BSN Santuni Petugas Astro Audio Menerusi Kempen Cerita Mereka, Jiwa Malaysia Sempena Hari Kebangsaan 2026
KUALA LUMPUR, 12 OGOS 2026 - Bank Simpanan Nasional (BSN) terus menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 menerusi Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ dengan menyantuni petugas Astro Audio melalui pengagihan cenderamata sebagai tanda penghargaan atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menyampaikan maklumat, hiburan serta kandungan yang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia.
Program tersebut telah diketuai oleh Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, bersama-sama barisan petugas BSN yang hadir bagi mendekati warga Astro Audio dan meraikan sumbangan mereka dalam industri penyiaran negara. Kehadiran delegasi BSN turut disambut oleh Pengarah Astro, Priya Dharshini Prabakaran, serta pengurusan dan kakitangan Astro Audio.
Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ merupakan inisiatif BSN bagi menghargai individu dan organisasi yang memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang progresif, bersatu padu dan berdaya tahan. Melalui kempen ini, BSN mengetengahkan kisah-kisah inspirasi rakyat Malaysia yang mencerminkan semangat patriotisme, perpaduan dan kebanggaan terhadap negara.
Menurut Mujibburrahman Abd Rashid, petugas media dan penyiaran merupakan antara tulang belakang yang membantu menyampaikan maklumat tepat, mencetuskan perbincangan yang membina serta menghubungkan rakyat daripada pelbagai latar belakang.
"BSN amat menghargai sumbangan petugas Astro Audio yang saban hari menjadi suara yang mendekatkan rakyat dengan pelbagai informasi, hiburan dan kisah yang menyatukan kita sebagai sebuah bangsa. Melalui Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’, kami ingin meraikan peranan mereka yang tidak pernah jemu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara," katanya.
Beliau turut menambah bahawa semangat Hari Kebangsaan bukan sahaja diraikan melalui sambutan dan simbolik kenegaraan, malah melalui penghargaan terhadap individu yang memainkan peranan penting dalam kehidupan harian rakyat.
Sementara itu, Priya Dharshini Prabakaran menyambut baik inisiatif BSN yang memberi pengiktirafan kepada warga kerja Astro Audio serta mengukuhkan hubungan strategik antara kedua-dua organisasi.
Program tersebut turut menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara BSN dan Astro Audio, selain memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Melalui pelaksanaan pelbagai program di bawah Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’, BSN komited untuk terus menghargai jasa dan pengorbanan rakyat Malaysia daripada pelbagai sektor yang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.