Bermula Dengan Satu Jemputan Di Threads, ERA Turun Padang Bersama Pelajar Disleksia
KUALA LUMPUR, 6 JULAI 2026 – ERA terus komited mendekati komuniti apabila berpeluang mengunjungi sebuah pusat pendidikan pelajar disleksia di Jalan Ampang selepas menerima jemputan daripada para guru menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di platform Threads.
Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, kunjungan tersebut membuka ruang kepada ERA untuk mendekati dan memahami dengan lebih dekat komuniti disleksia, selain membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keadaan pembelajaran tersebut.
“Apabila kami memuat naik hantaran di Threads, kami menerima jemputan daripada para guru untuk hadir ke pusat ini. ERA melihat ia sebagai satu peluang bermakna untuk mengetengahkan dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai apa itu disleksia serta cabaran yang dihadapi oleh mereka yang mengalaminya,” kata Azah.
Kunjungan yang berlangsung pada pagi Jumaat sejurus selepas segmen siaran langsung ERA itu diisi dengan pelbagai aktiviti santai termasuk perlawanan bola dan sesi beramah mesra bersama para pelajar serta tenaga pengajar.
Bagi memeriahkan suasana, ERA turut menyajikan durian dan manggis kepada para pelajar hasil sumbangan daripada AWAL MUZIK, sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada komuniti tersebut.
Antara momen paling istimewa sepanjang program itu ialah apabila pasukan ERA menerima sebuah lukisan khas yang dihasilkan oleh salah seorang pelajar disleksia sebagai tanda penghargaan. Lukisan tersebut disiapkan sekitar jam 3 pagi sebelum program berlangsung.
“Kami amat tersentuh menerima lukisan khas daripada pelajar disleksia. Ia merupakan satu kenangan yang sangat bermakna buat seluruh warga ERA dan menjadi simbol penghargaan yang akan kami hargai selamanya,” tambah beliau.
Azah berkata, ERA berharap program seperti ini dapat membuka lebih banyak ruang perbincangan mengenai disleksia dan mendorong masyarakat untuk lebih memahami serta menyokong individu yang mempunyai keunikan pembelajaran tersebut.
“Kami berharap usaha kecil ini dapat membantu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai disleksia. Semoga lebih ramai mengambil tahu, memahami dan memberikan sokongan kepada golongan ini agar mereka dapat terus berkembang dengan yakin dan cemerlang.”
Beliau turut memaklumkan bahawa ERA menerima banyak maklum balas positif daripada ibu bapa yang mempunyai anak disleksia selepas program tersebut dikongsikan di platform media sosial ERA.
“Kami sangat terharu apabila menerima pelbagai maklum balas positif daripada ibu bapa yang mempunyai anak disleksia. Respons ini menunjukkan bahawa masih ramai yang menghargai usaha-usaha meningkatkan kesedaran dan sokongan terhadap komuniti ini,” katanya.
ERA merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, ERA menampilkan lagu-lagu popular dan hit terkini yang menjadikannya pilihan utama pendengar serta stesen radio nombor satu di Malaysia.
Dengan hampir 6 juta pengikut di media sosial, ERA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Hit Terkini. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti ERA menerusi platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi ERA di App Store, Google Play Store dan Huawei AppGallery.
ERA – Muzik Hit Terkini.