Skip to main content
Zayan Roti Canai

F&N PAGI ZAYAN BELANJA 150 SET ROTI CANAI DAN TEH TARIK RAIKAN SARAPAN PILIHAN RAKYAT MALAYSIA

KUALA LUMPUR 21 OGOS 2028F&N Pagi ZAYAN yang dikendalikan oleh Faisal Ismail dan Nana Mahzan, hari ini turun padang untuk meraikan rakyat Malaysia dengan membelanja 150 set roti canai dan teh tarik di Selera Pandan Haris Corner

Inisiatif tersebut tercetus menerusi topik perbincangan dalam segmen F&N Pagi ZAYAN yang mengupas tentang “Sarapan Pagi Pilihan Rakyat Malaysia”. Hasil respons yang diterima daripada para pendengar menerusi panggilan telefon, mesej dan interaksi di platform digital ZAYAN mendapati bahawa roti canai dan teh tarik terus menjadi pilihan utama ramai rakyat Malaysia sebagai hidangan sarapan yang dekat di hati.

Bagi meraikan dapatan tersebut, F&N bersama FBI dan Nana mengambil pendekatan untuk berkongsi kegembiraan dengan masyarakat menerusi pemberian 150 set sarapan percuma kepada orang ramai yang hadir di lokasi.

Program berkenaan turut mendapat sambutan hangat daripada para pelanggan dan pendengar setia ZAYAN yang hadir seawal pagi untuk menikmati sarapan percuma. 

Pengurus Saluran ZAYAN, Zureen Affendi berkata, pemilihan roti canai dan teh tarik sebagai tema aktiviti ini bukan sahaja mencerminkan cita rasa majoriti rakyat Malaysia, malah turut memperlihatkan bagaimana makanan mampu menjadi medium yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

"Di ZAYAN, kami sentiasa percaya bahawa kandungan terbaik adalah kandungan yang dekat dengan kehidupan masyarakat. Apabila topik mengenai sarapan pilihan rakyat Malaysia dibincangkan dalam F&N Pagi ZAYAN, kami teruja melihat sambutan yang begitu positif daripada pendengar. Menariknya, walaupun negara kita kaya dengan pelbagai pilihan makanan, majoriti masih memilih roti canai dan teh tarik sebagai menu kegemaran untuk memulakan hari.

"Pilihan ini sebenarnya menggambarkan identiti rakyat Malaysia yang cukup unik. Roti canai dan teh tarik bukan sekadar makanan dan minuman, tetapi ia merupakan sebahagian daripada budaya harian masyarakat yang telah menjadi simbol kebersamaan sejak sekian lama. Tidak kira usia, bangsa atau latar belakang, kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai kenangan dan pengalaman tersendiri yang berkait rapat dengan hidangan ini.

"Justeru, kami merasakan cara terbaik untuk meraikan suara pendengar adalah dengan membawa perbualan di udara ke dunia sebenar. Melalui kerjasama bersama F&N, kami mengambil keputusan untuk membelanja 150 set roti canai dan teh tarik kepada masyarakat sebagai tanda penghargaan atas sokongan yang tidak pernah putus terhadap ZAYAN dan F&N Pagi ZAYAN.

"Kami amat menghargai sokongan berterusan para pendengar yang sentiasa menjadikan ZAYAN sebagai teman sepanjang hari. Sambutan yang diterima pada pagi ini membuktikan bahawa perkara-perkara yang sederhana seperti menikmati sarapan bersama masih mampu menyatukan masyarakat dan mencipta momen yang istimewa. Kami berharap dapat terus membawakan lebih banyak aktiviti lapangan yang memberi manfaat dan mendekatkan kami dengan komuniti pada masa akan datang."

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ZAYAN dan F&N untuk mendekati masyarakat menerusi kandungan yang relevan, interaktif dan berteraskan nilai kebersamaan. Di samping menghiburkan, program seperti ini juga mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menghargai sokongan pendengar yang sentiasa setia mengikuti perkembangan F&N Pagi ZAYAN.

ZAYAN ialah sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, ZAYAN memfokuskan kepada lagu-lagu nasyid dan ketuhanan, menjadikannya stesen radio nasyid pilihan rakyat Malaysia.

Dengan lebih 1 juta pengikut di media sosial, ZAYAN terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama muzik terkenal Destinasi Nasyid Anda. Selain mendengar melalui frekuensi radio, orang ramai boleh mengikuti ZAYAN di platform media sosial rasmi atau memuat turun aplikasi ZAYAN melalui App Store, Play Store dan Huawei AppGallery.

ZAYAN – Destinasi Nasyid Anda!