Saluran kanak-kanak nombor 1 di Malaysia, Astro Ceria dengan berbesar hati membawakan sebuah siri komedi aksi terbaharu, ‘Family Spy’ sempena dengan kedatangan musim cuti sekolah Mac ini! Istimewa untuk kanak-kanak dan seisi keluarga, drama bersiri 8 episod ini merupakan sebuah naskhah asal terbitan Astro GenNext Studios dengan kerjasama rumah produksi Shutterspeak Studio, dan diarahkan oleh Angie Choo. Siri ‘Family Spy’ yang berdurasi selama 30 minit bagi setiap episod ini bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 11 Mac 2020 secara eksklusif menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Ceria HD (631) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
‘Family Spy’ mengisahkan tentang seorang bekas perisik hebat antarabangsa, Roz (lakonan Rozita Che Wan), yang terpaksa melepaskan kerjayanya demi melindungi keluarga tercinta. Ahli keluarganya langsung tidak mengetahui latar belakang pekerjaan Roz sebagai seorang bekas perisik, dan beliau berhasrat untuk mengekalkan rahsia itu terutamanya dari anaknya, Daniel (lakonan Alif Satar), yang juga merupakan seorang anggota polis!
Walaupun sudah lama meninggalkan dunia perisikan (‘the spy life’), Roz terpaksa menggunakan skil dan inteleknya untuk menyelamatkan cucunya, Rin (lakonan Airiezara Jasmin), yang diculik oleh musuh. Musuh dari zaman silam yang beliau sendiri kenali dan cukup tidak disangka-sangka. Kini, dengan kebolehan yang dimiliki namun mempunyai faktor-faktor limitasi, berjayakah Roz menyelamatkan cucunya dari bahaya? Sarat dengan aksi mendebarkan, jangan lupa untuk menyaksikan ‘Family Spy’, Mac ini.
Cecilia Wong, Pengurus Saluran Astro Ceria menyatakan:
“Selaku stesen televisyen berbayar, Astro sentiasa berusaha untuk menyusun strategi kandungan yang bijak kerana adalah menjadi tanggungjawab kami untuk terus menghasilkan pengisian hiburan secara kreatif dan seimbang khusus buat santapan seisi keluarga. Kami di Astro Ceria mengharapkan, dengan penerbitan siri komedi aksi ‘Family Spy’ ini, kami dapat memantapkan lagi pembangunan kandungan dalam industri hiburan kanak-kanak yang berpegang kepada prinsip berinformasi, sihat dan menghiburkan.
‘Family Spy’ juga bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa dan anak-anak atas kepentingan keselamatan ketika menggunakan internet, dan juga mengetengahkan kebaikan pembelajaran STEM yang boleh membantu kanak-kanak mencapai cita-cita mereka dalam dunia digital dewasa kelak. Dengan gabungan kehadiran nama-nama besar seperti Rozita Che Wan dan Alif Satar, bersama Danial Zaini, Airiezara Jasmin, Nynaa Harizal, Sham Visa, Datin Maria Farida, Sharifah Shahirah dan ramai lagi, kami yakin, ‘Family Spy’ bakal memenangi hati penonton seisi keluarga. Justeru, kami mengalu-alukan maklumbalas dari anda semua. Jangan lupa, Rabu, 11 Mac ini. Semoga terhibur!”
#FamilySpy #MisiOpah #SpyKeBersepai