Ayda Jebat, Mira Filzah dan Cristina Suzanne diangkat sebagai teraju utama
secara eksklusif menerusi drama mini bersiri 3 Gadis Manis
Kuala Lumpur, 2 Mac 2017 - Bagi mengukuhkan lagi kedudukan Astro di landskap media baharu dan digital, portal hiburan Astro Gempak buat julung kalinya membawakan sebuah drama mini bersiri berjudul 3 Gadis Manis yang akan disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my bermula 8 Mac 2017.
Drama komedi ringan enam episod ini diterajui oleh tiga selebriti popular iaitu penyanyi dan pelakon sensasi yang pernah merangkul trofi utama Top Top MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era (AME) 2016; Ayda Jebat yang memegang watak sebagai Mimi, pelakon dan pengacara jelita yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baharu MeleTOP AME 2016; Mira Filzah sebagai Aishah serta pelakon berdarah kacukan yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita di Festival Filem Malaysia ke-26; Cristina Suzanne sebagai Nadya.
Turut menjayakan drama mini ini termasuklah pelakon dan penyanyi muda yang sedang meningkat naik dan mula dikenali menerusi drama popular Suri Hati Mr Pilot; Alvin Chong sebagai Josh serta pelakon berbakat besar iaitu Nor Syuhaida Abdul Razak atau lebih dikenali dengan nama watak yang menaikkan namanya sekitar tahun 2010 iaitu Dottie sebagai Melati.
Menurut Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak, Raja Jastina Raja Arshad, “Perkembangan teknologi media digital dan peningkatan jumlah pengguna internet bermakna dunia penyiaran telah berubah secara drastik. Dengan wujudnya landasan perkhidmatan digital seperti Gempak.com, Astro On The Go dan Astro On Demand, penonton kini lebih bertuah kerana mempunyai pilihan di hujung jari untuk menikmati kandungan premium di ruang digital merentasi sempadan pada bila-bila masa sahaja.
Menerusi portal Astro Gempak, misi utama kami adalah untuk menjadi sebuah jenama global yang boleh diakses oleh semua pengguna termasuklah mereka yang tidak melanggan perkhidmatan Astro.
Jastina, dalam pada itu turut mengulas, Astro Gempak dalam perkembangan terbaru telah menunjukkan kejayaan yang cukup memberangsangkan apabila mencatatkan jumlah tontonan video sebanyak 360 juta secara keseluruhan dan angka ini semakin meningkat saban hari.
Lebih membanggakan apabila ia menerima lebih 8.8 juta paparan halaman dengan purata 2.1 juta pengunjung unik untuk tiga bulan terdahulu membuktikan portal ini berada di landasan yang betul dan mempunyai potensi hebat untuk mengukuhkan kedudukan dalam ruang digital
“Pertumbuhan mengalakkan ini menjadi pendorong utama bagi Astro untuk terus meluaskan kandungan digital yang berkualiti tinggi di Astro Gempak. Pengisian Astro Gempak akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa secara berperingkat agar seiring dengan peredaran zaman,” jelas Jastina lagi.
Jastina turut mengulas, “Melalui kajian kami, lebih 66% kelompok pengguna yang melayari portal Astro Gempak adalah terdiri daripada golongan ‘millennial’ atau lebih dirujuk sebagai ‘malaynial’ nusantara yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam kehidupan seharian.
Kajian juga menunjukkan bahawa portal Astro Gempak telah diakses oleh lebih 1.2 pengguna merentasi sempadan global termasuklah Indonesia, Brunei, Singapura, Amerika Syarikat secara keseluruhan sepanjang tahun 2016.
Melalui pemerhatian kami, kandungan yang segar akan hanya berjaya jika kita dapat membuatkan penonton terasa teruja kerana kelompok ‘malaynial’ ini cepat tertarik pada perkara baru dan cabaran utama kami adalah untuk pastikan mereka terus menonton rancangan tersebut. Setiap pengisian yang ditawarkan haruslah unik dan ‘up to date’. Golongan ‘malaynial’ juga lebih cenderung untuk tertarik kepada kandungan dalam format video digital.
Keberkesanan format ini telahpun terbukti menerusi beberapa video digital yang kami terbitkan di Astro Gempak sebelum ini. Antaranya seperti program realiti THE HOUSE yang menerima lebih 30 juta jumlah tontonan video untuk tiga buah musim secara keseluruhan, program realiti Yed Jom Kurus dengan lebih 1 juta jumlah tontonan serta telemini Cinta Amoi dengan lebih 340 ribu jumlah tontonan.
Ekoran kejayaan ini, kami bawakan pula format sebegini dalam bentuk drama mini bersiri menerusi 3 Gadis Manis yang buat pertama kalinya akan disiarkan sepenuhnya di Astro Gempak. Inisiatif penerbitan kandungan sebegini merupakan salah satu usaha kami untuk berkembang menjadi portal hiburan infortainment digital utama di negara ini,” jelas Jastina lagi.
Tambah Jastina lagi, “Berdasarkan kualiti produksi yang bermutu tinggi serta garapan jalan cerita yang kemas dan padat selain disokong dengan kehadiran nama-nama popular yang mampu berhubung dengan para penonton menerusi watak-watak yang mereka terjemahkan dalam bentuk lakonan yang berkesan, kami yakin 3 Gadis Manis ini bakal mencipta fenomena yang tersendiri.
Simbolik di sebalik pemilihan tarikh 8 Mac untuk menyiarkan drama 3 Gadis Manis ini sebenarnya adalah bersempena dengan Hari Wanita Sedunia yang turut jatuh pada tarikh yang sama.”
Drama 3 Gadis Manis yang dikait rapat dengan tagline ‘Hidup Bersama Impian Berbeza’ ini mengisahkan persahabatan tiga gadis jelita iaitu Mimi, Aishah dan Nadya yang mula terjalin sejak mereka mula tinggal bersama di ibu kota Kuala Lumpur.
Biarpun mereka mempunyai latar belakang yang berbeza, namun mereka sentiasa menyokong dan membantu satu sama lain dalam apa jua keadaan. Mereka juga saling memberi inspirasi untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup serta dalam mencari cinta sejati.
Selain daripada enam buah episod istimewa yang akan ditayangkan di www.3gadismanis.com.my, para penonton juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti menghadiri sesi temu mesra bersama artis kegemaran dan sebagainya dengan hanya menonton drama 3 Gadis Manis untuk menyertai peraduan istimewa di portal rasmi.
Bukan itu sahaja, penonton juga berpeluang untuk mendapatkan koleksi barangan istimewa edisi 3 Gadis Manis seperti gincu, jurnal dan tudung dengan harga istimewa menerusi portal rasmi.
Jangan lupa saksikan drama bersiri 3 Gadis Manis yang bakal disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my mulai 8 Mac kelak.
Selamat menonton!
# TAMAT #