‘eBu Babypedia’ Kembali Untuk Musim Kedua
10
July
2017

‘eBu Babypedia’ Kembali Untuk Musim Kedua

Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim kongsi tips serta informasi menarik mengenai penjagaan bayi

KUALA LUMPUR, 10 Julai 2017 – Selepas segmen eBu dilancarkan pada tahun lalu dengan memperkenalkan program ‘eBu Babypedia’, program yang memfokuskan pada kandungan berkaitan dengan hal-hal keibubapaan ini kembali untuk musim kedua pada setiap Rabu mulai 26 Julai 2017, jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Program ini turut boleh ditonton menerusi platform Astro GO dan on demand untuk akses mudah khususnya buat para ibu bapa muda.

Masih mengekalkan pasangan selebriti Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim sebagai wajah utama program, ‘eBu Babypedia’ musim ini akan mengetengahkan perkara berkenaan dengan penjagaan bayi dengan perkongsian pelbagai tips menarik, petua dan informasi berguna sebagai panduan buat ibu bapa khususnya. Antara topik yang dikupas adalah tabiat tidur bayi, penyusuan badan, pemakanan, penjagaan kesihatan, percutian bersama bayi, pergaulan sosial, pemakaian dan sebagainya.

Bercerita lanjut mengenai program pada musim ini, Penolong Naib Presiden Gen Next Astro, Razlin Irawati Johar berkata, “Rentetan daripada sambutan dan respon positif yang diterima oleh eBu Babypedia musim pertama, pihak kami amat berbesar hati untuk membawa kembali program ini ke kaca televisyen penonton untuk musim kedua. Jika eBu Babypedia musim pertama memaparkan mengenai petua, pantang larang dan amalan tradisional berkaitan kehamilan yang sinonim dalam masyarakat, untuk musim kedua ini kami kongsikan pula tips, petua dan informasi menarik mengenai penjagaan bayi.

Istimewanya eBu Babypedia musim kedua ini, pada setiap episod Yusry akan membuat demonstrasi cara penjagaan bayi mengikut topik yang dibincangkan pada episod tersebut. Sebagai contoh, dalam episod yang membincangkan topik ‘Pemakanan’, Yusry akan menunjukkan cara mudah untuk menyediakan puri makanan bayi. Segmen khas ini diharap dapat membantu kaum bapa dalam penjagaan bayi dan cara mudah untuk melakukannya.

Selain daripada segmen khas buat kaum bapa, terdapat juga sebuah segmen khas buat kaum ibu yang bekerjaya. Golongan ini mempunyai tanggungjawab yang banyak dan tidak mempunyai banyak masa seperti ibu-ibu yang merupakan suri rumah. Oleh itu, dalam segmen ini, Lisa akan berkongsi tips mengikut topik pada episod tersebut yang boleh dilakukan demi memastikan kebajikan anak mereka terjaga meskipun sibuk dengan kerjaya masing-masing.”

Dalam kesemua 10 episod program, turut dipaparkan sketsa ringkas yang cukup mencuit hati lakonan pelawak dan pengacara popular tanah air, Jihan Muse dan Bell Ngasri untuk menyuntik sedikit elemen humor dalam program berbentuk informatif ini disamping mengukuhkan pemahaman penonton terhadap topik yang dikupas. Selain itu, pada setiap pembukaan episod, beberapa pasangan selebriti popular akan ditampilakan untuk berkongsi pengalaman mereka dalam membesarkan anak masing-masing sekaligus memberi perspektif yang lebih luas mengenai topik yang dikupas.

Razlin menambah, “Sewaktu proses penggambaran dilakukan, Lisa sedang hamil anak kedua, Yusof Leonne. Beliau dan Yusry banyak berkongsi mengenai pengalaman membesarkan puteri sulung mereka, Yahaira Leanne, daripada sudut perspektif ibu bapa yang baru pertama kali melalui pengalaman tersebut. Diselitkan juga kemunculan eksklusif Yahaira dalam beberapa episod. Banyak perkara yang dikongsi mereka jarang sekali dibicarakan secara umum. Oleh itu, tips dan informasi yang diberikan oleh mereka berdua mampu membantu para ibu bapa muda terutamanya, dalam mempersiapkan diri melangkah ke fasa keibubapaan.

Demi memastikan kelangsungan penerbitan program ini, kami memerlukan sokongan daripada semua pihak. Untuk ‘eBu Babypedia’ musim ini, jenama Johnson’s telah hadir selaku penaja utama program. Penglibatan jenama penjagaan bayi terkemuka ini membuktikan bahawa kandungan program ‘eBu Babypedia’ berjaya meraih perhatian dan kepercayaan ramai di samping memberi impak yang besar buat penonton. Dengan adanya sokongan seumpama ini, kami percaya azam kami untuk terus memberi tips, informasi dan ilmu merangkumi pelbagai aspek seperti rumah tangga, keibubapaan, kehamilan dan kekeluargaan khas buat penonton akan dapat dilaksanakan. Banyak manfaat yang boleh diperolehi menerusi program ‘eBu Babypedia’ ini. Semoga penonton semua terhibur.”

Dapatkan pelbagai informasi menarik mengenai penjagaan bayi dalam program ‘eBu Babypedia’ musim kedua yang akan kaca televisyen penonton pada setiap Rabu mulai 26 Julai 2017, jam 9.00 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123). Program ini juga boleh ditonton di platform Astro GO dan on demand.