KUALA LUMPUR 23 OGOS 2024 - Krew 3 Pagi ERA, terdiri daripada Nabil, Azad, dan Radin, telah mencabar wartawan sukan terkenal Astro Arena, Bangmed, untuk bertanding dalam perlawanan badminton bersama bekas pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Yu Ling. Perlawanan ini berlangsung semalam di Seri Kembangan, Selangor, dengan tujuan untuk menguji sejauh mana kemampuan Bangmed di gelanggang badminton.
Bangmed, yang terkenal dengan cara ulasan santainya dalam perlawanan badminton, telah berjaya memenangi hati penonton dan peminat sukan tersebut.
Dalam perlawanan yang sengit itu, Bangmed yang bergandingan dengan Chan Peng Soon dan Goh Yu Ling, telah berjaya menewaskan krew 3 Pagi ERA dalam tiga set perlawanan.
Pengurus Saluran ERA Azah Sahrin berkata sekiranya Bangmed menang dalam pertandingan ini, krew 3 pagi ERA didenda perlu menjadi ‘orang gaji’ kepada dirinya dan berikan khidmat terbaik sepanjang denda itu dijalankan. “Walaupun aksi pertandingan badminton ini kelihatan sengit antara 3 Pagi ERA dan Bangmed namun hubungan silaturahim antara keluarga ERA dan Astro Arena dapat diteruskan dengan jaya. Saya mewakili daripada ERA ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada bekas beregu campuran negara Chan Peng Soon dan Goh Yu Ling meluangkan masa untuk beraksi dalam pertandingan badminton ini. Diharapkan acara seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang.
Namun begitu, selepas kemenangan diraih, Bangmed menukar denda tersebut kepada satu habuan yang lebih menarik. Beliau meminta untuk bersiaran langsung bersama krew 3 Pagi ERA dan merasai pengalaman menjadi seorang penyampai radio dalam segmen pagi.
Sementara itu, Wartawan Astro Arena Bangmed pula berpendapat hubungan antara keluarga ERA dan Astro ARENA ini amat positif kerana kedua-dua stesen ini sentiasa memerlukan antara satu sama lain terutama hal berkaitan perkembangan terkini aktiviti sukan negara.
“Saya terkesima dengan kesungguhan krew 3 Pagi ERA terutama Azad kerana begitu semangat mengharungi cabaran namun dengan bantuan pemenang pingat Perak Sukan Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon dan Goh Yu Ling kemenangan menjadi milik kami.
“Menang atau kalah itu bukanlah keutamaan yang saya cari, tetapi meraikan sukan badminton negara itu adalah yang paling penting kerana sukan ini memiliki peminatnya tersendiri merentas pelbagai kaum dan umur. Selain itu, peminat badminton juga dapat melepaskan rindu melihat aksi bekas pemain beregu campuran negara yang mengumumkan persaraan mereka tahun lalu. Apa yang saya boleh harapkan, sukan badminton negara terus berkembang dan Malaysia terus digeruni oleh negara luar.