ERA Sabah Raikan Kemuncak Kaamatan Menerusi Grand Final “Suara Kaamatan” Angkat Bakat Tempatan & Warisan Budaya
25
May
2026

ERA Sabah Raikan Kemuncak Kaamatan Menerusi Grand Final “Suara Kaamatan” Angkat Bakat Tempatan & Warisan Budaya

KUALA LUMPUR, 25 Mei 2026 – ERA Sabah hari ini meraikan kemuncak sambutan Pesta Kaamatan menerusi penganjuran Grand Final “Suara Kaamatan” yang berlangsung di Astro Bukit Jalil (Theatre Room). Pertandingan nyanyian ini mengetengahkan bakat tempatan Sabah sambil menyemarakkan semangat perpaduan serta penghargaan terhadap budaya negeri.

“Suara Kaamatan” diinspirasikan daripada pertandingan nyanyian tradisional Sabah, Sugandoi, yang sinonim dengan sambutan Kaamatan setiap tahun. Melalui inisiatif ini, peserta dari seluruh Sabah diberi peluang untuk menonjolkan bakat mereka dengan menghantar penyertaan menerusi platform media sosial menggunakan tanda pagar #SuaraKaamatanEraSabah.

Sebagai stesen radio yang dekat dengan komuniti Sabah, ERA Sabah terus komited menjadi platform yang menyokong pembangunan bakat tempatan serta memperkukuhkan industri hiburan dan budaya yang memberi impak kepada masyarakat.

Grand final ini menyaksikan himpunan finalis terbaik yang telah dipilih sepanjang tempoh pertandingan. Kesemua peserta mempersembahkan nyanyian penuh semangat, mengangkat keunikan suara serta identiti budaya masing-masing.

Fyda dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta trofi dan sijil penghargaan. Tempat kedua dimenangi oleh Renold dengan hadiah wang tunai RM300, manakala Ryan di tempat ketiga menerima RM100 bersama sijil penghargaan. Pemenang tempat keempat dan kelima turut menerima sijil penghargaan sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, yang meluangkan masa menyampaikan hadiah wang tunai dan sijil kepada para pemenang sebagai tanda sokongan terhadap perkembangan bakat tempatan Sabah.

Acara ini juga disiarkan secara langsung menerusi TikTok Live ERA Sabah, membolehkan para pendengar serta pengikut media sosial mengikuti perjalanan pertandingan secara masa nyata. Orang ramai juga boleh menonton semula video persembahan para peserta di platform media sosial rasmi ERA Sabah.

Menurut Pengurus Jenama ERA Sabah, Azah Sahrin, penganjuran program ini mencerminkan usaha berterusan ERA Sabah dalam memartabatkan budaya tempatan:

“Kami di ERA Sabah amat berbangga dapat menganjurkan ‘Suara Kaamatan’ sebagai platform yang bukan sahaja mengangkat bakat tempatan, tetapi juga meraikan keindahan warisan budaya Sabah yang sangat unik. Pertandingan ini diinspirasikan daripada tradisi Sugandoi, dan kami ingin memastikan semangat itu terus hidup serta relevan dalam kalangan generasi hari ini.

Kami juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengarah Astro Audio, Priya Dharshini Prabakaran, atas kesudian meluangkan masa menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Sokongan ini amat bermakna dalam memperkukuh usaha kami mengangkat bakat tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan membuktikan bahawa minat terhadap seni budaya tempatan kekal kukuh. Kami berharap ‘Suara Kaamatan’ akan terus berkembang sebagai acara tahunan yang dinanti-nantikan serta menjadi simbol kebersamaan masyarakat Sabah dalam meraikan Pesta Kaamatan.”

Penganjuran “Suara Kaamatan” membuktikan komitmen ERA Sabah dalam menyokong bakat tempatan sambil memupuk rasa bangga terhadap warisan budaya negeri, seiring dengan semangat Kaamatan yang menekankan kesyukuran, perpaduan dan kebersamaan.