ERA Anjur Konsert Malam Jomblo & Kaki Bangku 2.0 di UNISEL
20
September
2024

ERA Anjur Konsert Malam Jomblo & Kaki Bangku 2.0 di UNISEL

ERA menganjurkan Konsert Malam Jomblo dan Kaki Bangku 2.0 di UNISEL Bestari Jaya 20 September 2024. UNISEL dipilih untuk acara berkenaan disebabkan lokasi, masa dan tarikh bersesuaian dengan semua pihak termasuk barisan penyanyi.

Penyanyi yang membuat persembahan untuk Malam Jomblo termasuklah Ara Johari, Iman Troye, Bella Astilah, Aziz Harun, Empty Page, dan Amir Masdi. Rata-rata mereka akan menyanyikan lagu-lagu galau bertepatan dengan konsep malam itu terutama bagi individu solo.

Bagi acara Kaki Bangku 2.0 pula, antara selebriti terlibat ialah Fahimi Rahmat, Wanns Ahmad, Tajul, Aman Aziz, Asyraf Nasir, Mark Adam, Suffian Suhaimi, Yonnyboii dan Putera Muhamad. Mereka akan bersama-sama dengan Nabil Ahmad untuk menentang pasukan bola daripada UNISEL.

Pengurus Saluran Radio ERA Azah Sahrin berkata ke semua acara yang berlangsung di UNISEL bertepatan dengan jiwa remaja masa kini terutama acara Konsert Malam Jomblo. Bagi Kaki Bangku pula, tujuan ia diadakan untuk menyemarakkan lagi sukan berkenaan terutama bagi mereka yang kurang mahir bermain bola sepak.

“ERA memberi peluang kepada barisan selebriti untuk merasai bermain bola sepak meskipun mereka tidak mahir dalam arena sukan tersebut. Tiada niat untuk mengaibkan mereka tetapi kami beri mereka  satu pengalaman baru untuk merasai perasaan menjadi pemain bola sepak. 

“Dengan acara seumpama ini, boleh melatih diri mereka lebih yakin dan bersemangat untuk berada di atas padang. Ini kerana kesemuanya berada dalam tahap yang sama iaitu kurang mahir dengan selok belok bola sepak.

“Saya yakin mereka tidak malu untuk beraksi kerana mendapat tunjuk ajar daripada bekas pemain kebangsaan Safee Sali yang juga penyampai ERA dan juga jurulatih. Safee adalah kunci semangat mereka untuk berjuang menentang pasukan UNISEL yang terdiri daripada anak-anak muda.

“Bagi Konsert Malam Jomblo pula ia merupakan acara kemuncak meraikan semua penonton yang hadir terutama pelajar UNISEL. Susunan lagu yang dipersembahkan akan menyentuh hati mereka kerana lagu-lagu galau ini sangat sinonim dengan kehidupan harian.

“Ia juga akan disiarkan secara langsung menerusi TIK TOK rasmi ERA bermula jam 830 malam. Bagi yang tidak hadir ke lokasi tersebut, mereka boleh menontonnya di platform media sosial tersebut.

“Dengan kesempatan ini, juga saya mewakili ERA untuk ucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak terutama barisan penyanyi yang sudi luangkan masa untuk menghiburkan penyokong dan peminat mereka.

“Saya berharap acara seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang di lokasi lain bergantung kepada situasi dan keadaan. Ini cara kami untuk eratkan hubungan antara penyampai ERA, penyanyi, dan selebriti terhadap pendengar setia kami di Stesen Radio Nombor 1 paling legit!

Untuk berita terkini dan aktiviti layari platform media sosial rasmi ERA.