ERA Rai Kejayaan Dalam Industri
08
August
2018

ERA Rai Kejayaan Dalam Industri

Sentiasa tampil dengan seleksi kandungan hebat, hiburan terkini dan berinformasi,

ERA terus tepati citarasa pendengar tempatan dan raih pelbagai kejayaan untuk jenama radionya

KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2018 – Jenama radio nombor satu Malaysia, ERA, telah meraikan ulangtahunnya baru-baru ini. Untuk setiap pencapaian dan kejayaan yang dicatatkan sepanjang berada dalam industri, ERA melakar sekalung penghargaan kepada setiap pendengar setianya. Sokongan berterusan yang diterima ini merupakan tunjang utama kepada kejayaan yang diraih ERA pada hari ini.

Dengan lebih daripada enam juta pendengar setiap minggu, pemacu utama di sebalik kejayaan ERA turut disumbangkan oleh kempen-kempen yang menjadi kegemaran peminat ERA seperti Budak-budak Baru Nak Up ERA, Karok Selebriti ERA, JoHaRa Wresting dan Cover Star ERA. Pengurus Kandungan ERA, Dhan Andreas berkata, "ERA tidak akan berada di sini hari ini jika bukan kerana sokongan yang diberikan peminat dan komuniti kami, yang selama ini sentiasa setia berada di belakang ERA, menyokong serta membantu membentuk sebuah prinsip yang ingin kami perjuangkan. Kami di ERA begitu bersyukur dengan sokongan yang diberikan ini dan kejayaan hari ini wajar ditujukan khas kepada setiap peminat yang ada di luar sana.

“Kami sentiasa memastikan para peminat ERA menjadi keutamaan apabila kami bekerja. Kehendak mereka akan dijadikan asas kepada sesebuah kandungan yang kami zahirkan. Justeru itu, kami lihat kebanyakkan kempen kami yang berjaya mendapat tempat di hati peminat adalah kempen-kempen yang mengetengahkan aspek komuniti setempat dan dekat dengan hati masyarakat umum. Kami akan terus meraikan setiap peminat ERA dengan melibatkan mereka dalam kempen-kempen utama anjuran kami di masa-masa yang akan datang.”

Bersempena dengan sambutan ini, ERA telah merancang pelbagai aktiviti menarik untuk diraikan bersama peminat. Di antara aktiviti lapangan, program-program radio dan di atas talian yang akan menemui peminat termasuklah:

‘Kempen JoHaRa Tour’

Memandangkan ulangtahun ERA diraikan di sepanjang bulan kebangsaan, ERA mengumumkan kempen perdananya, ‘JoHaRa Tour’, yang akan bermula pada bulan Ogos ini. Kempen ini akan menyaksikan ketiga-tiga penyampai utama ERA; Johan, Hanif dan Ray, bersama rakan-rakan selebriti ERA, menjelajah ke negeri Pulau Pinang dan Johor untuk mencari juara ‘U Gelak U Out’. Dalam usaha untuk merebut gelaran juara, peserta akan berganding dengan barisan penyampai radio JoHaRa dan bersaing di antara satu sama lain dalam satu siri perdebatan punchline. Pasukan yang masih berdiri teguh di pusingan akhir akan berpeluang untuk memenangi wang tunai.

Tandakan kalendar anda hari ini dan sertai ‘JoHaRa Tour’ di Pulau Pinang pada 1 September 2018 dan Johor pada 15 September. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti menarik, turut sama menyaksikan persembahan-persembahan mengujakan dan berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah hebat di sesi ‘JoHaRa Tour’ bersama Johan, Hanif dan Ray.

Digital Star ERA

Jika anda fasih berbahasa Melayu, selesa bekerja di hadapan kamera dan memiliki personaliti yang menarik, anda mungkin merupakan individu yang dicari ERA untuk dijadikan wajah baharu bagi jenama radio nombor satu Malaysia ini! Istimewanya lagi untuk peminat-peminat ERA, kami akan turut melancarkan kempen ‘Digital Star ERA’ pada bulan Ogos ini.

Sama seperti Jaa Suzuran, yang terkenal dengan wawancaranya bersama selebriti-selebriti bertaraf dunia seperti Shah Rukh Khan dan Ed Sheeran, ERA sedang mencari bintang digital untuk menjadi pengacara TV dan wajah ERA yang baharu. Lanjutan daripada kempen popular Penyampai Top ERA, Digital Star ERA’ akan memperlihatkan para peserta mengharungi pelbagai cabaran bagi memastikan bahawa mereka ini mempunyai daya tarikan unik untuk menjadi personaliti digital terkemuka dalam industri hiburan. Kempen ini dijadualkan bermula pada 20 Ogos 2018. Matlumat selanjutnya mengenai kempen ini akan diumumkan kelak.

Selain daripada itu, para peminat juga boleh nantikan pelbagai aktiviti menarik yang akan berjalan secara on-air dan dalam talian seperti:

1.Budak LIT ERA

Bersempena dengan program terbaharu yang ditayangkan di Astro Ria berjudul Big Stage, ERA akan laksanakan sebuah peraduan ‘Budak LIT ERA’ menggunakan suara artis-artis Big Stage untuk merakamkan sebuah lagu, dan memerlukan pendengar meneka lagu tersebut untuk peluang memenangi hadia wang tunai. Peraduan bermula dari 20 Ogos 2018 hingga 31 Ogos 2018.

2.Parodi Lit ERA

Bermula dari 3 September hingga 14 September, dengarkan ERA dan saksikan Danial dan Johan memparodikan beberapa lagu sambil menyamar menggunakan suara selebriti melalui kempen ‘Parodi Lit ERA’. Teka nama-nama selebriti yang digunakan dalam parodi oleh Danial dan Johan dengan betul, dan rebutlah peluang untuk memenangi hadiah wang tunai. Jangan lupa untuk mengikuti ERA di Instagram untuk mendapatkan petunjuk.

3.6 Baris Lagu Hit ERA

Adakah anda seorang juara muzik? Uji kemahiran anda dengan 6 Baris Lagu Hit ERA’. Dari 17 September hingga 28 September, rakan-rakan rapper ERA seperti Zizi Kirana, WARIS dan banyak lagi akan rap lagu-lagu hit semasa dan peminat perlu meneka tajuk lagu dan penyanyi dengan betul untuk memenangi hadiah wang tunai.

4.Lirik JoHaRa

Mulai 1 Oktober hingga 12 Oktober, pastikan anda terus mengikuti ERA untuk satu lagi pertandingan muzik dan lirik. Johan, Hanif dan Ray akan menyanyikan sebuah lagu, dan para pendengar harus meneka tajuk lagu dan nama penyanyi untuk memenangi hadiah wang tunai.

ERA amat teruja untuk mengaktifkan kempen-kempen dan sesi jelajah bersempena dengan sambutan ulangtahun ERA bagi merapatkan lagi jurang di antara jenama radio tersebut dengan peminat-peminatnya di luar sana.

Sebagai permulaan, pada minggu lalu ERA telah meraikan sambutan ulangtahunnya bersama anak-anak istimewa dari ‘Rumah Titian Kaseh’ dalam sebuah majlis kesyukuran. Turut hadir meraikan majlis tersebut adalah peminat-peminat bertuah, barisan penyampai radio ERA dan rakan-rakan selebriti.


Untuk maklumat lanjut mengenai ERA dan kempen-kempen yang akan dianjurkannya, sila layari www.era.je atau ikuti ERA di laman media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter ERA.