AstroBiz Perkenal “Mencari Kedai Lejen” Bagi Menyinar Kisah Inspirasi Usahawan F&B Tempatan
05
May
2026

AstroBiz Perkenal “Mencari Kedai Lejen” Bagi Menyinar Kisah Inspirasi Usahawan F&B Tempatan

Kuala Lumpur, 5 Mei 2026 — AstroBiz, inisiatif Astro yang menyokong pertumbuhan perniagaan kecil, terus memperkasa usaha tersebut menerusi pelancaran Mencari Kedai Lejen, sebuah siri kandungan berunsur dokumentari yang meraikan semangat, ketabahan dan keunikan usahawan tempatan. Siri ini menampilkan kisah sebenar usahawan F&B dalam membina perniagaan mereka sehingga mencapai kejayaan.

Diterbitkan dengan pendekatan segar yang menggabungkan elemen gaya hidup, makanan dan pengembaraan, Mencari Kedai Lejen membawakan kisah di sebalik tabir kedai-kedai makan yang sering menjadi bualan orang ramai namun jarang diberi perhatian.

Program ini memberi fokus kepada latar belakang pemilik, perjalanan perniagaan serta cabaran yang dilalui mereka dalam membina jenama masing-masing. Setiap episod membawa penonton menyelami kisah autentik pengusaha tempatan, di samping menonjolkan keunikan resipi, konsep kedai, dan pengalaman pelanggan yang ditawarkan.

Siri ini akan diperkenalkan secara berperingkat sepanjang tahun, dengan dua episod pertama kini sudah boleh ditonton secara online. Episod pembukaan memperkenalkan Aunty T’s, sebuah restoran di Petaling Jaya yang menggabungkan masakan India gaya rumah bersama sentuhan Barat. Antara hidangan istimewa termasuk Claypot Mutton, Nasi Goreng Mutton dan Mihun Cincai, yang disajikan dalam suasana santai lengkap dengan hiburan seperti persembahan live-band serta kandungan Astro.

Episod kedua pula membawa penonton ke Rezeky Tomyam di Port Dickson, terkenal dengan hidangan Thai dan Pantai Timur yang autentik. Menu seperti Tomyam, Shell Out dan Siakap 3 Rasa menjadi tarikan utama, ditambah dengan pengalaman menjamu selera yang unik bersama akses hiburan Astro sepanjang masa.

Melalui Mencari Kedai Lejen, Astro berharap dapat membina persepsi positif terhadap jenama sambil memberi pendedahan lebih luas kepada pelanggan komersialnya dalam sektor F&B. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Astro dalam menyokong pertumbuhan usahawan tempatan melalui platform dan penyelesaian yang relevan.

Orang ramai kini boleh berstrim siri Mencari Kedai Lejen melalui halaman YouTube Astro Malaysia, Astro GO dan Sooka. Program ini juga akan disiarkan di Astro Ria, Astro Prima, Astro Citra dan Astro Showcase, serta boleh ditonton menerusi On Demand.

Bagi pemilik perniagaan F&B yang ingin mengembangkan jenama mereka, AstroBiz menawarkan pelbagai penyelesaian untuk membantu meningkatkan keterlihatan dan pengalaman pelanggan. Layari https://biz.astro.com.my/ untuk maklumat lanjut dan mula “melejenkan” bisnes anda hari ini.