ERA Raikan Kenduri Raya Bersama Pendengar Terpilih & Syarikat Rakaman Muzik
29
April
2025

ERA Raikan Kenduri Raya Bersama Pendengar Terpilih & Syarikat Rakaman Muzik

KUALA LUMPUR 25 APRIL 2025 – Stesen Astro Audio, ERA raikan majlis rumah terbuka atau lebih dikenali sebagai Kenduri Raya ERA bersama dengan pendengar terpilih dan syarikat rakaman muzik atau label muzik di Rumah Tamu Datin Halijah Kuala Lumpur. Majlis ini diadakan bagi menghargai semua pihak yang sentiasa berada di belakang ERA dan menyokong segala program, acara dan pengisian kandungan bagi memastikan ERA terus relevan di hati pendengar.

Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin berkata pendengar setia dan syarikat rakaman muzik merupakan pihak yang sangat dekat dengan ERA kerana mereka memastikan stesen ini sentiasa mempunyai kandungan yang menarik untuk dikongsikan. Terutama sekali bagi kandungan yang dimuat naik di laman sosial.

“Pendengar ERA yang hadir ke Kenduri Raya ini dipilih berdasarkan peraduan yang kami hebahkan sebelum ini. Kira-kira 20 pendengar telah berjaya dipilih selepas mereka mengisi maklumat diri dan mencipta slogan paling kreatif menerusi laman web rasmi ERA. Rata-rata mereka memberikan komitmen yang luar biasa dan semangat mereka ini menjadikan kami terasa amat dihargai,” katanya.

Bagi syarikat rakaman muzik pula, hubungan yang terjalin ini akan terus dieratkan kerana kedua-dua entiti ini sentiasa diperlukan antara satu sama lain. ERA dapat mempromosikan lagu-lagu mereka serta menjadi ejen tengah untuk memastikan lagu-lagu yang diputarkan di ERA menepati citarasa pendengar.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada syarikat rakaman muzik yang turut serta memeriahkan Kenduri Raya ERA. Saya berharap hubungan kami dengan mereka sentiasa utuh dan dapat membantu antara satu sama lain merancakkan lagi industri muzik tanah air. Dengan mereka juga kami dapat mengenali bakat-bakat baru yang mencari peluang untuk berdiri sama tinggi duduk sama rendah dengan penyanyi terkemuka tanah air. Majlis seumpama ini juga akan diteruskan di masa akan datang kerana ia cara terbaik kami untuk menghargai pihak-pihak yang sentiasa menyokong kami. 

Untuk berita, aktiviti dan program terkini sila layari laman sosial rasmi ERA.