KAJANG, 12 Mei 2026 – Bersempena sambutan Hari Jururawat, Bro Pagi GEGAR yang diwakili Issey dan Fizie telah mengadakan lawatan istimewa ke Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang sebagai tanda penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan barisan jururawat.
Program ini bertujuan menghargai jasa serta komitmen jururawat dalam memberikan rawatan terbaik kepada pesakit, di samping meningkatkan pemahaman mengenai peranan sebenar mereka dalam sistem penjagaan kesihatan negara. Sepanjang lawatan, wakil BPG turut diberi pendedahan asas mengenai kejururawatan serta berpeluang berinteraksi dengan hampir 30 orang matron yang berkongsi pengalaman, cabaran serta tanggungjawab dalam profesion tersebut.
Lawatan ini turut merangkumi kunjungan ke lima wad berbeza di hospital berkenaan, sekali gus memberi gambaran lebih dekat mengenai tugas harian jururawat dalam pelbagai situasi klinikal. Kehadiran Issey dan Fizie juga berjaya menceriakan suasana di wad-wad yang dilawati sambil menyantuni jururawat yang sedang bertugas.
Sebagai tanda penghargaan, BPG turut mengagihkan kek kepada jururawat sebagai simbolik terima kasih atas dedikasi serta pengorbanan mereka.
Pengurus Rangkaian Radio Melayu Astro Audio, Azah Sahrin berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan BPG dalam mendekati komuniti dan mengiktiraf wira-wira tidak didendang dalam sektor kesihatan.
“Kami amat menghargai dan menyanjung tinggi pengorbanan jururawat yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam memastikan kesejahteraan dan keselesaan pesakit. Profesion ini bukan sahaja memerlukan ilmu dan kemahiran, tetapi juga kesabaran, empati serta komitmen yang luar biasa.
Melalui program ini, kami di BPG ingin mendekatkan diri dengan komuniti kesihatan, di samping memberi peluang untuk memahami dengan lebih mendalam peranan sebenar jururawat dalam ekosistem rawatan pesakit.
Kehadiran Issey dan Fizie juga diharap dapat menceriakan suasana tempat kerja mereka sebagai tanda penghargaan kecil daripada kami. Kami percaya usaha ini penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan jururawat dalam sistem kesihatan negara.”
BPG akan terus komited melaksanakan program tanggungjawab sosial yang memberi impak positif kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan antara media dan komuniti setempat.
THR GEGAR ialah sebahagiandaripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasaMelayu, THR GEGAR menampilkan lagu-lagu pilihan dari Pantai Timur,menjadikannya stesen radio nombor 1 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Dengan lebih 1.2 juta pengikut di media sosial, THR GEGAR terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenamamuzik terkenal Permata Pantai Timur. Selain mendengar melalui frekuensiradio, orang ramai boleh mengikuti THR GEGAR di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi THR GEGAR melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.
THR GEGAR – Permata PantaiTimur.


%201.png)

