Skip to main content
Radin dan Der bersama Pelajar UiTM Alor Gajah Melaka

ERA Santuni Pelajar UiTM Melaka, Kongsi Ilmu Dan Pengalaman Industri Penyiaran Radio

MELAKA 27 JUN 2026: Stesen Radio ERA terus komited mendekati generasi muda apabila turun padang menyantuni pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka dalam satu sesi perkongsian inspiratif yang berlangsung baru-baru ini.

Menurut Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada program CEO@Faculty serta usaha ERA dalam berkongsi pengetahuan dan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai realiti serta peluang dalam industri penyiaran radio.

“Baru-baru ini, kami melihat semakin ramai anak muda menunjukkan minat untuk menceburi bidang penyiaran, dan melalui sesi seperti ini, kami ingin memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih mendalam tentang dunia radio, bukan sahaja di belakang mikrofon tetapi juga keseluruhan ekosistem industri media yang semakin berkembang. Kerjaya dalam radio hari ini tidak lagi terhad kepada penyampaian di udara semata-mata, tetapi turut merangkumi penghasilan kandungan digital, pengurusan jenama, pemasaran kreatif serta keupayaan membina hubungan dengan audiens merentasi pelbagai platform.

Industri ini menuntut individu yang versatil, berdaya kreatif dan sentiasa peka dengan perubahan trend. Selain kemahiran komunikasi yang baik, mereka juga perlu berani mencuba, bijak menyesuaikan diri dengan teknologi baharu serta mempunyai disiplin yang tinggi dalam membina personaliti dan kredibiliti. Apa yang kami cuba tekankan kepada pelajar ialah minat perlu disertai dengan usaha berterusan dan kesediaan untuk belajar daripada pengalaman sebenar di lapangan,” kata Azah.

Sesi ini turut diserikan dengan kehadiran penyampai popular ERA, Radin dan Der, yang berkongsi pengalaman kerjaya mereka serta cabaran yang dihadapi sepanjang bergelar penyampai radio. Mereka turut memberikan panduan praktikal berkenaan kemahiran komunikasi, pembinaan personaliti serta kepentingan kreativiti dalam menarik perhatian pendengar.

Pelajar turut mengambil peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan penyampai, mengajukan pelbagai soalan berkaitan laluan kerjaya serta mendapatkan tips untuk menembusi industri penyiaran.

Azah menambah, program seumpama CEO@Faculty ini penting dalam merapatkan jurang antara industri dan institusi pendidikan, sekali gus membantu melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan.

ERA akan terus komited dalam melaksanakan lebih banyak inisiatif turun padang seperti ini sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pembangunan bakat muda serta memperkukuh industri kreatif tempatan.

ERA ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, ERA menampilkan lagu-lagu popular, hits terkini dan menjadi pilihan utama pendengar, menjadikannya stesen radio nombor 1 di Malaysia.

Dengan hampir 6 juta pengikut di media sosial, ERA terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Muzik Hit Terkini. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti ERA di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi ERA melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

ERA – Muzik Hit Terkini.