Program ‘Dansa Dan Sing’ ialah sebuah pertandingan realiti yang menggabungkan elemen dinamik seni tari dan seni suara sebagai kriteria utama untuk penilaian barisan juri profesional di pentas mingguan. Pertandingan yang mengangkat dua cabang seni ini bakal menilai persembahan setiap peserta berdasarkan rentak serasi menerusi cabaran tarian dan nyanyian.
Musim pertama ‘Dansa Dan Sing’ juga bakal menyaksikan persaingan sengit di antara 10 barisan artis tanah air yang terdiri daripada penyanyi, pelakon dan selebriti internet popular di Malaysia. Setiap peserta yang bertanding turut diiringi oleh koreografer dan kru tarian atau ‘troopers’ pilihan masing-masing untuk menyahut cabaran mingguan berdasarkan tema yang ditetapkan. Rangkaian program ‘Dansa Dan Sing’ akan bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Klip sedutan aktiviti perkembangan para peserta ketika membuat persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan harian ‘Kapsul Dansa Dan Sing’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 30 Disember 2019. Manakala konsert mingguan ‘Dansa Dan Sing’ bakal dipancarkan secara langsung selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 5 Januari 2020.
Emarina Mohd Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria berkata:
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian kami, bidang seni tari dan seni suara merupakan antara cabang seni yang berpengaruh dan paling mendapat perhatian masyarakat dunia secara amnya. Manakala khalayak penonton sasaran Astro secara khususnya pula amat cenderung kepada penerbitan program-program yang berkonsepkan realiti dan pertandingan. Melihat kepada potensi pasaran komersial untuk menembusi kelompok penonton yang disemarakkan oleh kedua bidang yang saling melengkapi ini, sudah tiba masanya untuk pihak Astro selaku peneraju kandungan utama membuka tirai tahun 2020 dengan melakar inisiatif baharu yang menyaksikan gabungan dinamik seni tari dan seni suara menerusi ruang perkongsian di pentas ‘Dansa Dan Sing’. Uniknya program ini, pihak Astro turut memberi kelonggaran kepada para peserta untuk memilih sendiri koreografer dan kru tarian masing-masing kerana kami sedar cabaran untuk menari dan menyanyi secara serentak bukanlah mudah. Selain menuntut persediaan rapi daripada segi mental dan fizikal untuk menguasai teknik tarian dan lantunan vokal yang padu, mereka juga perlu memiliki kemahiran yang tinggi untuk mengawal pentas di samping kekuatan stamina bagi memberikan persembahan yang cukup bertenaga kerana setiap peserta bakal dinilai berdasarkan aspek tarian dan nyanyian. Justeru, keserasian adalah faktor paling utama untuk mencari keseragaman pergerakan agar seiring dengan tempo dan rentak nyanyian. Bukan itu sahaja, idea asal dan konsep untuk setiap persembahan mingguan juga harus diolah mengikut kreativiti masing-masing untuk memberi kelainan supaya dapat memukau hati juri baik daripada segi pola lantai, pergerakan dinamik, pemilihan dan susunan lagu, kestabilan vokal termasuklah kesesuaian busana dan tatarias.Kami berharap penganjuran ‘Dansa Dan Sing’ mampu melonjakkan jenama dan karier seni para peserta ke peringkat yang lebih tinggi di samping menjadi testimoni kepada mereka selaku artis versatil untuk bertahan lama dalam bidang hiburan yang kompetitif dan serba mencabar ini.
Trivia `Dansa dan Sing`
1. Penerbitan ‘Dansa Dan Sing’ turut disokong oleh Gempak dan Ria X yang menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital serta ERA sebagai Rakan Radio Rasmi.
2.Bagi memeriahkan lagi penganjuran ‘Dansa Dan Sing’, guru tari dan koreografer terkenal yang cukup sinonim dengan penerbitan perintis program realiti di Malaysia, Linda Jasmine Hashim dan seorang lagi ikon masyhur dalam bidang rekaan fesyen negara, Datuk Rizalman Ibrahim telah diberi mandat sebagai Juri Tetap musim pertama.
3.Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para peserta.
4.Selebriti popular, Sherry Al Hadad telah dipertanggungjawabkan sebagai Pengacara untuk musim ini. Beliau juga turut ditemani oleh seorang lagi selebriti yang bakal mengendalikan pentas utama selaku Pengacara Bersama.
5.Pasangan pengacara yang bakal digandingkan bersama Sherry hanya akan diumumkan pada konsert minggu pertama ‘Dansa Dan Sing’ sebagai sebahagian daripada kejutan.
6.Sementara itu, Isha Norsham yang juga merupakan hos program Gempak TV turut dibawa masuk sebagai Pengacara untuk program ‘Kapsul Dansa Dan Sing’ musim pertama.
7.Juara ‘Dansa Dan Sing’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.
Format Penjurian
Format penjurian adalah terbahagi kepada dua bahagian yang mana nasib para bintang akan diadili berdasarkan pemarkahan oleh barisan juri profesional dan undian peminat secara online. Untuk bahagian pertama, 100% keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para peserta berdasarkan pecahan markah sebanyak 70% untuk persembahan tarian dan 30% untuk persembahan nyanyian. Manakala untuk bahagian yang kedua, kedudukan tiga peserta yang mendapat markah terendah adalah berdasarkan undian peminat secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/dansadansing. Barisan juri akan membuat penilaian akhir berdasarkan kedudukan tiga terendah untuk menentukan peserta yang tersingkir pada pusingan tersebut.