pelakon dan  Ifa Isfansyah sebagai pengarah DO[S]A, Dato’ Khairul berkata, “Saya begitu teruja dengan barisan utama yang  ditampilkan di bahagian hadapan dan belakang kamera bagi menjayakan naskhah  ini. Bakat mereka terletak di kelasnya yang tersendiri dan saya yakin,  gandingan sehebat ini mampu mencetuskan satu fenomena baru dalam landskap seni  serumpun khususnya. Dalam pada itu, kami memilih Ifa Isfansyah sebagai pengarah  untuk projek ini kerana walaupun usianya masih muda, beliau mempunyai  pengalaman yang cukup luas dan kami rasakan beliau mampu menterjemahkan jalan  cerita ini menjadi sebuah kandungan terbaik. Karya-karya beliau amat berkualiti  dan berjaya diterima ramai. Kami yakin, pemilihan beliau adalah keputusan yang  tepat dan beliau mampu mengemudinya dengan sebaik mungkin.” Dianggarkan sebanyak 90 peratus dari sesi  penggambaran bakal dijalankan di Jakarta, melibatkan kawasan di sekitar Jakarta  Barat hingga Jakarta Timur dan selebihnya adalah di lokasi-lokasi utama di sekitar  Kuala Lumpur seperti Kampung Baru, Putrajaya dan Klang. Mini siri DO[S]A  dijangka sarat dengan babak-babak yang mendebarkan, aksi suspen dan ganas. Namun  begitu, pada masa yang sama turut diapit dengan pergolakan emosi, ikatan  kekeluargaan serta bibit percintaan.  DO[S]A mengisahkan tentang empat beradik  dibesarkan oleh bapa tunggal mereka, Latif (Dato’ M.Nasir), dengan nilai-nilai  kesederhanaan, pegangan agama yang kuat, dan disiplin persilatan. Fuad (Ashraf  Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisham Hamid), dan Fara (Shenty  Feliziana) hidup bersama bapa mereka dipelusuk paling sunyi Kampung Baru, Kuala  Lumpur. Di situ, mereka menjalani kehidupan hampir tersembunyi daripada  masyarakat, berlatih ilmu persilatan hari demi hari. Seolah-olah bersiap-siaga  untuk menghadapi sesuatu. Rungutan mereka, terutama daripada Fara yang semakin  memberontak langsung tidak diendahkan oleh bapa mereka. Rutin harian yang  memerlukan adik-beradik ini bertumbuk, bertendang dan berhayun parang sesama  sendiri akhirnya turut mewujudkan ketegangan di antara mereka di luar  gelanggang. Perhubungan keluarga ini semakin bergolak  apabila Fara berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama),  yang tiba dari Jakarta semata-mata untuk berjumpa dengan Latif. Dalam usaha  Arian melembutkan hati Fara untuk membawanya bertemu dengan Latif, mereka  menjadi semakin rapat. Menyedari akan hal ini, abang sulung Fara, Fuad yang  seolah-olah mengetahui tujuan Arian mencari Latif menghalang Fara untuk terus  bertemu dengan Arian. Fuad kemudian bertindak mengusir Arian pulang ke Jakarta.  Menjanjikan bahawa Latif tidak mahu lagi ada kaitan dengan ‘orang-orang seperti  Arian’.  Berang dengan tindakan Fuad, Fara bertindak  mengekori Arian ke Jakarta, tanpa mengetahui bahaya yang menanti dirinya di situ.  Sebaik sahaja Fara keluar daripada pintu ketibaan di lapangan terbang Jakarta,  dia terus diculik, dihumban ke dalam van, lalu dikurung di dalam sebuah gudang. Tidak mengetahui nasib adik mereka, Fuad,  Farid dan Fahad dihantar Latif ke Jakarta untuk membawa adik mereka pulang. Di  sana, ketiga-tiga beradik itu sering mendapati diri mereka diserang tanpa sebab  yang pasti, sekaligus memaksa mereka untuk mempertahankan diri di dalam  pertempuran-pertempuran yang ganas. Arian yang baru mendengar mengenai berita  penculikan Fara turut berganding bahu membantu abang-abang Fara. Semakin lama  mereka di Jakarta, semakin banyak yang mereka mula fahami tentang asal usul  keluarga mereka dan siapa bapa mereka yang sebenarnya. Sebelum mereka sedari,  mereka terjerumus di tengah-tengah pergelutan kuasa di dalam dunia kongsi gelap  Jakarta. Hanya mereka yang mampu mengakhirkan perang ini, walau sebesar mana  pengorbanan yang diperlukan. # TAMAT #