ERA Lancarkan Inisiatif "Bantu ONE 3PE" untuk Membantu Golongan Memerlukan
14
October
2024

ERA Lancarkan Inisiatif "Bantu ONE 3PE" untuk Membantu Golongan Memerlukan

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2024 – ERA, stesen radio nombor satu Malaysia, melancarkan inisiatif terbaru yang dinamakan "Bantu ONE 3PE" sebagai usaha untuk membantu golongan yang memerlukan menghadapi kesulitan hidup. Menerusi inisiatif ini, ERA memberikan bantuan tunai berjumlah RM400 kepada pendengar yang terpilih dengan hanya membuat panggilan ke konti radio ERA dan berkongsi kisah kesusahan mereka bersama penyampai 3 Pagi ERA, Nabil, Azad, dan Radin.

Pengurus Saluran ERA, Azah Sahrin, menjelaskan bahawa idea untuk melancarkan "Bantu ONE 3PE" ini tercetus selepas pihak ERA menerima banyak permintaan bantuan melalui mesej langsung (DM) di media sosial rasmi ERA. Menyedari keperluan ini, pihak pengurusan tertinggi ERA telah bersetuju untuk melaksanakan segmen ini sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial untuk meringankan beban pendengar yang mengalami kesusahan.

“Kami di ERA tidak hanya fokus kepada hiburan semata-mata, tetapi kami juga ingin memainkan peranan dalam membantu pendengar kami yang menghadapi kesulitan. Bantuan tunai RM400 yang diberikan diharap dapat membantu mereka membeli barangan keperluan harian atau menyelesaikan masalah yang mereka hadapi,” ujar Azah Sahrin.

ERA juga terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada program ini pada masa akan datang, sama ada daripada individu mahupun syarikat korporat. “Kami mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan dan keprihatinan dari pihak luar untuk turut serta dalam Bantu ONE 3PE pada masa depan. Semoga niat baik kita ini mendapat keberkatan dan membawa manfaat kepada lebih ramai orang,” tambahnya.

Inisiatif "Bantu ONE 3PE" yang berlangsung dari 7 Oktober hingga 18 Oktober 2024 telah menerima sambutan hangat daripada pendengar ERA di seluruh negara, dengan ramai yang memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Untuk maklumat lanjut mengenai "Bantu ONE 3PE" dan aktiviti terkini ERA, layari laman sosial rasmi ERA atau ikuti siaran langsung di frekuensi radio ERA.